Puasa Ramadan pastinya memerlukan kesabaran yang tinggi kerana umat Islam perlu menahan diri daripada makan dan minum sepanjang hari.
Puasa Ramadan pastinya memerlukan kesabaran yang tinggi kerana umat Islam perlu menahan diri daripada makan dan minum sepanjang hari.
Oleh Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Puasa Ramadan bukan sekadar satu rutin ibadah bagi umat Islam, tetapi juga peluang untuk mengembangkan akhlak yang baik. Ibadah ini melibatkan aspek menahan daripada makanan, minuman serta perilaku negatif sepanjang siang hari, namun impaknya melampaui aspek fizikal.

Malah, tahun ini, kebetulan permulaan Ramadan jatuh pada permulaan sesi persekolahan baharu. Belajar dalam keadaan berpuasa bagi seorang Muslim mampu memberikan impak yang luar biasa.

Puasa Ramadan pastinya memerlukan kesabaran yang tinggi kerana umat Islam perlu menahan diri daripada makan dan minum sepanjang hari. Ini menjadi asas pembentukan sifat sabar dalam menghadapi cabaran hidup. Kesabaran ini membantu individu menangani stress dan rintangan dengan tenang, juga membentuk akhlak yang sabar dan tabah.

Seseorang yang berpuasa bukan sahaja meninggalkan makan dan minum, tetapi perlu juga memelihara seluruh anggota daripada melakukan perkara yang membawa kepada dosa. Begitu jugalah dia seharusnya berpuasa hati dan fikiran daripada memikirkan perkara yang tidak baik.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Setiap amalan anak Adam adalah untuknya, melainkan puasa, kerana sesungguhnya puasa itu untuk-Ku, dan Aku yang akan memberi balasan dengannya, puasa itu adalah perisai, maka pada hari yang seseorang daripada kamu berpuasa, maka janganlah dia bercakap keji, dan meninggikan suara (seperti orang bodoh). Jika ada seseorang mencelanya atau berkelahi dengannya, maka hendaklah dia mengatakan: "Sesungguhnya aku seorang yang berpuasa." Demi zat yang jiwa Muhammad berada dalam genggaman-Nya, sungguh bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah berbanding bau kasturi. Bagi orang yang berpuasa itu pula dua kegembiraan, iaitulah ketika berbuka, dia bergembira dengan berbuka puasa, dan ketika bertemu dengan Tuhannya dia bergembira dengan puasa yang ditunaikan." (Hadis Riwayat Bukhari)

Melalui puasa, umat Islam juga menjadi lebih peka terhadap nikmat makanan dan minuman yang selalu diambil sebagaimana biasa. Ini membantu mereka menghargai nikmat Allah SWT secara mendalam. Kesyukuran pula menjadi satu aspek penting dalam pembentukan akhlak yang baik. Puasa juga meningkatkan empati terhadap orang yang kurang bernasib baik. Pengalaman menahan lapar dan dahaga sepatutnya mampu memupuk perasaan kasih sayang terhadap mereka yang kurang bernasib baik. Akhlak yang baik melibatkan kepekaan terhadap keperluan orang lain dan kecenderungan untuk membantu.

Puasa juga mengajar penguasaan diri, termasuk mengawal hawa nafsu dan tindakan. Ia membentuk akhlak yang baik dalam mengelakkan perbuatan maksiat dan memupuk kawalan diri yang diperlukan dalam kehidupan seharian. Ramadan memberi peluang untuk memaafkan kesalahan orang lain. Ketika menahan diri dari memberikan reaksi negatif, umat Islam diajar untuk mengampuni dan memaafkan. Akhlak bersedia untuk memberi kemaafan ini memberikan ruang untuk keharmonian dalam setiap hubungan.

Secara keseluruhan, puasa Ramadan bukan hanya berkaitan menahan lapar dan dahaga, tetapi juga platform untuk membentuk akhlak yang baik. Proses ini melibatkan pengukuhan kesabaran, kesyukuran, kasih sayang, penguasaan diri dan pengampunan.

Dengan memahami hubungan yang mendalam antara puasa dan pembentukan akhlak yang baik, umat Islam dapat melibatkan diri sepenuhnya dalam ibadah ini untuk mencapai kematangan spiritual dan moral yang tinggi. Banyak pedoman daripada al-Quran dan juga sunnah Rasulullah SAW berkaitan fungsi dan peranan puasa.

Puasa Ramadan bukan sekadar menahan diri dari makan dan minum, tetapi juga sebuah latihan rohaniah yang mendalam untuk memperbaiki akhlak dan kehidupan spiritual. Puasa Ramadan bukan hanya melibatkan menahan lapar dan dahaga, tetapi juga mengajarkan ketakwaan.

Allah SAW berfirman yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa." (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Puasa membimbing kita untuk mengembangkan sifat sabar dan menguatkan kemampuan mengendalikan diri dalam menghadapi ujian hidup. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barangsiapa tidak meninggalkan perkataan dusta dan amalan sia-sia, Allah tidak memerlukan meninggalkan makanan dan minuman." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Puasa Ramadan mengajarkan kita untuk memahami penderitaan orang lain, meningkatkan empati, dan mendorong kepedulian sosial. Di samping puasa juga mengajarkan kegigihan dan usaha yang tinggi dalam mencapai kebaikan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Puasa adalah perisai. Apabila seseorang di antara kamu sedang berpuasa, hendaklah dia tidak berkata kasar dan tidak berlaku bodoh" - (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim). Puasa memberikan kita peluang untuk menguatkan kegigihan dalam menjauhi perbuatan yang tidak baik.

Ulama menekankan pentingnya puasa sebagai medium pembentukan akhlak yang baik. Mereka menyoroti nilai-nilai seperti kesederhanaan, keikhlasan dan kecenderungan untuk memberi yang diterapkan dalam ibadah puasa Ramadan. Apatah lagi, puasa Ramadan memiliki hubungan yang erat dengan kejayaan seseorang dalam hidupnya.

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2024 @ 7:00 AM