TUANKU Muhriz (empat kanan) dan Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani ditemani Aminuddin pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sembilan 1445 Hijrah. FOTO Azrul Edham
TUANKU Muhriz (empat kanan) dan Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani ditemani Aminuddin pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sembilan 1445 Hijrah. FOTO Azrul Edham
Mohd Amin Jalil

Seremban: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menyeru kepada semua rakyat negeri ini di semua peringkat untuk menjadikan Rasulullah SAW sebagai ikutan yang terbaik.

Titah baginda, Rasulullah SAW perlu dijadikan contoh terbaik kepada semua lapisan masyarakat termasuk pemimpin masyarakat.

"Rasullah SAW adalah insan teristimewa dan perlu dijadikan contoh serta ikutan terbaik dalam kehidupan," titah baginda ketika mencemar duli ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sembilan 1445 Hijrah yang diadakan di Padang Majlis Bandaraya Seremban di sini, hari ini.

Turut berangkat ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Yang hadir sama, Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin, Tunku Besar Seri Menanti dan juga Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Dalam pada itu, Tuanku Muhriz turut menggesa supaya terapkan semangat kekitaan yang tinggi kerana ia penting bagi memastikan perpaduan dalam masyarakat terus kukuh.

Baginda bertitah, Rasulullah SAW menjadikan tali persaudaraan sebagai elemen penting sehingga termeterainya Piagam Madinah dalam membentuk negara Islam.

"Justeru, semua pemimpin dan rakyat di negeri ini perlu terus menyemai benih perpaduan dan memperkukuhkannya supaya perasaan saling menghormati antara satu sama lain kekal utuh," titah baginda.

Baginda menekankan bahawa penyatuan umat daripada pelbagai kaum dan bangsa penting supaya semuanya kembali kepada Tuhan Yang Maha Esa dengan penuh hikmah dan rahmah.

"Rasulullah SAW menyampaikan risalah dakwah sehingga akhirnya wujud perpaduan yang mapan.

"Oleh itu, umat yang bijak perlu mencari titik persamaan dan mengurangkan jurang perbezaan, akan menjadi umat yang berkualiti.

"Semua pihak berkepentingan perlu akur dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara yang mempunyai martabat tertinggi serta istimewa, tanpa menafikan keadilan terhadap golongan lain," titah baginda.

Sementara itu, Aminuddin dalam ucapannya berharap rakyat Negeri Sembilan boleh menjadi contoh dalam memperlihatkan kepelbagaian dan menzahirkan perpaduan yang menjadi teras kepada negara Malaysia.

"Melaluinya, rakyat negeri ini akan menikmati kehidupan yang berkualiti, mampan dan sejahtera secara holistik.

"Nilai dan amalan bersih, muafakat dan sejahtera perlu terus bersemarak dan kekal menjadikan budaya kita bersama," katanya.

Sebanyak 76 kontinjen membabitkan seramai, 4,500 peserta mewakili jabatan dan agensi kerajaan, swasta serta institut pengajian tinggi, sekolah dan masyarakat awam menyertai perarakan sambutan berkenaan yang diadakan bermula di Padang Majlis Bandaraya Seremban.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2023 @ 12:42 PM