KALANGAN  ulama bersungguh-sungguh dalam meningkatkan bilangan rakaat mereka kerana yakin amalan mereka  digandakan pada  Ramadan. FOTO Adi Safri
KALANGAN ulama bersungguh-sungguh dalam meningkatkan bilangan rakaat mereka kerana yakin amalan mereka digandakan pada Ramadan. FOTO Adi Safri
Ustaz Hafiz Za’farani

Penamaan Ramadan Mubarak ini datang daripada hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah: "Rasulullah SAW bersabda: Telah datang kepada kamu Ramadan, bulan Mubarak (yang dipenuh keberkatan), bulan di mana Allah azza wa jalla memfardukan pada siangnya berpuasa, dibukakan pintu langit, ditutup pintu neraka, dibelenggu syaitan, ada padanya satu malam yang terlebih baik daripada seribu bulan. Sesiapa yang tidak mendapat kebaikan pada bulan ini maka rugilah dia." (Hadis Riwayat Ahmad no. 7148 & An-Nasaie no.2106)

Rasulullah SAW bersabda: "Setiap amal manusia akan digandakan dengan sepuluh kebaikan yang semisalnya hingga (boleh mencapai) tujuh puluh kali ganda. Allah taala berfirman: Kecuali amalan puasa kerana puasa itu untuk Aku, dan Aku sendiri yang akan membalasnya disebabkan dia telah meninggalkan syahwat dan makanan kerana-Ku." (Hadis Riwayat Al-Bukhari, no.1904)

Hebatnya Ramadan ini sehingga Nabi bersabda: "Apabila tiba Ramadan, maka hendaklah kamu mengerjakan umrah. Ini kerana umrah pada bulan itu menyamai pahala seperti mengerjakan haji." (Hadis Riwayat Al-Bukhari, no.1782)

Oleh yang demikian, kita seharusnya menggandakan juga amalan kita pada Ramadan kerana Allah sudah menawarkan ganjaran yang berlipat kali ganda. Sama hal juga dengan bilangan rakaat solat sunat Tarawih. Masih ramai yang bergaduh dalam menentukan bilangan rakaat.

Bilangan solat Tarawih sememangnya ulama khilaf, antara pandangan mazhab yang disebutkan dalam kitab Nail Al-Awthar ialah: Pandangan Mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali: 20 rakaat.

Berdasarkan hadis Khalifah Umar Al-Khattab memerintahkan solat Tarawih 20 rakaat berjemaah yang diriwayatkan oleh Imam Malik dalam Muwatha' dan Al-Baihaqi dalam Sunan Al-Kubra.

Pendapat kedua mazhab Maliki: Berdasarkan ijtihad Khalifah Umar bin Abd Aziz dan ini merupakan Amal Ahli Madinah seperti yang disebutkan dalam kitab Ihkam Al-Fushul, hal. 480.

Manakala, bagi yang solat Tarawih 8 rakaat dengan 3 solat sunat Witir adalah berpandukan hadis riwayat Aisyah: "Rasulullah tidak solat melebihi 11 rakaat sama ada pada Ramadan atau selain daripadanya. Baginda bersolat empat rakaat dan janganlah kamu bertanya akan kesempurnaan dan panjang solat Rasulullah. Kemudian, Baginda solat lagi empat rakaat dan janganlah kamu bertanya akan kesempurnaan dan panjang solat Baginda. Setelah itu, Baginda solat tiga rakaat." (Hadis Riwayat Al-Bukhari, no.1147)

Walaupun hadis ini sahih daripada Sayyidatina Aisyah, namun ada juga riwayat lain beliau meriwayatkan Rasulullah solat 13 rakaat, 9 rakaat, 7 rakaat dan 5 rakaat seperti yang diriwayatkan Imam Muslim dan Imam Ibnu Hibban.

Oleh itu, ulama menilai semua dalil dan menyatukannya dengan menyelaraskan makna hadis itu sehingga mereka menyimpulkan asas solat Tarawih tidak dihadkan dengan sesuatu jumlah. Maka, terpulang kepada pandangan ulama mazhab untuk menentukan bilangan solat Tarawih seperti dijelaskan
di atas.

Kalangan ulama berpandangan pada peringkat awal Tarawih dilaksanakan dengan memanjangkan bacaan dalam solat, namun kemudian manusia mula lemah, lalu dilaksanakan Tarawih 23 rakaat dengan dipendekkan bacaannya seperti yang disebutkan Imam Abu Al-Walid Al-Baji dan dinukilkan oleh Imam Az-Zurqani dalam Syarah Al-Muwatha'.

Manakala menurut kitab Syarah Mukhtasar Khalil Lil Khurasi, penduduk Madinah melihat penduduk Makkah bergembira dengan Tarawih mereka kerana setiap empat rakaat, mereka akan tawaf. Lalu penduduk Madinah menambah lagi 16 rakaat kepada 20 rakaat sebagai ganti mereka tidak dapat tawaf di Madinah, menjadikan solat mereka 36 rakaat. Dan berkata Al-Bisathi dalam Syarah Al-Burdah, orang yang pertama melaksanakan solat Tarawih 30 rakaat ialah Khalifah Umar Bin Abdul Aziz.

Oleh yang demikian, kita perlu sedar bahawa kalangan ulama bersungguh-sungguh dalam meningkatkan bilangan rakaat mereka kerana yakin amalan mereka akan digandakan pada Ramadan.

Di Malaysia, sudah tentu ramai yang tidak mampu solat 36 atau 30 rakaat Tarawih seperti dalam mazhab Maliki. Namun, kita yang bermazhab Syafie tetap teruskan solat Tarawih 20 rakaat. Ulama nusantara kita sudah mengerti bahawa kita tidak mampu untuk menambah lebih daripada jumlah itu, maka mereka menganjurkan agar di antara solat Tarawih itu diselangi dengan selawat.

Penulis adalah Setiausaha Muzakarah Hadis dan Syariat (Muhadis)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2020 @ 7:00 AM