GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Sedetik Rasa

Dahulu ada orang meluahkan perasaan dengan menconteng atau menulis di atas tembok.

Pada zaman Internet ini, manusia bebas menulis apa saja di alam maya menerusi pelbagai saluran laman sosial popular. Tulisan itu boleh dibaca sesiapa saja selain masing-masing dapat melontarkan komen balas.

Sudah menjadi budaya sekarang apabila terdapat segelintir individu sanggup mencipta akaun palsu untuk meninggalkan komen menghentam, mengutuk, menyakitkan hati serta pergaduhan terhadap orang lain.

Sifat golongan itu umpama syaitan yang sentiasa berusaha melaga-lagakan antara manusia. Allah SWT menjelaskan sifat golongan itu menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhguhnya syaitan itu berkehendak untuk menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan melalui arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang.” (Surah Ali Imran, ayat 91)

Malah, bacaan santai sekalipun seakan-akan menjadi ancaman sekiranya orang yang membaca itu ada masalah di dalam hatinya.

Jika dahulu, meminum arak dan berjudi antara punca membawa kepada pergaduhan antara manusia.

Bagaimanapun, manusia pada zaman ini boleh berkelahi besar bermula daripada ‘serangan’ yang dicipta melalui media sosial.

Golongan terbabit berasa gembira apabila dapat melihat rakan atau saudara mereka saling bermusuhan dan ditimpa kesusahan.

Itulah penyakit hati yang menimpa orang munafik. Sifat golongan munafik terbabit dinyatakan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: “Kalau kamu beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan, maka yang demikian) menyakitkan hati mereka dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya. Dan kalau kamu sabar dan bertakwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikit pun. Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuan-Nya akan apa yang mereka lakukan.” (Surah Ali ‘Imraan, ayat 120)

Malah, ada juga dalam kalangan manusia hari ini menggunakan akaun palsu bagi tujuan mengintai kehidupan orang lain.

Rasulullah SAW mengingatkan perkara itu dalam sabdanya yang bermaksud: “Telah menyusup ke dalam hati-hati kamu penyakit umat terdahulu iaitu penyakit hasad dan kebencian.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Kita semua perlu beringat, setiap tulisan atau perkara yang diniatkan bagi tujuan kejahatan akan menjadi bebanan besar di akhirat kelak.

Rasulullah SAW menekankan supaya umatnya mengekalkan adab dan akhlak dalam setiap perbuatan. Antara doa perlindungan yang boleh diamalkan ialah “Allahumma inni a’udzubika min ‘ilman laa yanfa’ wa min qolbi laa yakhsya’ wa min nafsi laa tasyba’ wa min da’wati laa yustajaabulaha.”

Doa itu bermaksud: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, daripada jiwa yang tidak pernah puas dan daripada doa yang tidak dikabulkan.” (Hadis riwayat Muslim)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 12:22 PM