RASULULLAH SAW utamakan politik pembangunan dengan mengutamakan sektor pendidikan dan institusinya.
RASULULLAH SAW utamakan politik pembangunan dengan mengutamakan sektor pendidikan dan institusinya.
Mohd Azman Rifin

Tiada seorang pun tokoh yang mampu menandingi keunggulan dan kehebatan Rasulullah SAW. Semakin dikaji baik oleh ilmuwan mahupun oleh kita selaku pembaca sirahnya, pasti akan menemui bahan sumber rujukan baharu. Kata orang, kajilah daripada aspek apa pun tentang kehidupan Nabi kita, yang terhasil tidak lain adalah timbulnya rasa kekaguman yang mendalam.

Antara bidang yang tidak seharusnya dilupakan ialah melihat dan mengkaji berkenaan perihal keunggulan serta kehebatan Rasulullah dalam aspek politik. Kita mungkin teringat bahawa apabila menyebut sahaja politik, maka apa yang terbayang di fikiran hanyalah parti politik dan sistem pilihan raya sahaja!

Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikan politik sebagai seni dalam mengaturkan dan menguruskan pemerintahan serta sistemnya dalam sesebuah masyarakat. Justeru, apa yang dilakukan semasa hayatnya juga tidak terlepas daripada aspek politik kerana baginda juga seorang pengatur dan pembina sistem kehidupan masyarakat Arab dahulu.

Sesungguhnya, Rasulullah SAW adalah ahli politik terawal dan terulung dalam Islam. Baginda memulakan gerakan menyusun tatacara kehidupan masyarakat secara penuh bersusila berlandaskan tauhid dan akidah yang kukuh dalam diri setiap individu Arab yang menerima Islam pada peringkat awal dakwahnya di bumi Makkah.

Pendekatan sulung yang dilaksanakan oleh Rasulullah ialah membina masjid sebagai pusat ibadah dan pusat aktiviti sosial. Masjid Quba dan Masjid Nabawi sebagai saksi betapa Rasulullah SAW mengambil langkah proaktif dalam membina sebuah masyarakat dan negara yang berpadu erat.

Meskipun bumi Madinah dihuni oleh pelbagai ras dan anutan agama, tetapi Rasulullah SAW sekali lagi bertindak bijak dengan mempersatukan masyarakat ketika menggubal sebuah 'perlembagaan' yang didukung bersama yang dikenali sebagai Piagam Madinah atau Sahifah Madinah. 

Piagam Madinah yang mengandungi 47 fasal itu yang diiktiraf sebagai Perlembagaan Bertulis pertama di dunia adalah satu bukti betapa unggulnya Rasulullah SAW dalam mencorak dan melandskapkan sosiobudaya dan sosiopolitik dalam kalangan warga Madinah. Masing-masing, sama ada yang beragama Islam mahupun golongan non Muslim mempunyai tanggungjawab dan fungsi dalam memperteguhkan serta mempertahankan kelangsungan 'Negara Islam Madinah' yang diterajui oleh Rasulullah SAW. 

Jika sebelum kedatangan baginda, sosiobudaya dan sosiopolitik masyarakat di Madinah sentiasa dalam situasi perpecahan serta sarat dengan perasaan cemburu dan saling iri hati antara satu keturunan dengan yang lain. Malah banyak siri peperangan telah tercetus akibat persengketaan yang tidak menemui jalan penyelesaian yang total.

Namun, kehadiran Rasulullah SAW bak sebutir mutiara yang memberikan rimbunan rahmat kepada seluruh penduduk dengan wujudnya Piagam Madinah yang mengikat keeratan ukhuwah ummah dalam suasana saling bersefahaman. Rasa kebertanggungjawaban terhadap negara mula dirasakan oleh masyarakat yang sebelum era kedatangan Rasulullah SAW sikap kebertanggungjawaban bersama tidak pernah ada.

Api konflik yang tidak pernah padam, akhirnya terpadam jua apabila perseteruan sesama mereka dipadamkan menerusi Piagam Madinah, manakala bagi golongan Islam seperti golongan Ansar yakni penduduk asal Madinah yang terdiri daripada golongan Aus dan Khazraj menjadi bersepadu dengan tali Allah berasaskan tauhid yang satu.

Golongan Aus dan Khazraj yang sebelum kehadiran Islam, mereka sentiasa dihantui dengan sikap saling mencurigai sehingga menyebabkan kehidupan dua golongan berkenaan tidak pernah sunyi dengan siri perbalahan.

Selain itu, penjenamaan semula nama Yathrib kepada nama baharu, Madinah al-Munawarah juga dilihat antara pendekatan yang bukan sekadar bentuk kosmetik semata-mata. Sebaliknya dengan julukan nama baharu itu memberikan satu motivasi dan suntikan semangat jitu untuk masyarakat Madinah ketika itu. Madinah al-Munawarah yang bermaksud, 'Kota yang Bercahaya' adalah satu simbolik kepada semangat buat seluruh warga Madinah untuk membangun sebuah kehidupan bersama tanpa prejudis dan saling bermusuh antara satu sama lain.

Nama baharu yang dijenamakan oleh Rasulullah SAW itu menyuntik rasa keinginan yang padu membina kelangsungan hidup dalam 'Keluarga Besar Madinah' berpayungkan kepada prinsip hidup sehati sejiwa. Penjenamaan semula kepada nama Madinah itu juga juga adalah satu isyarat awal yang menunjukkan betapa Rasulullah SAW mempunyai misi dan visi politik yang jelas untuk membangunakan Madinah sebagai pusat tamadun atau peradaban manusia era baharu ketika itu. 

Dalam tempoh 10 tahun sahaja, Rasulullah SAW telah berjaya mempersatukan ukhuwah ummah dengan terlangsungnya sebuah kehidupan yang harmoni sehingga aktiviti syiar agama Islam dapat diperluaskan. Titik tolak kepada semua itu tidak lain kerana seluruh warga Madinah memiliki rasa kebertanggungjawaban yang jitu untuk hidup bersatu padu dan saling mengukuh. 

Malah, hubungan erat dalam kalangan golongan Muhajirin (yang berhijrah dari Makkah) dengan golongan Ansar sangat harmoni. Detik-detik awal penghijrahan Rasulullah SAW menjelaskan kepada kita betapa bijaknya pendekatan yang diambil oleh baginda dengan mempersaudarakan dua golongan tersebut. Inilah juga strategi politik yang dilihat sebagai permulaan kepada terjananya ukhuwah ummah yang utuh.

Selain itu, Rasulullah SAW juga memberikan hak kesamarataan sosial untuk semua warga Madinah tanpa mengira sama ada mereka beragama Islam ataupun tidak. Ini membuktikan bahawa Rasulullah SAW memberikan suatu contoh teladan bahawa Islam mampu memimpin sebuah negara dengan prinsip keadilan yang sebenar.

Juga, politik yang dibawa oleh junjungan mulia Rasulullah SAW juga mengutamakan politik pembangunan dengan mengutamakan sektor pendidikan dan institusinya. Jika ditinjau dalam perjalanan sirah, kita pasti menemui banyak paparan yang jelas menunjukkan aspek pendidikan menerusi platform masjid menjadi keutamaan yang dilakukan oleh Nabi SAW.

Demikian juga halnya dengan termeterainya Perjanjian Hudaibiyyah yang sekali lagi mempamerkan betapa bijaksana dan fikiran pandang jauh ke hadapan yang dimiliki oleh baginda. Meskipun pada peringkat awalnya seakan-akan ramai sahabat besar Rasulullah menunjukkan riak kurang bersetuju, tetapi baginda tetap dengan pendirian untuk memeterai perjanjian kerana ia jelas akan memberikan impak positif kepada orang Islam.

Ini juga kebijaksanaan politik yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

Sesungguhnya, tiada apa pun sudut kehidupan yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW. Segalanya telah pun ditunjukpandukan buat kita jadikan sebagai contoh ikutan.

Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2023 @ 7:00 AM