ALLAH SWT sentiasa memerhati dan menilai setiap tanggungjawab yang dipikul oleh pemimpin.
ALLAH SWT sentiasa memerhati dan menilai setiap tanggungjawab yang dipikul oleh pemimpin.
Mohd Shahrizal Nasir

Rata-rata orang suka memegang jawatan kepemimpinan. Lihat sahaja senario Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang berlangsung pada ketika ini. Ramai orang menawarkan diri menjadi calon sama ada di kerusi Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri bagi beberapa negeri terlibat dengan PRU-15. Sesungguhnya jawatan kepemimpinan membawa tanggungjawab besar dan pastinya dinilai Allah SWT di akhirat kelak.

Ada yang menjadikan jawatan kepemimpinan sebagai tiket dirinya dipandang mulia oleh orang lain. Meskipun semasa belum menjadi pemimpin, dirinya meraih sokongan siang dan malam daripada orang ramai hingga sanggup melakukan apa sahaja asalkan dapat memenangi hati mereka. Pendirian sebegini perlu diperbetulkan kerana hakikatnya kepemimpinan bukan satu kemegahan sebaliknya ia satu taklifan atau kebertanggungjawaban yang sangat besar.

Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya:  "Setiap kamu merupakan pemimpin dan kamu semua bertanggungjawab terhadap orang di bawah jagaanmu. Seorang pemerintah ialah pemimpin dan dia bertanggungjawab terhadap rakyatnya."  (Muttafaq 'alaih)

Ada juga menjadikan peluang kepemimpinan yang diperoleh sebagai pintu meraih keuntungan dunia. Dengan memegang jawatan kepemimpinan, maka banyak peluang terbuka seluas-luasnya bagi mengumpul harta kekayaan untuk diri dan ahli keluarga. Sehingga ada dalam kalangan pemimpin tergamak merompak harta orang ramai dengan pelbagai tipu muslihat dengan anggapan perbuatannya akan terselamat daripada tindakan undang-undang.

Ingatlah dunia ini penuh dengan permainan dan tipu daya. Tetapi ketika di akhirat kelak, setiap perbuatan buruk akan dibalas dengan azab yang setimpal dengan perbuatan tersebut. Allah SWT berfirman dalam al-Quran bermaksud:  "Wahai orang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanah yang diberi kepercayaan kepadamu, sedang kamu mengetahui."  (Surah Al-Anfal, ayat 27)

Besarnya amanah kepemimpinan yang perlu ditanggung oleh pemimpin sehingga terdapat ancaman Allah SWT terhadap mereka yang gagal melaksanakan tanggungjawab dengan baik. Ini sepertimana yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya bermaksud:  "Tiga orang yang Allah enggan berbicara dengan mereka pada Hari Kiamat kelak. (Allah) tidak sudi memandang muka mereka, (Allah) tidak akan membersihkan mereka daripada dosa (dan noda). Dan bagi mereka disiapkan seksaan yang sangat pedih. (Mereka ialah): Orang tua yang berzina, pemimpin yang suka berdusta, dan fakir miskin yang takabur."  (Hadis Riwayat Muslim)

Sesungguhnya usaha besar memimpin masyarakat perlu dilaksanakan dengan penuh ikhlas dan tanggungjawab. Dalam sistem demokrasi diamalkan di Malaysia, setiap pemimpin yang terpilih perlu memimpin dan menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira kelompok, meskipun rakyat tersebut tidak memilihnya semasa proses pilihan raya.

Allah SWT memerhati dan menilai tanggunjawab dipikul pemimpin. Apabila semua urusan memilih pemimpin selesai, maka mereka perlu bersegera menjalankan tugas dengan cara terbaik kerana ia merupakan satu amanah. Firman Allah SWT yang bermaksud:  "Sesungguhnya sebaik-baik orang hendak engkau ambil untuk bekerja ialah yang kuat (berkemampuan) dan amanah (dipercayai)."  (Surah Al-Qasas, ayat 36)

Selain itu, antara sifat keji yang perlu ditinggalkan oleh pemimpin ialah sifat 'dusta'. Dengan pelbagai janji yang ditabur semasa kempen pilihan raya berlangsung, ia mesti diusahakan secara serius demi kebaikan rakyat yang dipimpinnya. Pastinya dalam suasana masih wujud wabak Covid-19 ketika ini, anggota masyarakat berdepan dengan pelbagai masalah dan kesukaran dalam hidup. Oleh itu, menjadi tanggungjawab utama para pemimpin untuk memberi bantuan bagi menyelesaikan masalah tersebut atau setidaknya mengurangkan penderitaan yang ditanggung.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:  "Wahai orang beriman, mengapa kamu mengucapkan sesuatu yang tidak kamu kotakan. Besar benar dosanya di sisi Allah kalau kamu mengucapkan apa yang tidak kamu kotakan."  (Surah Al-Munafiqun, ayat 1-2)

Rasulullah SAW turut mengingatkan para pemimpin tentang bahaya tanggungjawab yang tidak dilaksanakan menerusi sabda Baginda yang bermaksud:  "Tiada seorang pun pemimpin yang menguasai urusan kaum Muslimin, lantas tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk kebaikan mereka dan tidak jujur kepada mereka, melainkan dia tidak akan masuk syurga bersama mereka." (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Seorang pemimpin perlu menjadi contoh kepada pengikutnya dan mempunyai pengaruh besar dalam mencorakkan pemerintahannya. Kepemimpinan Rasulullah SAW berasaskan akhlak mulia sehingga mampu menarik golongan bukan Islam untuk memeluk Islam dan mentaati Baginda sebagai ketua negara. 

Pemimpin adalah model dalam membentuk sahsiah yang baik dalam kepemimpinan dan kehidupan harian. Pemimpin akan sentiasa diperhatikan rakyat. Bukan sahaja rakyat akan menilai pemimpin mereka, malah Allah SWT turut menilai setiap tindakan para pemimpin. Jagalah sahsiah diri dan jangan sesekali menjadi pemimpin yang mencetuskan perbalahan dalam kalangan rakyat sedangkan hakikatnya para pemimpin tersebut hidup harmoni sesama mereka meskipun berlainan ideologi politik. 

Sekiranya para pemimpin memiliki sifat-sifat terpuji sepertimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, pastinya akan lahir masyarakat yang harmoni. Masyarakat yang terdiri daripada kalangan pemimpin dan rakyat yang saling sayang-menyayangi, hormat-menghormati serta sentiasa diingati dalam doa. Rasulullah SAW bersabda:  "Sebaik-baik pemimpin kamu adalah yang kamu cintai dan mereka pun mencintai kamu serta yang sentiasa kamu doakan dan mereka pun selalu mendoakan kamu."  (Hadis Riwayat Muslim)

Hakikatnya tidak semua orang mampu menjadi pemimpin. Buat para bakal pemimpin pasca PRU15, sesungguhnya penyesalan adalah bahana yang bakal diterima di akhirat nanti bagi sesiapa yang gagal melaksanakan tanggungjawab sebaiknya ketika di dunia. Usah leka dibuai 'keindahan' memegang jawatan kepemimpinan sehingga menyebabkan diri terjebak dalam perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT.

Seorang sahabat nabi bernama Abu Dzar pernah bertanya kepada Rasulullah SAW perihal dirinya yang tidak diberi sebarang jawatan pentadbiran, dengan berkata:  "Wahai Rasulullah, mengapa engkau tidak memberiku kekuasaan (jawatan)?"  Lalu Rasulullah SAW bersabda:  "Wahai Abu Dzar, sesungguhnya engkau adalah orang yang lemah (tidak berkemampuan) dan kekuasaan itu adalah amanah. Sesungguhnya kekuasaan itu pada Hari Kiamat menjadi kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi orang yang mendapatkan kekuasaan tersebut dengan haknya dan melaksanakan kewajipannya pada kekuasaan itu."  (Hadis Riwayat Muslim)

Semoga Allah SWT menyelamatkan kita daripada fitnah kekuasaan yang hanya membawa kerugian di akhirat nanti. Walau bagaimapaun, jawatan kepemimpinan boleh menjadi punca seseorang mendapat keistimewaan di sisi Allah SWT sekiranya diri dapat melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya. Salah satu daripada tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah SWT di akhirat nanti ialah pemimpin yang adil.

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2022 @ 7:00 AM