GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Datuk Mohd Ajib Ismail

Syariat Islam menetapkan peraturan dan hukuman bagi setiap kesalahan yang dilakukan begitu juga undang-undang sesebuah negara termasuk dalam kes pembunuhan.

Firman Allah dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 178-179 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman 'qisas' (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan. Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan daripada saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa) dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan daripada Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Dan di dalam hukuman qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa."

Kita mendengar pelbagai isu dan peristiwa berkaitan kes pembunuhan yang berlaku melalui pelbagai asbab seperti perbuatan buli, pergaduhan, memandu dalam keadaan merbahaya dan lain-lain. Pembunuhan dianggap suatu perbuatan jenayah dalam Islam mahupun di sisi undang-undang negara kerana ia menyanggahi lima prinsip maqasid syariah iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta serta memberikan kesan emosi yang mendalam kepada ahli keluarga dan waris yang ditinggalkan.

Justeru sesuatu hukuman yang ditetapkan ke atas perbuatan jenayah tersebut amatlah wajar bertujuan untuk memberikan pembalasan, pencegahan, pemulihan dan pemeliharaan bagi kemaslahatan kehidupan umat manusia. Namun barang siapa yang bertaubat dan menyesal dengan sebenar-benarnya terhadap kesalahan yang dilakukan serta memperbaiki diri dan amalannya, sesungguhnya Allah SWT menerima taubat sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Maidah ayat 39 bermaksud: "Maka sesiapa yang bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan (curi) itu dan memperbaiki amal usahanya, sesungguhnya Allah menerima taubatnya; kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Di sebalik hukuman dan pembalasan yang ditetapkan terselit juga keindahan dan keluasan rahmat ajaran Islam bagi mereka yang memberikan kemaafan. Walaupun memberikan kemaafan suatu tindakan yang sukar dan berat untuk dilakukan, namun perbuatan tersebut menghapuskan sifat dendam kerana ketika manusia memaafkan dan melupakan kesalahan orang lain, maka Allah memberikan kepadanya ketenangan dan kekuatan jiwa yang membentuk peribadi
yang lebih baik.

Perbuatan memohon kemaafan dan memaafkan amat penting dilakukan bagi memelihara hubungan sesama manusia agar terhindar daripada sifat dendam yang dibenci Allah SWT. 

Firman Allah dalam surah al-Syura ayat 43 yang bermaksud: "Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah daripada perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya)."

Allah SWT memberikan ganjaran pahala yang besar dan balasan yang banyak kepada mereka yang sudi memaafkan. Namun kemaafan tersebut adalah wajar bagi mereka yang mahu berusaha melakukan islah atau memperbaiki diri ke arah kebaikan. Ajaran Islam memberikan dorongan agar memaafkan orang lain kerana Allah suka memaafkan dan mengampunkan hamba-Nya. Walaupun menzalimi orang lain adalah perbuatan yang dibenci, namun Allah SWT menegah daripada membalas kezaliman tersebut melebihi daripada perbuatan yang dilakukan.

Sifat memaafkan merupakan ciri seorang Muslim yang beriman dan bertakwa kepada Allah. Memberikan  kemaafan  kepada  orang lain atas  kesalahan  yang dilakukan merupakan akhlak yang baik dan terpuji. Firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 45 yang bermaksud: "Dan kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim."

Beberapa bulan lalu tular di media sosial kisah seorang ayah yang memaafkan pembunuh anaknya di Arab Saudi sebelum hukuman gantung dijatuhkan. Seorang peguam di Jeddah mengulas peristiwa tersebut dengan menyatakan bahawa walaupun hukuman mati diizinkan berdasarkan ketetapan syariat sebagai pencegahan untuk melindungi nyawa dan memelihara jiwa manusia, Islam juga menggesa penganutnya untuk memaafkan sekiranya boleh dan mengajar penganutnya untuk mengamalkan sifat bertoleransi. Begitu juga kisah Dr Abdul Munim Sombat Jitmoud yang telah menyentuh perasaan puluhan juta orang apabila video beliau memaafkan lelaki yang dituduh terbabit dalam pembunuhan anaknya di mahkamah Amerika Syarikat, tersebar dan dilaporkan secara meluas di seluruh dunia. Klip video di dalam mahkamah pada 7 November 2017 menunjukkan Dr  Abdul Munim mengejutkan semua yang hadir, malah hakim tidak dapat menahan air mata, apabila dia memaafkan tertuduh, Trey Alexander Relford.

Sifat memaafkan dapat mengangkat darjat manusia sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Mahukah aku ceritakan kepadamu mengenai sesuatu yang membuat Allah memuliakan kedudukan dan meninggikan darjatmu? Sahabat menjawab; tentu. Rasul pun bersabda: "Kamu harus bersikap sabar kepada orang yang membencimu, kemudian memaafkan orang yang berbuat zalim kepadamu, memberi kepada orang yang memusuhimu dan juga menghubungi orang yang telah memutuskan silaturahim denganmu." (Riwayat al-Tabrani)

Keluasan rahmat syariat Islam meraikan maslahah golongan yang dizalimi serta peluang kedua bagi yang melakukan kesalahan.

Firman Allah dalam al-Quran surah al-Maidah ayat 32 yang bermaksud: "Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya. Dan demi sesungguhnya, telah datang kepada mereka Rasul-rasul kami dengan membawa keterangan yang cukup terang; kemudian, sesungguhnya kebanyakan daripada mereka sesudah itu, sungguh-sungguh menjadi orang-orang yang melampaui batas (melakukan kerosakan) di muka bumi."

 Sesungguhnya Allah SWT membenarkan orang yang dizalimi membela diri dan menuntut haknya, bahkan menjatuhkan hukuman kepada orang yang zalim adalah bertujuan menegakkan keadilan, namun tindakan memberikan kemaafan juga dapat menenangkan jiwa dan menghidupkan peluang kedua bagi mereka yang benar-benar insaf dan berusaha memperbaiki dirinya.


Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 November 2021 @ 6:01 AM