GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

 

Setiap insan di dunia ini mempunyai perasaan cinta kepada sesuatu atau kepada seseorang. Dari satu sudut, cinta itu kadang-kadang boleh mengakibatkan seseorang itu buta mata hatinya sehingga dia leka, lupa, alpa dan hilang kesedaran terhadap apa yang berlaku di sekelilingnya. Dari satu sudut lain, cinta juga boleh membahagiakan seseorang sehingga dia dapat mengecapi kemanisan dalam setiap detik kehidupannya. Demikianlah betapa kuatnya pengaruh cinta hingga boleh mengubah perwatakan, peribadi dan hala tuju hidup seseorang manusia dalam menelusuri pentas hidup yang penuh pancaroba ini.

Dalam realiti kehidupan semasa, cinta itu ditakrifkan sebagai seseorang yang mencintai seseorang wanita dan begitu juga sebaliknya. Cinta sebegini yang memastikan zuriat manusia berkembang biak di alam semesta ini. Namun, cinta yang sebegini juga adalah punca utama kepada kemungkaran yang semakin membarah dalam budaya hidup masyarakat Islam kini. Lihatlah sahaja di sekeliling masyarakat moden dewasa ini di mana kedapatan ramai anak remaja dan muda mudi yang begitu tergamak melanggar norma tata susila masyarakat dan hukum hakam Allah Taala apabila mereka asyik dalam lamunan cinta.  Tidak hairanlah mereka tanpa segan silu berpegangan tangan, berjalan berdua-duaan, malahan ada juga yang sanggup berpeluk-pelukan dan bercumbu-cumbuan di khalayak ramai.        

Justeru, di manakah letaknya sifat malu mereka? Adakah kerana mereka begitu asyik tenggelam dalam lautan cinta sehingga perasaan malu yang bersemayam di sudut jiwa terhakis dihempas badai cinta?  Namun begitu, yang paling malang dan menyedihkan lagi, bukan sahaja golongan muda yang terjebak dalam kancah yang terlarang ini, bahkan golongan yang berumur juga sanggup melakukan perkara yang sedemikian rupa seolah-olah mereka tidak ada lagi memiliki perasaan malu dan kehormatan diri dalam kejauhan sudut hati.           

Sememangnya tidak dapat dinafikan manusia diciptakan dengan naluri semula jadi untuk mencintai dan menyayangi makhluk lain. Ini kerana perasaan cinta itu adalah satu perasaan semula jadi yang tidak dapat dinafikan kewujudannya dalam kamus kehidupan manusia sejagat. Oleh itu, terdapat seseorang yang mencintai dirinya sendiri atau cinta kepada orang lain atau cinta kepada makhluk lain atau yang paling unik cinta kepada Allah Taala. Kesemuanya itu satu bukti jelas betapa perasaan cinta sememangnya sedia ada dalam diri manusia.          

Sehubungan itu, Allah Taala ada berfirman yang bermaksud: "Dihiaskan (dijadikan indah) kepada manusia kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu iaitu perempuan-perempuan, anak-pinak, harta benda yang banyak berpikul-pikul dari emas dan perak, kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih, binatang-binatang ternakan dan kebun-kebun tanaman. Semuanya itu adalah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah) pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)." (Surah Ali Imran, ayat 14)

Jelas bahawa cinta adalah satu perasaan yang diharuskan oleh Allah Taala kepada umat manusia, namun cinta kepada perkara yang bersifat keduniaan pada hakikatnya bukanlah satu perasaan cinta yang akan berkekalan hingga ke Hari Akhirat. Dalam erti kata lain, cinta seorang suami kepada isterinya adalah diharuskan, begitu juga cinta kedua ibu bapa terhadap anak-anaknya, cinta seseorang kepada harta bendanya, cinta kepada kenderaan kesayangannya, cinta kepada binatang ternakan dan cinta kepada tanah kebunnya yang luas adalah cinta yang diharuskan oleh Allah Taala kepada manusia.

Walau bagaimanapun, perlu diinsafi cinta kepada kebendaan tersebut hanyalah bersifat sementara semasa hidup di dunia ini sahaja. Tetapi alangkah baiknya jika cinta kepada kebendaan tersebut dimanfaatkan dengan sebaik mungkin untuk memantapkan ketakwaan dan keikhlasan kepada Allah Taala, maka cinta tersebut adalah cinta yang cukup agung, mulia dan suci di sisi Allah Taala.

Sebaliknya cinta yang keterlaluan terhadap kebendaan tersebut sehingga tergamak melanggar batasan Allah Taala dan juga nilai masyarakat, maka cinta tersebut adalah cinta terlarang yang hanya mengakibatkan padah yang buruk dan kesudahan yang penuh sengsara di kemudian hari.

Bagi orang beriman, takwa yang terpahat kukuh di lubuk jiwa akan membiaskan rasa cinta yang mendalam dan rindu yang membara terhadap Allah Taala. Apatah lagi, perasaan cinta dan rindu yang menguntum mekar ini akan meningkatkan iman seseorang kepada Allah Taala. Natijahnya, orang yang merindui dan mencintai Allah Taala adalah golongan yang dapat mengecapi kemanisan iman sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW lewat sabdanya: "Tiga perkara apabila berada pada diri seseorang, nescaya dia akan merasai kemanisan iman; iaitu hendaklah Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai daripada yang lain; hendaklah juga dia mengasihi dan mencintai saudaranya semuslim kerana Allah Taala; dan dia amat benci untuk kembali kepada kekufuran setelah diselamatkan Allah daripadanya sebagaimana dia benci untuk dicampakkan ke dalam api neraka yang bernyala-nyala api di dalamnya." (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Maksud hadis tersebut mengisyaratkan cinta seseorang kepada Allah Taala adalah satu tanda beriman dan bertakwanya seseorang itu. Bahkan cinta kepada Allah Taala juga adalah sebahagian daripada syarat beriman kepada Allah Taala. Ini diperkuatkan lagi dengan sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Kamu tidak akan beriman sehinggalah Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai daripada yang lain." (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Seterusnya, perasaan cinta ini sebenarnya tidak akan berputik dengan hanya sekadar seseorang itu berdiam diri sahaja tanpa melakukan sesuatu amalan untuk sampai kepada matlamat yang ditujui. Sebaliknya, bibit-bibit cinta perlu dibajai dan disirami dengan haruman makrifat yang sebenarnya kepada Allah Taala. Untuk mencapai ke makam makrifat kepada Allah Taala, seseorang Muslim hendaklah mengenali segala sifat-sifat-Nya yang agung dan suci daripada segala kekurangan yang menyaksikan Allah Taala sebagai Pencipta Mutlak alam semesta.

Begitu juga dengan memerhati segala ciptaan-Nya yang menghiasi keindahan alam maya ini daripada jutaan makhluk yang menghuni atas muka bumi ini daripada sekecil-kecilnya hinggalah sebesar-besar makhluk. Kesemuanya itu sudah cukup sebagai satu bukti yang terang kepada kebesaran Allah Taala dan keagungan-Nya dan ia juga memadai untuk mencetuskan rasa keinsafan dalam diri seseorang untuk mengagungkan Allah Taala dan seterusnya berputik perasaan cinta yang suci ke hadrat Allah Taala.

Apabila perasaan cinta sudah berputik di lubuk jiwa, hatinya akan sentiasa ingat kepada Allah Taala sepanjang masa dan hubungannya dengan Allah Taala juga semakin hampir di mana dia merasakan kehadiran Allah Taala dalam setiap detik kehidupannya. Oleh itu, dia akan merasa malu dan tidak tergamak untuk melanggar perintah Ilahi, sebaliknya dia akan merasa suka dan cinta serta tidak sabar-sabar untuk melakukan amalan yang akan membawa kepada keredaan Allah Taala. Apabila perasaan seumpama itu wujud dalam diri seseorang Muslim bermakna dia telah mencintai Allah dan mengecapi nikmat kemanisan beriman kepada Allah Taala.

Selain daripada cinta kepada Allah Taala, seseorang Muslim juga dituntut mencintai Rasulullah SAW yang merupakan seorang manusia yang paling dicintai di sisi Allah Taala sehingga baginda SAW pernah digelar Habibullah iaitu kekasih Allah. Yang paling uniknya cinta seseorang Muslim kepada Rasulullah SAW merupakan bukti cintanya kepada Allah Taala. Dalam hal ini, Allah Taala berfirman yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah akan mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (Surah Ali Imran, ayat 31)            

Cintanya seseorang Muslim kepada Rasulullah SAW dibuktikan melalui kepatuhan yang penuh tulus terhadap apa-apa sahaja yang dibawa oleh Baginda SAW dengan menerima dan meneladani segala perjalanan hidupnya iaitu sunnahnya dan juga menjauhi segala dilarangnya.

Di samping itu, Islam juga menganjurkan setiap Muslim agar mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri. Ini adalah sendi akhlak Islam yang tinggi dan terpuji. Memadailah baginda Rasulullah SAW sebagai model terbaik dalam membuktikan kecintaannya yang mendalam kepada sahabatnya, kepada sekalian kamu Muslimin, tidak kira tua atau muda, besar atau kecil, miskin atau kaya, semuanya sama belaka. Yang paling mengkagumkan ialah cintanya Rasulullah SAW terhadap mereka sekalian melebihi kasih dan cintanya terhadap dirinya sendiri. Itulah contoh cinta ideal yang sewajarnya diikuti dan diterjemahkan dalam realiti kehidupan Muslim masa kini dalam usaha untuk menjana kesatuan ummah yang padu lagi jitu dalam mendepani cabaran globalisasi dewasa ini. 


Penulis Dekan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 7:01 AM