PERBANYAKKANLAH memohon doa ke hadrat Allah SWT agar hati kita sentiasa teguh melakukan ketaatan hanya kepada-Nya.
PERBANYAKKANLAH memohon doa ke hadrat Allah SWT agar hati kita sentiasa teguh melakukan ketaatan hanya kepada-Nya.
Addin

Setiap orang memiliki hati yang menentukan keadaan diri seluruhnya. Seseorang tidak mampu menilai keadaan hati orang lain. Mungkin perlakuan yang dizahirkan tidak sama dengan apa yang ditetapkan dalam hati. Namun, bagi memastikan diri sentiasa berada dalam keadaan baik, setiap orang perlu menjaga hati masing-masing.

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis mafhumnya: "Ketahuilah, sesungguhnya di dalam tubuh manusia terdapat segumpal daging. Jika ia baik, maka seluruh tubuh baik. Jika ia rosak, maka seluruh tubuh juga rosak. Ketahuilah (segumpal daging) itu ialah hati." (Hadis riwayat Muslim)

Hadis tersebut menjelaskan betapa pentingnya peranan hati dalam menentukan tindak-tanduk seseorang individu. Jika hati seseorang itu baik, maka tindak-tanduknya akan sentiasa mengarah kepada kebaikan. Sebaliknya jika hati seseorang itu rosak, maka perlakuannya akan sentiasa mengarah kepada keburukan. Oleh itu, dapat difahami hati dalam diri setiap insan umpama raja, manakala anggota badan lain sebagai rakyat yang akan melaksanakan sebarang ketetapan si raja.

Sarjana Islam seperti al-Ghazali membahaskan kepentingan menjaga hati bagi memastikan diri sentiasa berada dalam kedaan baik. Hati perlu sentiasa didekatkan dengan ayat-ayat Allah SWT serta zikrullah agar ia sentiasa teguh berada pada jalan yang diredai-Nya.

Hati orang yang beriman akan sentiasa terkesan apabila didekatkan dengan ayat-ayat Allah SWT. Ini sepertimana yang dijelaskan oleh Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: "Sesungguhnya orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-Nya) gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah." (Surah al-Anfal, ayat 2)

Orang yang hatinya jauh daripada ayat-ayat Allah SWT ataupun tidak dibasahi dengan zikrullah, maka ia akan lemah dan mudah dijangkiti penyakit hati. Hasad dengki, bangga diri, tidak ikhlas, iri hati, khianat dan banyak lagi merupakan antara penyakit hati yang akan menyebabkan pelakunya melakukan tindakan yang bertentangan dengan ketetapan Islam.

Meskipun seseorang itu mengakui dirinya adalah seorang Muslim, pengakuan tersebut tidak menjamin dirinya terselamat daripada masalah hati. Ini kerana antara sifat hati ialah tidak tetap atau berbolak-balik. Oleh sebab itu, Allah SWT merakamkan doa yang menggambarkan bahawa keadaan seseorang yang pada asalnya mendapat hidayah namun boleh tersungkur kerana hati kembali memilih untuk berada dalam kesesatan.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang maksudnya: "(Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau memberi petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberian-Nya." (Surah Ali 'Imran, ayat 8)

Peringatan penting yang dirakamkan dalam al-Quran turut diperjelaskan oleh Rasulullah SAW. Baginda mengajar umatnya untuk sentiasa memohon kepada Allah SWT agar menetapkan hati dengan sentiasa berpegang kepada ajaran Islam serta melaksanakan ketaatan sepertimana yang dituntut oleh agama.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, beliau berkata: Rasulullah SAW selalu mengucapkan Ya muqallibal qulub, thabbit qalbi 'ala dinik (Wahai Allah yang berkuasa membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu). Kemudian aku (Anas) pun bertanya:  "Wahai Rasulullah, kami beriman kepadamu dan kepada apa yang engkau bawa, lalu apakah engkau masih risau tentang kami?" Baginda menjawab:  "Ya, kerana sesungguhnya hati manusia berada di antara dua genggaman tangan (kekuasaan) Allah yang Dia bolak-balikkan menurut yang dikehendaki-Nya." (Hadis riwayat Ahmad)

Penjelasan yang diberikan oleh Rasulullah SAW dalam hadis tersebut membuktikan setiap umat Islam perlu memohon bantuan daripada Allah SWT agar dikurniakan hati yang sentiasa tetap berpegang kepada Islam. Sesungguhnya hanya Allah SWT sahaja yang berkuasa membolak-balikkan hati manusia.

Orang yang tidak beriman kepada Allah SWT boleh kemudian menjadi hamba-Nya yang mengakui kebesaran-Nya. Begitu juga sebaliknya apabila orang yang mengaku sebagai orang Islam namun kemudian bertindak melakukan perkara yang menunjukkan hatinya telah terpesong daripada kebenaran.

Menginsafi realiti melibatkan hati, kita perlu sentiasa memastikan bahawa diri tidak mudah berubah daripada baik kepada buruk. Ada orang yang dengan mudah berubah pendirian daripada berpegang kepada prinsip kebaikan, kemudian dengan tiba-tiba beralih memilih keburukan dan kemungkaran.

Ada hati yang sanggup mengorbankan prinsip kebenaran hanya kerana terpesona dengan kemungkaran yang dilihat boleh memberi keuntungan berupa habuan dunia. Inilah antara perkara yang menunjukkan hati manusia boleh berubah dengan sekelip mata sekiranya empunya diri tidak memohon kepada Allah SWT agar ditetapkan hanya menjurus ke arah kebaikan sahaja.

"…Allah menjadikan iman suatu perkara yang kamu cintai serta diperhiaskannya dalam hati kamu dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu: perkara-perkara yang kamu benci; mereka yang bersifat demikian ialah orang yang tetap menurut jalan yang lurus. (Mereka dijadikan berkeadaan demikian) sebagai limpah kurnia dan nikmat pemberian daripada Allah; dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana." (Surah al-Hujurat, ayat 7-8)

Setiap orang mungkin boleh berpura-pura melakukan perbuatan baik di depan orang, namun hakikatnya hati dipenuhi dengan penyakit yang merosakkan nilai amalan yang dilakukan. Perbuatan sebegini hanya merugikan diri sendiri kerana Allah SWT menilai hati setiap hamba-Nya.  Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada bentuk rupa dan harta kamu sekalian, tetapi Allah melihat kepada hati dan amalanmu yang ikhlas." (Hadis riwayat Muslim)

Hanya diri sendiri yang mengetahui keadaan hati masing-masing. Sebagai orang Islam yang diberi panduan al-Quran dan hadis rasul-Nya, usaha penjagaan hati perlu dilakukan termasuk dengan melakukan muhasabah diri setiap hari. Doa juga adalah senjata penting bagi memastikan diri sentiasa mendapat petunjuk daripada Allah SWT.

Lakukanlah setiap perbuatan baik dengan niat ikhlas yang terbit daripada hati yang sihat. Orang yang mengikut hawa nafsu jahat sehingga hatinya dengan mudah bertukar pegangan daripada kebaikan kepada keburukan merupakan orang yang jauh daripada rahmat serta petunjuk Ilahi.

Perbanyakkanlah memohon doa ke hadrat Allah SWT agar hati kita sentiasa teguh melakukan ketaatan hanya kepada-Nya. Daripada 'Abdullah bin 'Amru bin al-'As, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW berdoa: Allahumma musarrifal qulub, sarrif qulubana 'ala ta'atik (Wahai Allah yang berkuasa membolak- balikkan hati, palingkanlah hati kami hanya untuk ketaatan beribadah kepada-Mu." (Hadis riwayat Muslim)

Penulis pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab,  Fakulti Bahasa Dan Komunikasi,  Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 7:20 AM