SELAIN menjaga pemakanan, berzikir mengingati Allah juga dapat memelihara jantung kita.
SELAIN menjaga pemakanan, berzikir mengingati Allah juga dapat memelihara jantung kita.
Dr Zuraimy Ali

GANTUNG disebut sebanyak enam kali dengan kalimah 'qalbu' dan 21 kali dengan kalimah 'qulub' di dalam al-Quran. Sejak lebih 1,400 tahun lalu, Islam menyebut tentang jantung sekali gus membuka mata manusia untuk meneroka mengenai fungsinya.

Di sini dikemukakan dua ayat al-Quran bagi membuka minda umat Islam supaya menyokong penuh kempen kesedaran bagi menyayangi jantung anda. Kedua-dua ayat ini sangat penting bagi membangkit rasa sedar dan peri pentingnya jantung bagi keperluan manusia. Jika manusia gagal memelihara organ penting ini ia akan memberi implikasi yang sangat buruk bahkan mampu mendatangkan risiko berpanjangan sekiranya tidak dipelihara daripada sekarang.

Pertama, mari sama-sama kita merenung maksud ayat 179, Surah al-A'raaf yang bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak daripada jin dan manusia yang mempunyai jantung (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat Allah) dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi, mereka itulah orang yang lalai."

Berdasarkan ayat itu tidakkah kita sedar peranan jantung sebenarnya membawa fungsi yang besar dengan mengepam darah dan oksigen ke otak supaya manusia dapat memikir dan memahami dengan lebih baik. Cuba renung seketika jika jantung tidak berfungsi dengan baik pada tubuh badan manusia. Sudah tentu ia memberi kesan terhadap proses otak untuk berfikir dengan sempurna. Kekurangan oksigen yang dipam oleh jantung memberikan beberapa kesan sampingan seperti kelesuan dan keletihan serta akan mengganggu proses pembelajaran otak untuk memproses maklumat dengan baik. Ini akan membantutkan usaha untuk mencerna serta mencerakin pemikiran terhadap sesuatu ilmu dengan lebih kukuh.

Justeru, sebarang bentuk amalan buruk seperti tabiat merokok, mengamalkan tabiat makan makanan segera, pengambilan alkohol dan amalan lain yang dinyatakan oleh pakar perubatan akan mendatangkan kesan buruk spada jantung sehinggakan fungsi jantung akan mengalami pelbagai masalah terkait dengannya. Islam sangat menekan pemeliharaan jantung sehinggakan banyak ayat al-Quran dan as-Sunnah menyebut tentang kalimah itu sebagai isyarat bahawa keperluan pemeliharaan jantung sangat penting dan perlu diberikan kesedaran untuk menyayangi dan memelihara anugerah Allah SWT itu dengan baik. Jika ditelusuri petunjuk hadis Nabi SAW yang bermaksud: "Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah qalbu (jantung)." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Jelas kepada kita bahawa terdapat makna tersirat dan tersurat terhadap penjagaan jantung sehinggakan kesannya bergantung sejauh mana Muslim mengambil tanggungjawab untuk memastikan keadaan jantung sentiasa dipelihara sama ada memenuhi tuntutan kerohanian mahupun keperluan fizikal.

Kedua, ayat 28 Surah ar-Ra'd yang bermaksud: "(Iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram jantung mereka dengan zikrullah." Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah jantung manusia. Mengingati Allah SWT disebut zikrullah dalam erti kata memperbanyakkan zikir. Selain itu, membaca al-Quran dengan mentadabur maknanya termasuk dalam mengingati Allah SWT dan sudah pasti jika difahami dengan mendalam rahsia al-Quran kita akan mendapati kalimah jantung adalah kalimah kerap disebut dan perlu diberi perhatian tentang pemeliharaannya dengan baik. Justeru, sebagai warga Malaysia yang mempunyai tanggungjawab bersama dalam membina nilai tradisi keilmuan yang sihat dan ingin mewujudkan peradaban tamadun yang tinggi, ayuhlah berdoa agar Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 dikemukakan oleh Menteri Kesihatan dapat direalisasikan demi kepentingan kesihatan awam di negara ini dan seterusnya menyokong usaha dilakukan Kerajaan Perpaduan Malaysia bagi mengekalkan kesihatan jantung warganya.

Jika tidak kita siapa lagi yang akan memikul tanggungjawab untuk melahirkan generasi yang bebas rokok, bebas alkohol, mengutamakan pemakanan yang sihat demi memelihara jantung. Semoga usaha semua pihak khususnya dipihak kerajaan akan sentiasa memberikan jalan penyelesaian terbaik bagi membendung tabiat merokok dan amalan tidak sihat dalam kalangan rakyat Malaysia. Akhir kalam, sayangi jantung anda dan pelihara anugerah Allah SWT dengan sebaik-baiknya.

Penulis Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Perlis

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2022 @ 5:59 AM