MOHAMAD Sabu (gambar arkib sidang Dewan Rakyat Disember 2019) . FOTO NSTP
MOHAMAD Sabu (gambar arkib sidang Dewan Rakyat Disember 2019) . FOTO NSTP
Suraya Roslan


PRESIDEN Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu diminta menjelaskan kenyataan beliau yang menyamakan pelarian dengan penghijrahan Rasulullah SAW ketika membahaskan usul titah diraja di Dewan Rakyat, semalam.

Timbalan Pengarah Institut Sains Islam, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr Ahmad Sanusi Azmi berkata, satu pertemuan perlu diadakan dengan pemimpin itu untuk mengetahui apa yang dimaksudkan daripada ucapannya itu.

"Kita kena tanya dia (Mohamad) secara baik, sebenarnya apa yang dimaksudkan daripada ucapan berkenaan, sekiranya dia sekadar tersalah cakap, wajar dia memohon keampunan.

"Bagaimanapun andai dia percaya dan kata-katanya dilihat merendahkan kedudukan Rasulullah SAW maka dia sewajarnya memohon ampun kepada Allah SWT kerana Allah SWT mengangkat kedudukan Rasulullah SAW sedangkan ucapan dia dilihat seakan merendahkan Baginda," katanya kepada Harian Metro.

Ahmad Sanusi mengakui kenyataan dikeluarkan Ahli Parlimen Kota Raja itu tidak wajar apabila menyamakan Rasulullah SAW dengan pelarian.

Ini kerana, menurut beliau, penghijrahan Rasulullah SAW bukanlah menuntut perlindungan suaka politik seperti yang berlaku pada hari ini.

"Penghijrahan Rasulullah SAW didahului dengan Bai'ah Aqabah iaitu perjanjian yang menyerahkan kuasa politik kepada Rasulullah SAW.

"Penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah menyaksikan bagaimana seluruh warga Madinah menyambut Rasulullah SAW dengan penuh gembira dan alunan syair yang menghiasi ketibaan Baginda," katanya.

Pendapat sama turut dikongsi pendakwah terkenal, Datuk Ustaz Mohd Kazim Elias yang meminta pemimpin politik itu berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan mengenai penghijrahan Rasulullah SAW.

"MINTA orang politik berhati-hati sikit bila bercakap, jangan main sedap mulut buat analogi.

"Apa ke hal (apa hal) disamakan Nabi (Muhammad) SAW macam pelarian, fahami makna pelarian, refugee dan hijrah baik-baik," kata menerusi Facebook rasminya.

Mohd Kazim berkata, Nabi manakah yang lari meninggalkan perintah Allah SWT walaupun beratus tahun berdakwah sehingga dibunuh.

"Mengistilahkan Nabi Muhammad SAW lari adalah sangat kurang sopan sedangkan perintah berhijrah adalah datangnya daripada Allah SWT.

"Berapa ramai Nabi yang dibunuh dalam menyampaikan risalah Allah SWT? Mereka diseksa dan dibunuh malah Nabi Muhammad SAW yang paling keras ditentang oleh orang Quraisy di Makkah, baginda tidak lari tetapi diperintahkan untuk berhijrah oleh Allah SWT," katanya.

Menurut Mohd Kazim, fahami mengenai perintah dan hikmah berhijrah, Nabi bukan berhijrah untuk kemewahan dunia tetapi menyebarkan Islam.

Akuinya, sebagai insan yang jahil dan cetek ilmu tidak boleh menjadi penghalang untuknya mempertahankan Nabi Muhammad SAW.

"Daripada hijrah Nabi itulah membentuk Piagam Madinah yang menjadi asas dalam pembentukan sebuah negara apatah lagi negara dihuni pelbagai kaum dan kepercayaan.

"Sepatutnya Piagam Madinah itulah yang ditiru oleh kita bagaimana ingin mentadbir kerana ia dibawa oleh Nabi tetapi apabila dikatakan Nabi itu sebagai pelarian dibimbangi kesan kepada masyarakat yang tidak memahami hal sebenar dan golongan yang tidak pandai menghormati Islam akan menggunakan hujah ini untuk menolak, menghina dan memperlekehkan Nabi," katanya.

Semalam, ketika membahaskan usul titah diraja di Dewan Rakyat, Mohamad Sabu mengingatkan tokoh penting dalam Islam juga pernah menjadi pelarian termasuk Nabi Muhammad SAW.

"Jangan kita lupa sejarah. Jangan kita anggap kita lupa Islam itu ditegakkan oleh para pelarian, khasnya Nabi Muhammad SAW yang menjadi pelarian atau berhijrah dari Makkah ke Madinah," katanya.

Bagaimanapun, ucapan Mohamad itu dibantah Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari untuk menarik balik kenyataan berkenaan yang disifatkan mengelirukan dewan dan Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2020 @ 1:09 PM