MENGUNJUNGI Masjid Nabawi di Madinah menjadi simbol kecintaan kepada  Baginda Rasulullah SAW.
MENGUNJUNGI Masjid Nabawi di Madinah menjadi simbol kecintaan kepada Baginda Rasulullah SAW.
Oleh Dr Mohd Khafidz Soroni

Orang yang tidak betul-betul mendalami dan mengenali hak Baginda Nabi SAW sering menyangka kedudukan dan taraf Baginda sebelum dilantik menjadi rasul pada usia 40 tahun adalah sama seperti manusia biasa sahaja. Sedangkan banyak dalil yang menunjukkan bahawa Baginda SAW walaupun manusia, namun bukanlah seperti manusia biasa, sama ada sebelum dan apatah lagi sesudah diangkat sebagai rasul. Bak seperti kata penyair: "Sayyiduna  Muhammad itu adalah manusia yang bukan seperti manusia biasa, bahkan Baginda adalah seperti sebiji permata di antara batu-batu biasa."

 Meskipun Allah SWT berfirman: "Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa tuhan kamu hanyalah Tuhan yang satu." (al-Kahf: 110). Namun, ayat ini adalah bagi menunjukkan bahawa Nabi SAW adalah daripada jenis manusia, bukan daripada jenis malaikat atau jin. Lantaran itu, ia perlu dibaca bersama dengan banyak dalil lain yang menunjukkan kemuliaan dan ketinggian makam Baginda SAW.

 Mereka yang mempelajari dan memahami hak Baginda Nabi SAW tidak akan sanggup berkata: "Nabi SAW adalah manusia biasa seperti kita sebelum dilantik menjadi rasul." Pernyataan sebegini dikhuatiri boleh menyebabkan iman kita rosak tanpa kita sedari disebabkan kejahilan kita tentang hak Baginda SAW.

 Antara dalil hakikat kejadian baginda SAW bukanlah sepertimana manusia biasa ialah baginda merupakan Nabi terawal yang dilantik oleh Allah Taala sebelum wujudnya nabi-nabi, bahkan sebelum Nabi Adam AS diciptakan lagi. Abu Hurairah RA  berkata: Sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, bilakah tuan dilantik menjadi Nabi?" Rasulullah SAW menjawab: "Ketika Adam masih di antara ruh dan jasad." (Riwayat at-Tirmizi, katanya: Sahih gharib)

Kedudukan sebagai Nabi terawal menunjukkan baginda telah dijaga dan dipelihara oleh Allah Taala sejak dahulu lagi. Dengan pemeliharaan Ilahi ini, maka tidak mungkin Baginda pernah melakukan perkara yang dibenci oleh Allah Taala sebelum dibangkitkan menjadi Rasul. Apatah lagi untuk menyatakan baginda pernah berada dalam kesesatan sepertimana yang didakwa oleh sesetengah orang.

 Zat kejadian Baginda juga dipilih khas oleh Allah Taala, menjadikan Baginda merupakan insan yang terpilih daripada kalangan yang terpilih. Wathilah bin al-Asqa' RA berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah telah memilih Kinanah daripada keturunan Nabi Isma'il dan memilih kaum Quraish daripada zuriat Kinanah, dan memilih daripada kaum Quraish Bani Hasyim dan memilih aku daripada Bani Hasyim." (Riwayat Muslim dan at-Tirmizi)

 Ini dikuatkan lagi dengan hadis al-Muttalib bin Abi Wada'ah katanya: 'Abbas RA datang kepada Rasulullah SAW, seakan-akan beliau mendengar sesuatu, maka Nabi SAW berdiri di atas mimbar sambil berkata: "Siapakah aku?" Sahabat menjawab: "Engkau adalah utusan Allah, ke atasmu salam sejahtera." Baginda bersabda: "Aku adalah Muhammad bin 'Abdullah bin 'Abdul Muttalib. Sesungguhnya Allah telah menciptakan makhluk-Nya lalu menjadikan aku dalam kalangan yang paling baik di antara mereka. Kemudian Dia menjadikan mereka dua kelompok, dan menjadikan aku berada di kelompok yang terbaik daripada dua kelompok tersebut. Kemudian Dia menjadikan mereka berkabilah-kabilah, dan menjadikan aku berada di kabilah yang terbaik daripada kabilah-kabilah itu. Kemudian Dia menjadikan mereka berumah-rumah, dan menjadikan aku berada di rumah yang terbaik daripada rumah-rumah itu dan juga memiliki keperibadian yang paling baik di antara mereka." (Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi, katanya: Hadis hasan)

 Dalam riwayat lain Baginda bersabda: "Maka, aku adalah jiwa yang terbaik di antara mereka dan rumah yang terbaik di antara mereka." (Riwayat at-Tirmizi, katanya: Hadis hasan)

Terdapat banyak lagi dalil yang membuktikan bahawa Nabi SAW hatta sebelum dilantik menjadi rasul bukanlah seperti manusia biasa. Kejadian-kejadian luar biasa pada Baginda Nabi SAW sebelum itu yang disebut 'irhas' (perkara luar biasa sebagai petanda kenabian) juga merupakan bukti yang jelas.

 Mengenali dan mengasihi Baginda Nabi SAW adalah syarat kesempurnaan iman seseorang Muslim. Baginda SAW ibarat seperti pintu untuk masuk ke sebuah rumah, di mana kita tidak akan dapat masuk ke dalam rumah tersebut jika tidak melalui pintunya. Begitu juga umat Baginda tidak akan diterima imannya tanpa beriman dengan baginda SAW. Bahkan, imannya kepada Baginda pula tidak akan sempurna jika tidak mengenali dan mengasihinya dengan sebenar-benar kasih sayang. Malah di akhirat, mereka tidak akan dapat masuk ke syurga tanpa melalui syafaat Baginda SAW. Semua ini merupakan ketetapan Allah SWT yang tidak boleh kita ingkari.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2023 @ 7:00 AM