FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Dr Mohd Khafidz Soroni

Qiyam Ramadan atau solat sunat Tarawih antara contoh terbaik yang dapat memberi pencerahan buat kita tentang pendirian dan perspektif ulama salaf terhadap isu keharusan memperbanyakkan amal ibadah berbentuk mutlak tanpa mesti terikat dengan bilangan sahih sahaja daripada Nabi SAW sekiranya ada.

Ini kerana solat sunat Tarawih adalah antara amalan yang mempunyai pelbagai 'versi' di sisi ulama salaf. Namun, mereka tidak pernah menyesatkan atau membidaahkan antara satu sama lain. Mereka mengetahui asas pelaksanaan solat sunat Tarawih adalah jelas sabit daripada Nabi SAW, hanya perinciannya tidak dinyatakan secara jelas.

Abu Zar RA meriwayatkan: "Kami berpuasa Ramadan bersama Rasulullah SAW, namun baginda tidak bersolat malam bersama kami sehinggalah berbaki tujuh hari daripada Ramadan. Lalu baginda bersolat bersama kami sehingga berlalu sepertiga malam. Kemudian baginda tidak bersolat bersama kami pada malam yang keenam akhir. Seterusnya, baginda bersolat bersama kami pada malam yang kelima akhir sehingga lewat tengah malam. Lalu kami bertanya kepada baginda: 'Ya Rasulullah, kalau boleh tuan jadikan baki malam ini untuk meneruskan solat sunat bersama kami?' Baginda menjawab: 'Sesungguhnya barangsiapa yang berqiyam bersama-sama imam sehingga ia selesai, akan ditulis baginya (ganjaran) seumpama berqiamullail'. Kemudian baginda tidak bersolat lagi bersama kami hingga berbaki tiga malam daripada Ramadan. Lalu, baginda bersolat bersama kami pada malam yang ketiga akhir dengan mengajak ahli keluarga dan isteri-isteri baginda. Maka, baginda pun bersolat sehinggalah kami khuatir akan ketinggalan al-falah." Jubair (perawi hadis ini) bertanya kepada Abu Zar: 'Apakah al-falah itu?' Jawabnya: 'Bersahur'." (Riwayat Abu Dawud, al-Tirmizi, an-Nasa'i, Ibn Majah dan lain-lain. Kata al-Tirmizi: Hasan sahih)

Terdapat tiga situasi qiyam Ramadan yang dikerjakan oleh Rasulullah SAW, iaitu bersolat sehingga berlalu sepertiga malam, bersolat sehingga berlalu separuh malam dan bersolat sehingga hampir waktu Subuh.

Bagaimanapun, tidak dinyatakan berapa bilangan rakaat yang dikerjakan oleh baginda SAW pada setiap malam itu. Justeru, ulama berbeza pendapat mengenai jumlah rakaat solat Tarawih.

Kata Imam at-Tirmizi selepas meriwayatkan hadis tersebut: "Ulama berbeza pendapat mengenai jumlah rakaat solat qiyam Ramadan. Sebahagian mereka berpendapat, ia ditunaikan sebanyak 41 rakaat berserta witir. Ia adalah pendapat ahli Madinah dan mereka mengamalkannya menurut pendapat ini di Madinah. Kebanyakan ulama pula berdasarkan apa yang diriwayatkan daripada Umar RA, Ali RA dan lain-lain daripada kalangan sahabat Nabi SAW berpendapat 20 rakaat. Ia adalah pendapat at-Thauri, Ibnu al-Mubarak dan as-Syafii. Kata as-Syafii: 'Demikian juga yang aku dapati di negeri kami di Makkah, mereka bersolat sebanyak 20 rakaat.' Kata Ahmad: 'Ada berbagai bilangan yang diriwayatkan dalam masalah ini', namun beliau tidak menentukan apa-apa mengenainya. Kata Ishaq: 'Bahkan, kami memilih 41 rakaat berdasarkan apa yang diriwayatkan daripada Ubay bin Kaab RA'."

Aisyah RA pula meriwayatkan Nabi SAW tidak menambah pada Ramadan atau bulan lain lebih daripada 11 rakaat iaitu dengan mengerjakan empat rakaat, empat rakaat dan tiga rakaat. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat lain, beliau menyebut bahawa solat malam Nabi SAW adalah 11 rakaat termasuk satu rakaat witir (Riwayat Muslim). Ini bermakna bilangannya adalah lapan rakaat menurut versi pertama dan 10 rakaat menurut versi kedua.

Bagaimanapun, ulama semua mazhab kemudian berijmak bahawa solat sunat Tarawih adalah 20 rakaat berdasarkan tradisi amalan yang sabit daripada Saidina Umar RA. Antaranya, kata as-Sa'ib bin Yazid RA: "Mereka dahulu pada zaman Umar bin al-Khattab RA berqiyam pada bulan Ramadan sebanyak 20 rakaat. " (Riwayat al-Baihaqi dalam as-Sunan al-Kubra. Dinilai sahih oleh an-Nawawi, az-Zayla'i, as-Subki, Ibn al-Iraqi, al-Ayni, as-Suyuti dan lain-lain).

Selain itu wujud hadis daif yang jelas menyebut bilangan 20 rakaat.

Lihat bagaimana ulama salaf berbeza pendapat mengenai perincian solat sunat Tarawih, antara 41 rakaat berserta witir atau 36 rakaat, 20 rakaat, tiada memutuskan bilangan rakaat, 10 rakaat dan juga lapan rakaat. Namun, mereka semua tidak pun menyalahkan antara satu sama lain seperti yang dilakukan oleh segelintir pihak yang mengaku kononnya mengikut salaf pada zaman mutakhir ini. Lebih parah lagi ada yang mendakwa sesiapa yang menambah lebih daripada 11 rakaat maka dia telah melakukan bidaah yang sesat! Kita tidak tahu siapa tokoh dan kaedah tarjih mana yang mengajarkan sikap ekstrem sedemikian?

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2023 @ 6:00 AM