FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Dr Lokman Ab. Rahman

Penggunaan kalimah ijtihad terlalu eksklusif bagi golongan fuqaha sahaja telah berubah.  Dalam amalan pentadbiran negara, ijtihad adalah tool untuk memberi jalan penyelesaian demi kepentingan negara. Sekiranya ia datang dari mufti, ia dikenali sebagai fatwa kepada persoalan semasa yang timbul dalam kalangan masyarakat. Dialog terkenal antara Rasulullah SAW dan Muaz bin Jabal menjadi prinsip penting dalam amalan ijtihad. Ketika pengutusan Muaz ke Yaman, Rasulullah SAW telah menguji kecerdasannya dengan pertanyaan apakah sumber rujukannya ketika berdepan masalah sebagai gabenor di sana. Secara teratur Muaz menjawab dia akan merujuk al-Quran, hadis dan berijtihad apabila tidak menemuinya dalam kedua-dua sumber terbabit. 

Jaminan semangat ijtihad yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW bahawa sesiapa berijtihad dan didapati betul akan mendapat dua pahala dan jika salah sekalipun tetap mendapat pahala walaupun satu pahala.  Ijtihad yang salah tetap mendapat satu pahala! Bagi mengelakkan kesilapan ijtihad, fuqaha meletakkan beberapa syarat penting dan tiada ruang untuk berijtihad bagi perkara yang sudah ada nas. Antara syarat terbabit ialah penguasaan al-Quran, hadis, masalah yang diijmakkan, qias dan bahasa Arab. Ini bermakna tiada konsep taklid buta dalam ajaran Islam dan tidak bermaksud sesiapa sahaja boleh berhujah mengenai hukum hanya kerana kemampuannya membaca al-Quran atau anak mufti, sekiranya bukan bidang kepakarannya!  Kesilapan penggunaan pendekatan ijtihad secara membabi buta dapat dikesan dalam ajaran sesat dan pemikiran liberalisme sehingga bercanggah dengan nas hukum. 

Sifat ijtihad sangat dinamik dalam menggerakkan kehidupan manusia untuk sentiasa berkembang dalam  menentukan perancangan masa depan atau penyelesaian masalah melalui pelbagai ijtihad mazhab. Oleh itu, perbezaan mazhab tidak boleh dilihat sebagai suatu khilaf yang boleh menimbulkan masalah. Perbezaan mazhab adalah hasil ijtihad fuqaha berteraskan nas mengikut sesuatu masalah yang timbul berdasarkan situasi, masa, tempat, bangsa, cuaca, adat, budaya dan negara yang pelbagai. Kepelbagaian mazhab bukan norma baharu dalam Islam selagi tidak bercanggah dengan nas utama. Aplikasi ijtihad adalah  budaya pemikiran kreatif sebagai laluan solusi terhadap sesuatu masalah.  Dengan sifat ini Islam berkembang dengan pantas melangkaui sempadan bangsa, budaya dan geografi. Berteraskan ini, cendekiawan Muslim memaksimakan peninggalan tamadun dunia seperti Greek, India, China dan Parsi melalui modifikasi dan inovasi baharu supaya bertepatan akidah dan syariah. 

Ketika menjadi Khalifah, Saidina Umar al-Khatab RA banyak membuat inovasi pentabiran negara. Antaranya dikenali sebagai jaminan makanan, food security. Malah Umar sendiri menyiasat dari rumah ke rumah supaya tiada rakyatnya kelaparan tanpa mempromosi diri melalui media pemerintah. Kepemimpinannya amat selari dengan gaya hidup sederhana dan bertentangan dengan lambang seorang pemimpin negara yang penuh dengan gaya hidup mewah.

Dasar Jaminan Makanan Antarabangsa digubal disebabkan kebimbanan mengenai masa depan bekalan makanan dan sumber pertanian. Malaysia sendiri masih tidak mampu mengeluarkan bekalan makanan secara besar-besaran dan masih bergantung kepada import. Sumber pertanian dan ternakan sangat kritikal kerana memerlukan masa yang panjang, sekurang-kurangnya tiga hingga tujuh tahun. Pendekatan Umar bukan soal memperoleh sumber sahaja, tetapi bagaimana ia digunakan dan dihabiskan. Malah, beliau tegas terhadap tanah pertanian terbiar dan menghidupkannya semaksima mungkin serta memberi pemilikan kepada yang mengimarahkannya.

Manakala Nabi Yusuf AS pula berpemikiran strategik dengan menyusun rancangan mendepani kemarau panjang. Sebagai Menteri Perbendaharaan Mesir, beliau mengarahkan rakyat Mesir bercucuk tanam selama tujuh tahun. Malah hasil tanaman dituai dan disimpan bersama tangkainya kecuali untuk dimakan sahaja (Quran: 12, 47-48). Tindakan ini menjamin sumber makanan mencukupi, tawaran yang stabil dan memperolehinya dengan mudah. Sektor pertanian berteknologi tinggi  dan berinovasi perlu disemarakkan lagi untuk memastikan jaminan dan bekalan makanan negara. Ia juga peluang kerjaya kepada mereka yang kehilangan pekerjaan akibat musibah Covid-19 di samping mengambil alih semula peluang pekerjaan yang dikuasai tenaga asing selama ini.  

Dalam aspek pembangunan dan pengurusan ekonomi, Malaysia berjaya membangunkan Tabung Haji, sistem perbankan Islam, takaful  dan pusat zakat. Kewajipan zakat dikanunkan di bawah Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) seluruh Malaysia adalah gambaran ijtihad moden. Lapan asnaf sentiasa diambil kira dalam pengagihan zakat. Bagaimanapun, asnaf  fi sabillah kelihatan terlalu luas ditafsirkan sehingga begitu 'membuncit' mengatasi asnaf lain sedangkan fakir dan miskin belum terbela secukupnya. Kutipan zakat sangat memberangsangkan hasil ijtihad-fatwa yang mewajibkan zakat pendapatan dibayar kepada lembaga zakat yang dilantik di setiap negeri. Sebagaimana  Malaysia pernah melancarkan Dasar Pandang Ke Timur dengan menjadikan Jepun sebagai contoh negara maju, negara Timur Tengah melihat Malaysia sebagai rujukan dalam banyak perkara pentadbiran dan pengurusan hal ehwal Islam.  Kejayaan ini boleh dilihat apabila ada kutipan pusat zakat memperoleh lebih setengah bilion setahun. Tetapi, masih ramai golongan miskin bandar, gelandangan dan fakir miskin. Bocor atau tiris di mana? Persoalan ini terjawab melalui laporan audit negara setiap tahun. Amalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE), wang zakat yang  tidak digunakan bagi kos pengurusan diambil kira sebagai harta suci. Sekiranya kerja strategik menangani permasalahan rakyat dilaksanakan secara bersistematik, tidak mustahil akan mencapai sifar miskin dan gelandangan.  

Dalam konteks politik dan ijtihad pula,  Muhammad Iqbal sebagai pemikir dan ahli politik Pakistan di dalam karyanya The Reconstruction of Religious Thought in Islam mengatakan fungsi parlimen adalah sangat berkait. Baginya peranan kuasa ijtihad dalam institusi khilafah adalah sangat berkait dengan fungsi dewan rakyat. Berdasarkan mazhab sunni pemilihan pemimpin adalah suatu tuntutan mutlak.  Peranan pemimpin dalam parlimen sebagai badan legislatif berkait langsung dengan institusi ijtihad jamae' untuk menjaga kemaslahatan negara. Kewujudannya bertanggungjawab untuk merancang pembangunan negara membabitkan kewangan, ekonomi, keselamatan, perundangan dan kualiti hidup rakyat. Bagaimanapun, ia bergantung kepada mandat manifesto politik yang dibawa untuk menjaga kemaslahatan rakyat atau sekadar menjaga hayat parti politik. Ijtihad politik yang salah akan berlaku sekiranya kepentingan warna politik melebihi kepentingan rakyat dan negara. 

Tanggungjawab ahli politik bukan sekadar menjadi jurucakap di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri. Ijtihad politik tidak sepatutnya sekadar menjaga hayat politik semata. Mereka yang dipilih seharusnya menjadi khadam rakyat untuk menyelesaikan masalah. Tidak timbul alasan untuk melepaskan diri dan mengecewakan pengundi, sungguhpun manifesto parti bukan kitab suci!

Oleh itu, kerja ahli politik hari ini kelihatan seperti helah, bukan ijtihad. Pembabitan mereka dalam Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri  boleh dikatakan ijtihad kolektif.    

Amalan  ijtihad sangat luas menepati maksud curahan tenaga fizikal dan mental.  Peranan ijtihad tidak sepatutnya diaplikasikan dalam skop teori hukum sahaja khususnya ibadah. Ilmuwan Islam menjadikan peluang ijtihad untuk membangunkan peradaban ummah sehingga tercetusnya Revolusi Industri. Malah, persoalan ibadah solat mampu mencetus revolusi pengurusan masa dan astronomi sehingga tertubuh balai cerap dan terciptanya segala macam alatan. Galakan ijtihad terbukti merangsangkan penggunaan minda, budaya inovasi, membuahkan resolusi, melaksanakan wacana dan memacu perkembangan tamadun insan. Wallahu'alam.

Penulis Pengarah Bahagian  Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mac 2021 @ 6:00 AM