GOLONGAN yang lebih baik untuk diberi sedekah adalah  kepada kaum kerabat dan orang miskin.
GOLONGAN yang lebih baik untuk diberi sedekah adalah kepada kaum kerabat dan orang miskin.
Oleh Siti Nur Baiin Che Harun

Tanpa sedar kita telah pun menginjak ke akhir Ramadan. Walaupun begitu, amalan dan tradisi bersedekah sangatlah digalakkan dan perlu diteruskan. Sedarkah kita dengan berpuasa dan amalan bersedekah ada kaitannya dengan sifat sabar?

"Puasa itu setengah sabar." (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Ramadan adalah bulan yang mendidik jiwa dan melatih diri untuk bersabar. Ia juga disebut syahr-sabr. Sifat sabar perlu dipraktikkan dalam pelbagai situasi dan keadaan. Sabar tidak hanya dalam mengendalikan nafsu amarah sahaja. Sabar juga perlu diamalkan dalam mengawal keinginan (selera) makan dan minum serta menahan lapar dan dahaga.

Contohnya, ketika mengunjungi bazar Ramadan, kita perlu didik diri dan sabar dalam menahan nafsu daripada membeli makanan atau menyediakan juadah yang berlebihan untuk berbuka puasa. Dengan sabar, ia mampu meningkatkan ketakwaan terhadap Allah SWT.

Allah berfirman yang bermaksud: "Hai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana yang diwajibkan ke atas umat sebelum kamu. Semoga kamu bertakwa." (Surah al-Baqarah ayat 183) 

Dalam Islam kita sangat dituntut untuk bersederhana atau bersikap wasatiyyah dalam kelangsungan hidup lebih-lebih lagi semasa berbuka puasa. Elakkan melakukan pembaziran makanan yang melampau ketika di bulan Ramadan. Bulan ini, bulan yang sepatutnya kita lebih berjimat cermat dan muhasabah diri dengan mengingati mereka yang lebih susah. Perbanyakkan berkongsi rezeki dan hulukan sedekah dengan orang yang lebih memerlukan.

Jangan jadikan bulan Ramadan bulan yang banyak melakukan pembaziran. Allah sangat melaknat mereka yang suka membazir. Makanlah berpada-pada dan janganlah terlampau mengikut amalan makanan yang viral di media sosial. Dari membazir, ada baiknya dikongsikan rezeki dan bersedekah dengan orang yang lebih memerlukan.

Allah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya." (Surah al-Israa' 17 ayat 26-27)

Perbanyakkan bersedekah

Terus tingkatkan amalan bersedekah. Sesungguhnya bersedekah adalah amalan yang menjadi jariah yang sentiasa mengalir pahalanya dan dihitung hingga ke akhir hayat kita. Ini kerana dengan bersedekah mampu menyucikan harta.

Selain daripada mendapat pahala, menghapuskan dosa, bersedekah juga akan menyebabkan rezeki bertambah menjadi berlipat kali ganda.

Rasulullah SAW bersabda: "Tidak akan berkurang rezeki orang yang bersedekah, kecuali bertambah, bertambah dan bertambah." Selain itu, dengan bersedekah juga dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT. Hidupkan keberkahan sunah bersedekah dalam kalangan anak-anak. Ia dapat menjauhkan diri daripada bersifat kedekut. Beri dorongan dan teladan yang baik kepada anak-anak supaya mereka suka berkongsi rezeki sesama makhluk.

  Amalan ini mampu meraih keberkatan malah memberi ketenangan jiwa mereka yang bersedekah. Sesungguhnya bersedekah tidak akan membuatkan seseorang itu miskin atau berkurang hartanya.

"Sedekah itu tidak akan mengurangi harta. Tidak ada orang yang memberi maaf kepada orang lain melainkan Allah akan menambah kemuliaannya, dan tidak ada orang yang merendahkan diri kerana Allah melainkan Allah akan mengangkat darjatnya." (Riwayat Muslim no 4689)

Firman Allah SWT yang bermaksud:  "Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya." (Surah al-Baqarah ayat 261)

Dalam al-Quran juga telah dinyatakan orang yang lebih baik untuk diberi sedekah adalah bersedekah kepada kerabat dan orang miskin.

Allah menyebut dalam al-Quran tentang bersedekah kepada kerabat dan orang miskin yang bermaksud: "Mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang apa yang harus mereka infakkan. Katakanlah: "Harta apa saja yang kamu infakkan, hendaknya diperuntukkan bagi kedua orang tua, kerabat, anak yatim, orang miskin dan orang yang dalam perjalanan". Dan kebaikan apa saja yang kamu kerjakan, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui." (Surah al-Baqarah ayat 215)

 Dalam ayat yang lain Allah merakamkan: "Dan apabila sewaktu pembahagian itu hadir beberapa kerabat, anak yatim dan orang miskin, maka berilah mereka daripada harta itu (sekadarnya) dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang baik." (Surah an-Nisa' ayat 8)

 Allah juga berfirman maksudnya: "Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi bantuan kepada kerabat, dan Dia melarang (melakukan) perbuatan keji, kemungkaran, dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran." (Surah an-Nahl ayat 90)

 

Dalil sedekah kepada orang miskin

"Dan berikanlah haknya kepada kerabat dekat, juga kepada orang miskin dan orang yang dalam perjalanan; dan janganlah kamu menghambur-hamburkan (hartamu) secara boros." (Surah al-Isra' ayat 26)

 Dalam ayat yang lain Allah berfirman: "Dan jika (orang berhutang itu) dalam kesulitan, maka berilah tenggang waktu sampai dia memperoleh kelapangan. Dan jika kamu menyedekahkan, itu lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui." (Surah Al-Baqarah ayat 280)

 

Dalil sembunyikan sedekah

"Jika kamu menampakkan sedekah-sedekahmu, maka itu baik. Dan jika kamu menyembunyikannya dan memberikannya kepada orang-orang fakir, maka itu lebih baik bagimu dan Allah akan menghapus sebahagian kesalahan-kesalahanmu. Dan Allah Maha teliti apa yang kamu kerjakan." (Surah al-Baqarah ayat 271)

Inilah perumpamaan orang yang menafkahkan harta kerana riak, membangga-banggakan pemberiannya kepada orang lain dan menyakiti hati orang yang menerima.

"Orang-orang yang menginfakkan hartanya malam dan siang hari (secara) sembunyi-sembunyi maupun terang-terangan, mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada rasa takut pada mereka dan mereka tidak bersedih hati." (Surah Al-Baqarah ayat 274)

 

Hadis Nabawi tentang yang paling berhak diberi nafkah

Abu Hurairah RA berkata, Nabi SAW bersabda: "Orang yang miskin bukanlah orang yang merasa telah cukup dengan satu dua buah kurma atau sesuap atau dua suap makanan. Namun orang miskin adalah orang yang tidak meminta-minta dan tidak menunjukkan kemiskinannya kepada orang lain. Jika kalian mahu, bacalah firman Allah. (…Mereka tidak meminta-minta kepada orang lain?" (Surah al-Baqarah, 2: 273.) Hadis Riwayat Bukhari, Sahihul Bukhari, Juz 2, No. Hadis 4539, 1400 H: 205)

Penulis Guru di Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2023 @ 7:01 AM