FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohd Shahrizal Nasir

Setiap orang Islam perlu berusaha menjadi Muslim yang beriman. Orang yang beriman dikenali sebagai Mukmin. Setiap orang berpeluang untuk menjadi Mukmin asalkan berusaha melakukan perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya.

Terdapat banyak ayat al-Quran yang menjelaskan ciri-ciri orang beriman. Takut kepada Allah SWT antara ciri-ciri orang beriman. Takut kepada Allah SWT bermaksud mengakui kebesaran-Nya dan berusaha melaksanakan perintah-Nya sertta menjauhi larangan-Nya. Firman Allah SWT bermaksud: "Sesungguhnya orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-Nya) gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-Nya menjadikan mereka bertambah iman serta kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah." (Surah al-Anfal ayat 2)

Orang bertawakal kepada Allah SWT selepas melakukan usaha juga termasuk dalam kalangan orang beriman. Iman mereka teguh menyatakan bahawa Allah SWT berkuasa melakukan apa sahaja yang terbaik untuk hamba-Nya. Firman Allah SWT bermaksud: "… dan kepada Allah jualah hendaklah kamu berserah (setelah kamu berusaha), jika benar kamu orang yang beriman." (Surah al-Maidah ayat 23)

Apabila seseorang insan benar-benar mempercayai keesaan Allah SWT, seluruh kehidupannya akan dilihat menerusi dimensi positif. Ini kerana seseorang yang beriman sentiasa sedar kehidupannya di atas muka bumi ini tertakluk kepada ketetapan Allah SWT.

Setiap apa yang berlaku dalam kehidupan orang Mukmin semuanya adalah baik. Dia menerima setiap ketentuan yang berlaku dalam kehidupannya kerana mengetahui di sebalik semua yang berlaku pasti ada hikmah yang akan dikurniakan Allah SWT. Oleh itu, orang beriman tidak akan sama sekali mengeluh terhadap apa yang berlaku dalam kehidupannya.

Setiap Mukmin berusaha melakukan setiap perkara mengikut garis panduan yang ditetapkan Allah dan rasul-Nya. Maka natijah daripada usaha berkenaan akan diterima oleh orang Mukmin kerana dia sedar akan kuasa Allah SWT menentukan segalanya yang terbaik untuk hamba-Nya.

Apabila seseorang Mukmin benar-benar beriman kepada Allah SWT, segala yang berlaku dalam dirinya akan dilihat dengan pandangan yang baik. Ini sebagaimana dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud: "Sungguh menakjubkan keadaan seorang Mukmin. Semua urusannya adalah baik. Hal ini tidak didapati kecuali pada diri seorang Mukmin. Jika mendapatkan kesenangan, dia bersyukur. Maka itu adalah baik baginya. Jika mendapatkan kesusahan pula, dia bersabar. Maka itu pun baik baginya." (Hadis Riwayat Muslim)

Kita baru saja menyambut kedatangan 1 Syawal pada tahun ini. Selepas sebulan melaksanakan ibadat puasa Ramadan dan amal ibadat sunat lain pada bulan mulia itu, Allah SWT mengurniakan kegembiraan tatkala menyambut Aidilfitri.

Kegembiraan menyambut Aidilfitri kali ini juga sebenarnya disambut dengan meriah meskipun terpaksa akur dengan ketetapan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sebelum datangnya 1 Syawal, ramai orang menyuarakan rasa sedih kerana tidak dapat pulang ke kampung meraikan lebaran bersama keluarga. Semua orang hanya dibenarkan meraikan Aidilfitri di rumah masing-masing.

Namun pada 1 Syawal, ramai orang dilihat memanfaatkan media sosial masing-masing menzahirkan kegembiraan menyambut hari raya. Masing-masing saling mengucapkan selamat hari raya kepada kenalan di media sosial. Ada yang mencipta poster raya dengan kreativiti tersendiri. Gambar hari raya bersama keluarga di rumah dan juadah hari raya juga dikongsi dalam akaun media sosial masing-masing.

Sebenarnya nikmat kegembiraan yang dikurniakan oleh Allah SWT masih dapat dirasai oleh semua orang Mukmin. Tatkala keadaan masih dibelenggu wabak Covid-19, umat Islam di negara ini masih dapat menyambut hari raya dalam suasana norma baharu. Semua ini tidak menyekat kewajipan kita untuk menzahirkan kesyukuran kepada Allah SWT atas kurniaan nikmat yang diberikan sempena kehadiran Syawal.

Orang Mukmin tidak akan melupakan Allah SWT ketika berada dalam keadaan gembira. Sememangnya hari raya adalah anugerah daripada Allah SWT untuk diraikan dalam kegembiraan. Kegembiraan itu pula disertakan dengan perbuatan yang melambangkan kesyukuran kepada Allah SWT.

Allah SWT secara jelas menyatakan bahawa kehadiran lebaran yang disambut selepas cukup tempoh berpuasa pada Ramadan perlu diraikan dengan membesarkan Allah SWT. Sebab itu, pada hari raya tempoh hari kita semua bertakbir melaungkan kata-kata yang mengesakan Allah SWT. Semua perkara ini dibuat bagi menyerlahkan kesyukuran kepada-Nya.

"… dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya supaya kamu bersyukur." (Surah al-Baqarah ayat 185 )

Jika pensyariatan ibadah puasa bertujuan menjadikan seseorang Muslim menjadi golongan bertakwa tattaqun, maka pensyariatan hari raya pula bertujuan menjadikan seseorang Muslim itu termasuk dalam kalangan golongan yang bersyukur tashkurun.

Pada masa sama, kita masih berdepan ujian melawan penularan wabak Covid-19. Sehingga kini, angka merujuk bilangan yang dijangkiti wabak Covid-19 masih banyak. Orang Mukmin apabila ditimpa kesusahan, dia akan bersabar.

Bersabar menghadapi kesusahan bukan sekadar duduk diam tanpa berusaha mengelak daripada jangkitan virus. Sebaliknya orang yang berada dalam keadaan yang susah perlu bersabar dan memohon pertolongan daripada Allah SWT.

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang yang khusyuk." (Surah al-Baqarah ayat 45)

Orang Mukim yang bersabar ketika berdepan dengan kesusahan tidak akan membuang masa menyalahkan orang lain, membuka pintu perbalahan, mengeluarkan kata-kata yang buruk, menyebarkan fitnah dan sebagainya. Semua orang perlu saling membantu antara satu sama lain agar kita semua dapat mengekang penularan wabak yang sudah lama berada di sekeliling kita.

Rasulullah SAW bersabda mengenai tindakan sesetengah orang yang suka menyebut perkara yang tidak membantu menyelesaikan ujian yang dihadapi. Mereka lebih suka menyebut ayat yang sebenarnya di luar kemampuan sendiri untuk melakukannya.

"Sekiranya kamu ditimpa sesuatu musibah, janganlah kamu mengatakan 'kalaulah aku melakukan itu dan ini'. Akan tetapi katakanlah 'takdir' (ketentuan) Allah dan apa yang dikehendaki-Nya pasti akan terjadi." (Hadis Riwayat Muslim)

Hadis ini mengajak kita bersama-sama menangani ujian yang melanda dengan memikirkan langkah yang sepatutnya diambil, bukan sekadar menyebut hal yang sudah berlalu. Orang yang bersabar dalam menghadapi kesusahan dengan sentiasa memohon pertolongan daripada Allah SWT pasti akan menerima ganjaran istimewa daripada-Nya.

Keistimewaan yang bakal dikurniakan oleh Allah SWT termasuk mengeluarkan hamba-Nya yang berada dalam kesusahan kepada keadaan lebih baik. Firman Allah SWT bermaksud: "… Sesungguhnya orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira." (Surah az-Zumar ayat 10)

Mari kita jadi Mukmin yang bersyukur tatkala dikurniakan kegembiraan dan bersabar apabila berdepan dengan kesusahan. Usah jadi golongan yang menyalahkan Allah SWT dengan mengatakan Dia tidak menyayangi kita hanya kerana kesusahan yang ditanggung ketika ini.

"Dan sebaliknya apabila dia diuji oleh Tuhannya dengan disempitkan rezekinya, (dia tidak bersabar bahkan dia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: "Tuhanku menghina diriku! (kerana ujian yang menimpanya)." (Surah al-Fajr ayat 16)

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 6:00 AM