PERBEZAAN ideologi parti politik tidak dilarang oleh Perlembagaan negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen.
PERBEZAAN ideologi parti politik tidak dilarang oleh Perlembagaan negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen.
Dr Mohd Khafidz Soroni

ANTARA sunatullah pada manusia ialah Dia menciptakan mereka tidak sama dalam pelbagai sudut. Selain rupa fizikal, perbezaan turut berlaku pada akal dan pemikiran yang dicetuskan. Namun dalam kajian ideologi, perbezaan pemikiran biasanya diwakili oleh kelompok dan bukannya individu. Perbezaan pemikiran ini membabitkan kecenderungan dalam pelbagai aspek seperti agama, politik dan sebagainya.

Dalam Islam, perbezaan ini ada yang dicela oleh syarak dan ada tidak dicela. Perbezaan dicela oleh syarak adalah perbezaan berkaitan dengan dasar kepercayaan dan keyakinan. Oleh itu, agama yang diredai oleh Allah SWT hanya satu iaitu Islam meskipun wujud puluhan agama lain sebagai satu ujian buat umat manusia.

Dalam disiplin pengajian Islam pula, perbezaan yang dicela adalah perbezaan yang berkaitan dengan pokok agama (usuluddin) dan perkara mutawatir. Maka itu, fahaman yang diterima oleh syarak hanya satu sahaja, iaitu fahaman Ahlus Sunnah Waljamaah (ASWJ), meskipun wujud puluhan fahaman lain dalam dunia Islam seperti Khawarij, Muktazilah, Syiah dan Mujassimah. Perbezaan sebegini adalah berbentuk perpecahan. Lantaran itu, istilah 'firqah' digunakan oleh ulama dalam membincangkan perpecahan fahaman ini sekali gus memberi gambaran negatif terhadapnya.

Perbezaan yang tidak dicela adalah perbezaan berkaitan cabang agama (furuk). Perbezaan sebegini adalah berbentuk kepelbagaian, bukan perpecahan. Istilah yang digunakan ulama dalam membincangkan kepelbagaian pandangan ini ialah 'mazhab'. Rentetan itu, terdapat pelbagai mazhab yang diterima oleh ASWJ, khususnya Hanafi, Maliki, Syafii dan Hanbali.

Perbezaan menggunakan minda dalam bertindak mencari keputusan yang terbaik (ijtihad) adalah perbezaan (ikhtilaf) yang boleh disebut sebagai suatu rahmat. Walaupun hadis: "Ikhtilaf umatku itu adalah rahmat" tidak ditemui sumber asalnya dan ada yang menilainya palsu, namun ia cuma daripada aspek menisbahkannya kepada Nabi SAW sahaja. Sedangkan, inti makna yang dikandung olehnya tidak pun bertentangan dengan banyak dalil yang sahih.

Maknanya turut didukung oleh ramai ulama seperti kata Umar bin Abd al-Aziz: "Tidaklah aku suka jika sahabat Nabi Muhammad SAW itu tidak berikhtilaf kerana jika mereka tidak berikhtilaf, nescaya tidak akan ada sebarang rukhsah (keringanan)." Kata al-Qasim bin Muhammad: "Ikhtilaf sahabat Nabi Muhammad SAW itu adalah rahmat bagi hamba Allah." (Rujuk Tabaqat Ibn Saad dan al-Madkhal oleh al-Bayhaqi).

Demikian juga pandangan Imam Malik ketika Khalifah Harun ar-Rasyid ingin mewartakan mazhabnya sebagai mazhab bagi semua umat Islam, lalu jawab beliau: "Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya ikhtilaf ulama itu adalah rahmat daripada Allah Taala ke atas umat ini." (Rujuk Ruwat Malik oleh al-Khatib al-Baghdadi)

Kata-kata mereka semua merujuk kepada perselisihan dalam perkara cabang, bukannya perkara pokok dalam Islam. Lantaran itu, di sinilah sebenarnya terletak titik permulaan jika kita ingin mewujudkan kesatuan. Ini disebabkan kesatuan lebih mudah direalisasikan dalam kepelbagaian, berbanding jika kita cuba mewujudkan kesatuan dalam perpecahan. Meskipun adakalanya berlaku juga perpecahan dalam perkara furuk disebabkan kegagalan beberapa pihak dalam menghayati konsep ijtihad serta roh syariat Islam yang bersifat luas dan meraikan.

Jika dikiaskan dengan konsep kenegaraan di Malaysia, perbezaan yang ditolak adalah perbezaan yang berkaitan dengan sistem pemerintahan. Ini kerana sistem yang diterima oleh Perlembagaan negara hanya satu sahaja, iaitu demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan, meskipun wujud berbagai sistem pemerintahan lain di dunia seperti demokrasi liberal, republik, monarki, sosialisme dan komunisme.

Sistem ini membenarkan perbezaan ideologi politik yang diinterpretasikan melalui parti politik yang bertanding dalam pilihan raya. Perbezaan ideologi parti politik ini jelas tidak dilarang oleh Perlembagaan negara. Begitu juga dengan semua bentuk perbezaan yang diraikan oleh sistem ini dalam rangka kepelbagaian.

Jika parti politik ini mengimplementasikan konsep kepelbagaian dan bukan perpecahan yang dijelaskan, sewajarnya tidak sukar untuk mewujudkan kesatuan dalam kalangan rakyat. Namun, adakalanya perkara ini tidak dapat dijelmakan kerana kegagalan segelintir dalam menghayati sistem pemerintahan serta agenda pembangunan rakyat dan negara yang patut diutamakan selepas pilihan raya. Akibatnya kepelbagaian menjadi perpecahan serta memberi kesan terhadap agenda pembangunan. Bahkan ironinya, Rukun Negara juga gagal dihayati oleh segelintir pihak.

Walhal melalui penghayatan yang benar, baik dalam beragama atau berpolitik tidak sukar sebenarnya untuk mencari kesatuan dalam kepelbagaian. Cuma yang kita bimbangkan jika terdapat pihak yang terus bersikap tidak peduli, malah galak menjadi ejen perpecahan demi kepentingan diri semata-mata.

enulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2023 @ 6:33 PM