MEMELIHARA jantung dengan baik supaya seluruh tubuh khususnya otak dapat mencerakinkan sesuatu ilmu dengan sebaik mungkin.
MEMELIHARA jantung dengan baik supaya seluruh tubuh khususnya otak dapat mencerakinkan sesuatu ilmu dengan sebaik mungkin.
Dr Zuraimy Ali

Maqasid syariah merujuk kepada objektif ataupun matlamat syariah terhadap setiap Muslim. Ada lima matlamat syariah terhadap Muslim iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Ada banyak ayat al-Quran yang menyebut secara umum mahupun khusus terkait dengan kewajaran memelihara kesihatan diri. Sudah pasti usaha terbabit sepatutnya dihayati dan diamalkan dalam kehidupan Muslim bagi memperoleh kebahagiaan dan kesihatan yang baik.

Mengambil contoh ayat al-Quran yang terkait dengan pemakanan bagi menjaga kesihatan tubuh badan. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaianmu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang) dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas." (Surah Al-A'raf, ayat 31)

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mengumumkan bahawa setiap kementerian mahupun agensi kerajaan perlu memastikan penyediaan minuman dan makanan perlu mengurangkan kandungan gula bagi mengelak penyakit diabetes.

Selain pengurangan gula dalam minuman atau makanan, beberapa perkara lain yang terkait dengan kesihatan diri melalui penjagaan jantung perlu diperluaskan supaya jantung manusia dapat berfungsi dengan baik. Kalimah jantung ataupun disebut sebagai 'Qalbu' ataupun 'Qulub' adalah kalimah yang paling banyak disebut dalam al-Quran.

Hal ini kerana jantung adalah organ yang mempunyai fungsi besar dalam tubuh manusia iaitu mengepam darah dan membawa oksigen. Hal ini dapat diperkukuhkan melalui ayat al-Quran yang bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai jantung (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah) dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai." (Surah Al-A'raf, ayat 179)

Ayat ini menyinggung mengenai manusia yang memiliki jantung, tapi gagal memahami ayat-ayat-Nya.

Ini adalah disebabkan rahsia al-Quran menyingkap mengenai kepentingan memelihara jantung dengan baik supaya seluruh tubuh khususnya otak dapat mencerakinkan sesuatu ilmu dengan sebaik mungkin.

Realitinya dunia masa kini yang terbiasa dengan 'makanan segera' menjadikan kita generasi kian terdedah dengan pemakanan dan minuman yang kurang sihat serta tidak berkhasiat sehingga mengundang masalah jantung.

Selain itu juga, penggunaan vape dan rokok yang dicipta oleh barat sudah merosakkan fungsi jantung dan meninggalkan kesan terhadap tubuh badan manusia. Hal ini tidak boleh dipandang mudah memandangkan ketagihan merokok membawa kesan buruk terhadap generasi muda di samping hanya membazirkan wang ringgit pada perkara yang tidak memberi faedah buat diri sendiri.

Akhir kalam, mengambil ibrah (pengajaran) dan ingatan daripada hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: "Di antara tanda kebaikan keislaman seseorang: jika dia meninggalkan hal-hal yang tidak bermanfaat baginya." (Riwayat Tirmidzi)

Justeru, ayuh generasi Islam yang terdidik dengan panduan wahyu dan sunnah Nabi Muhammad SAW meninggalkan perkara yang tidak memberikan manfaat bahkan mendatangkan mudarat besar terhadap diri melalui pemeliharaan kesihatan diri.

Pelihara diri sebagaimana yang diamanahkan Allah SWT buat kita supaya manfaatnya kekal berpanjangan. Kurangkan gula, maniskan senyuman, hindari rokok tingkatkan pengetahuan akal fikiran.


Penulis Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (Acis) Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2024 @ 6:00 AM