KEBAHAGIAAN juga dinikmati apabila manusia tidak berasa resah  apabila ditimpa kesusahan dan kesakitan.
KEBAHAGIAAN juga dinikmati apabila manusia tidak berasa resah apabila ditimpa kesusahan dan kesakitan.
Datuk Mohd Ajib Ismail

Setiap insan mengimpikan kebahagian dalam kehidupan tanpa mengira latar belakang sama ada golongan kaya atau miskin, berjawatan mahupun tidak, bersendirian atau dikelilingi orang ramai. Bahagia sering kali dikaitkan dengan maksud senang, aman dan damai serta gembira. Dalam Islam, terdapat beberapa kalimah yang membawa erti bahagia seperti al-Falah, al-Fauz, al-Najah dan al-Sa'adah. Ajaran Islam menggesa umat manusia agar mencari kebahagiaan hidup bukan semata-mata di dunia, tetapi merentasi alam akhirat. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 201 yang bermaksud: "Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: 'Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami daripada azab neraka.'"

Jabatan Perangkaan Malaysia pernah melaporkan tentang Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) buat pertama kali pada 2021 yang bertujuan mengukur tahap kebahagiaan rakyat Malaysia daripada aspek fizikal, sosial, emosi dan spiritual. Prestasi skor MHI pada tahun tersebut dikatakan berada pada tahap bahagia dengan skor 6.48. Pelbagai panduan disarankan untuk manusia mencapai kebahagiaan dalam kehidupan. Beberapa aktiviti pula dicadangkan dapat meningkatkan hormon bahagia dalam tubuh badan manusia seperti memberikan ganjaran kepada kejayaan, menyebarkan perasaan cinta dan kasih sayang, melakukan senaman, menjaga pemakanan, memastikan waktu tidur yang cukup dan teratur serta pelbagai lagi.

Bagi orang Muslim, kemuncak kebahagiaan dapat dinikmati apabila hati manusia sentiasa berzikir dan mengingati Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam al-Quran Surah al-Ra'd ayat 28 yang bermaksud: "(Iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia." Dalam Surah al-Baqarah ayat 186 Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul."

• Kebahagiaan dapat dinikmati apabila manusia tahu untuk menjadi hamba yang bersyukur kepada Allah SWT sama ada dalam keadaan serba kekurangan mahupun dikurniakan rezeki yang melimpah-ruah. Firman Allah SWT dalam Surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: 'Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras'". Justeru umat Islam disarankan agar selalu berdoa supaya menjadi hamba yang bersyukur, melihat kelebihan orang lain sebagai motivasi untuk memajukan diri serta melihat kekurangan orang lain bagi menginsafi keistimewaan yang dimiliki.

• Kebahagiaan juga dapat dikecapi apabila kita mengamalkan sifat pemurah dengan hasil kekayaan dan kemewahan yang dianugerahkan. Manusia yang pemurah bukan sahaja dikasihi oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW, bahkan dikasihi juga oleh semua manusia. Firman Allah SWT dalam al-Quran Surah al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud: "Belanjakanlah (hartamu) pada jalan Allah dan janganlah kamu jatuhkan dirimu ke dalam kebinasaan dan berbuat baiklah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berbuat baik." Rasulullah SAW pula bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Hakim bin Hizam RA, maksudnya: "Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah" - (Riwayat al-Bukhari). Manusia tidak akan jatuh miskin kerana sifat pemurah dan suka memberi.

• Selain itu, kebahagiaan juga dinikmati apabila kita tidak cuai dan lupa diri dengan kejayaan. Di dalam hal tersebut, Allah SWT mengingatkan manusia tentang istidraj sebagaimana firman-Nya dalam al-Quran Surah az-Zumar ayat 49 yang bermaksud: "Maka apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, ia segera berdoa kepada Kami; kemudian apabila Kami memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) dari Kami, berkatalah ia (dengan sombongnya): 'Aku diberikan nikmat ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku'. (Tidaklah benar apa yang dikatakannya itu) bahkan pemberian nikmat yang tersebut adalah ujian (adakah ia bersyukur atau sebaliknya), akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu)". Manusia yang diuji dengan istidraj akan memperoleh pelbagai nikmat berupa kekayaan, kejayaan, pangkat dan gelaran, serta pengiktirafan dan sanjungan. Walau bagaimanapun nikmat tersebut tidak menjadikan mereka hamba yang bersyukur, sebaliknya semakin jauh daripada Allah SWT.

• Kebahagian dapat dikecapi apabila manusia melaksanakan tanggungjawab yang diberikan kepadanya dengan sifat amanah. Allah SWT menjelaskan bahawa kunci kejayaan orang Mukmin dalam kehidupan adalah dengan menjaga amanah sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Mukminun ayat 8 yang bermaksud: "Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya."

• Kebahagiaan juga dinikmati apabila manusia tidak merasa resah gelisah apabila ditimpa kesusahan dan kesakitan. Di dalam sebuah hadis daripada Abu Sa'id al-Khudri dan Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah SWT akan menghapus segala kesalahannya" - (Riwayat al-Bukhari). Resah gelisah adalah sifat semula jadi manusia sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Ma'arij ayat 19 hingga 20 yang bermaksud: "Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut), apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah." Namun kita perlu berusaha menangani tabiat tersebut dengan mencontohi tauladan yang ditunjukkan oleh Nabi Ayub iaitu salah seorang daripada rasul Ulul Azmi yang ditimpa ujian kesakitan yang berat, namun tetap menjadi hamba yang sabar dan taat kepada Allah SWT.

• Kebahagiaan bukanlah semata-mata diukur dengan kekayaan wang ringgit dan harta benda sebaliknya adalah perasaan tenang dan tenteram di dalam hati sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Bukanlah kekayaan itu kerana banyaknya harta, akan tetapi kekayaan itu adalah kaya hati (jiwa)" - (Riwayat al-Bukhari). Hadis tersebut menjelaskan bahawa kekayaan sebenarnya adalah kekayaan jiwa iaitu orang yang berasa cukup dengan pemberian kepadanya, reda dan tidak tamak dalam mencari harta.

Ketika kita dilanda kesedihan dan dukacita dalam kehidupan, ingatlah bahawa Allah SWT sentiasa menemani dan mendengar rintihan serta pengaduan hamba-Nya pada setiap masa. Firman Allah SWT dalam Surah al-Taubah ayat 40 yang bermaksud: "Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang daripada dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: 'Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita'. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.'"

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2023 @ 5:59 AM