BANTUAN makanan dihantar untuk penduduk ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). FOTO NSTP
BANTUAN makanan dihantar untuk penduduk ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). FOTO NSTP
Mohamad Muhaimin Mohd Zaki

ANTARA hikmah yang berlaku sewaktu pandemik Covid-19 kepada masyarakat di Malaysia adalah usaha yang gigih dan berterusan masyarakat dalam membantu mereka yang memerlukan.

Bermula daripada sesama ahli keluarga hinggalah ke peringkat kerajaan, pelbagai usaha dan inisiatif yang telah dilakukan oleh segenap lapisan masyarakat dalam menyemarakkan usaha tolong-menolong sesama insan.

Bukan sahaja melalui wang ringgit, sedekah dapat dilakukan dengan pelbagai cara dan bentuk seperti tenaga, kepakaran, nasihat dan sebagainya yang membawa manfaat kepada penerimanya.

Oleh itu, manusia yang beriman mempunyai sifat mengambil berat terhadap keperluan dan kesukaran dialami orang lain terutama sewaktu mereka dalam kesusahan.

Allah SWT memerintahkan hamba-Nya untuk saling tolong-menolong dan membantu seperti firman-Nya yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya)" (Surah Al-Maidah: ayat 2).

Terdapat beberapa kelebihan yang akan diperoleh apabila seseorang membudayakan amalan bersedekah dalam kehidupan seharian.

Sedekah bukan hanya dilakukan apabila seseorang sudah bergelar hartawan atau pun kaya raya, sebaliknya dengan bersedekah akan menambahkan lagi harta seseorang seterusnya akan menjadikan dirinya berjaya di dunia dan akhirat.

Justeru, dengan amalan bersedekah berkenaan akan memupuk rasa kebersamaan sesama manusia.

Memberi akan melahirkan umat yang memiliki sifat empati sesama insan, memperkukuh dan menguatkan hubungan dengan Allah SWT serta mengeratkan hubungan sesama manusia.

Ini kerana dalam Islam, kita semua adalah bersaudara dan tunjang utamanya adalah ketakwaan kepada Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya orang mukmin bersaudara, maka kerana itu damaikanlah antara kedua-dua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat." (Surah Al-Hujurat: ayat 10).

Selain itu, dengan bersedekah seseorang itu akan dipermudahkan urusannya oleh Allah SWT. Ini kerana, orang yang bersedekah tidak akan merasakan apa yang dimilikinya adalah kepunyaan mutlak dirinya sahaja, namun ia adalah pemberian Allah SWT yang sebahagiannya juga terdapat hak orang lain padanya.

Dalam sebuah hadis Nabi SAW bersabda yang bermaksud "Seorang Muslim ialah saudara terhadap Muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah SWT akan melaksanakan hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang Muslim, Allah akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat. Sesiapa yang menutupi aib seseorang Muslim, Allah SWT akan menutup aibnya pada hari kiamat." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Oleh itu, amalan bersedekah haruslah menjadi amalan yang berterusan lebih-lebih lagi pada saat dan ketika ini ramai dalam kalangan kita yang berada di dalam kesusahan serta memerlukan bantuan.

Penulis adalah penuntut Universiti Sains Malaysia (USM)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 8:00 AM