SESUATU agenda hidup bukan mengikut perancangan dan kehendak kita tetapi kehendak Alllah.
SESUATU agenda hidup bukan mengikut perancangan dan kehendak kita tetapi kehendak Alllah.
Mohd Rizal Aznan Rifin

DALAM kehidupan di dunia ini kita sering bertemu peristiwa sedih penuh sayu apabila menziarahi sanak saudara, rakan taulan atau jiran tetangga yang kematian anak kecil tercinta. Hati siapa tidak sedih apabila seseorang ibu dan ayah terpaksa menempuh peristiwa yang seakan 'hilang separuh nyawa' lantaran zuriat tercinta pergi buat selamanya.

Begitulah secara peribadi apabila bertembung peristiwa duka itu dua kali bila sahabat akrab kematian anak kecil dan derita batin dialami sahabat saya kekal dalam bayangan ingatan hingga kini.

Hal itu kerana saya sendiri ada anak-anak kecil yang hingga kini ditakdirkan Allah hidup penuh riang bersama rakan sepermainan. Jadi, apabila menziarahi sahabat yang kematian anak kecil, hati mudah tersentuh menjadi sayu yang mendalam.

Baru-baru ini, sahabat akrab saya yang sejabatan mengalami detik sedih apabila anak ketiganya meninggal dunia selang sehari selepas dilahirkan. Bergenang air mata tatkala berjumpa mata dengan sahabat saya itu.

Tanpa bersembunyi, saya sampaikan salam takziah. Apabila urusan pengebumian jenazah anaknya selesai, saya cuba dekatinya bagi memberi kata-kata semangat untuk dia. Lalu saya buka luahan simpati dengan memetik kata-kata Saidina Ali bin Abi Talib yang sarat dengan nasihatnya. Katanya kepada seorang sahabatnya, Ady, 'Wahai sahabatku Ady, barangsiapa yang reda terhadap takdir Allah, takdir itu tetap berlaku atasnya dan dia mendapat pahala daripada Allah. Dan barangsiapa yang tidak reda terhadap takdir-Nya, perkara itu pun tetap berlaku atasnya. Dan terhapuslah amalnya.'

Saya melihat kelopak mata sahabat saya masih bergenang air mata, tetapi sebaik mendengar apa yang saya sampaikan, dia mula mengukir sedikit senyuman. Meskipun gaya senyumannya jelas kelihatan masih hambar yang bukan senyuman sebenar sebagaimana hari-hari lain.

Pun begitu, melihat sahabat karib yang berduka mulai memberi respons positif terhadap apa yang saya katakan cukup memberi kelegaan kepada saya. 'Sahabat, kita hanyalah hamba Allah. Sayang macam mana sekalipun terhadap seseorang anak, apabila ia ditakdirkan Allah mati lebih awal, maka sewajibnya kita reda. Redalah sahabat dengan apa yang ditetapkan Allah.' Begitulah saya cuba cuba bertazkirah demi menitipkan mutiara rohani kepada sahabat saya itu.

Sahabat saya itu tidak berkata apa-apa mahupun mencelah apa yang saya sampaikan kepadanya. Saya terus
memujuk hatinya agar terus bersemangat kental untuk berhadapan situasi duka sebegitu.' Ingatlah sahabat, kematian anak zuriat juga antara kaedah Allah menguji iman dan takwa kita kepada-Nya. Allah mahu melihat setakat mana keutuhan iman kita. Allah mahu menguji tahap kesabaran kita.'

Ketahuilah bahawa masa tidak pernah menunggu kita dan segala takdir ditentukan oleh Allah tetap akan terjadi. Seperkara lagi yang seharusnya kita semua insafi ialah sesuatu agenda hidup bukan mengikut perancangan dan kehendak kita tetapi kehendak Alllah. Renunglah sebaiknya apa yang telah Allah tegaskan berikut ini sebagaimana terangkum dalam Surah al-Qamar ayat 49 yang bermaksud, 'Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir yang telah ditentukan.'

Malah, Baginda Nabi SAW sendiri dulupun pernah mengalirkan air mata saat merasakan kesedihan atas kehilangan seperti yang diceritakan dalam sebuah hadis, yang diriwayatkan Anas bin Malik. Beliau melaporkan ketika putera Rasulullah SAW yang bernama Ibrahim meninggal dunia kerana demam panas Baginda menangis kerana kesedihan lalu sahabat karibnya Abdul Rahman bin Auf berkata ' Dan engkau pun menangis wahai Rasulullah? Jawab Baginda, 'Wahai anak Auf. Sesungguhnya ia adalah rahmat. Kemudian Baginda menyambung lagi, 'Bahawasanya mata itu menitiskan air dan hati itu bersedih dan tiada kami sebut melainkan barang yang diredai oleh Tuhan kami sahaja. Dan sesungguhnya kami dengan perpisahan denganmu, wahai Ibrahim sedang bersedih.' (Hadis diriwayat oleh Imam Bukhari)

Anak-anak kecil belum mencapai usia akil baligh adalah anak syurga. Mereka tiada dosa di sisi Allah, malah anak syurga itu diberi keizinan oleh Allah untuk mensyafaatkan kedua-dua orang tua yang beriman.

Sekiranya seseorang itu mempunyai anak syurga, seharusnya tidak terlalu bersedih kerana anak itu bakal menanti kedua-dua ibu bapanya di pintu syurga. Dalam satu kisah yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi dan Ibnu Hibban diceritakan, 'Apabila mati anak kepada seseorang manusia,maka berfirmanlah Allah kepada malaikat-Nya, 'Kamu mengambil nyawa anak hamba-Ku? Jawab malaikat, 'Ya.'

Firman Allah lagi, 'Kamu telah mengambil nyawa buah hati hamba-Ku? Dijawab oleh malaikat, 'Ya.' Seterusnya Allah berfirman lagi, 'Apa kata hamba-Ku itu?' Malaikat memberitahu, 'Dia memuji-Mu dan mengucapkan 'Inna Lillah wa Inna Illahi Raj'un'. Lalu Allah mengarahkan malaikat-Nya, 'Binakan bagi hamba-Ku itu sebuah istana di dalam syurga dan namakan syurga itu dengan nama Baitul Hamdi.'

Ada satu lagi kisah yang juga seharusnya mereka yang kematian anak kecil berasa sejuk hati, lantaran bersemangat tinggi kembali untuk reda dengan takdir Allah. Kisah ini diriwayatkan oleh Imam Muslim.

Abu Hurairah diadukan oleh seseorang yang kematian anak kecil, 'Sesungguhnya sudah mati dua orang anakku, maka apa yang kamu tahu tentang hadis daripada Nabi SAW yang boleh memberi ketenangan bagi jiwaku menghadapi kematian anak-anakku itu.' Lalu Abu Hurairah berkata kepadanya, 'Ya, anak-anak yang mati kecil adalah anak-anak yang akan memasuki syurga. Seorang daripada anak itu akan menemui bapanya atau kedua ibu bapanya lalu anak itu akan memegang akan pakaian bapa atau kedua ibu bapanya seperti aku memegang hujung pakaianmu ini dan anak itu tidak akan melepaskannya sehingga Allah memasukkan anak itu dan kedua ibu bapanya ke dalam syurga.'

Jelas, bahawa anak-anak yang mati kecil adalah pemberi syafaat di akhirat. Kematian anak kecil sedih dan hiba di atas dunia, namun membawa khabar gembira ria di alam akhirat. Insya-Allah.

Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 5:59 AM