FOTO hiasan. FOTO Faiz Anuar
FOTO hiasan. FOTO Faiz Anuar
Datuk Dr Zahazan Mohamed

p>Bagaimana cara untuk mengelak orang lain memperlekeh diri kita? Selain itu, perlukah seorang yang memegang jawatan, contohnya ketua dalam sebuah jabatan meninggi diri supaya orang lain menghormatinya?

Ammar, Manjung, Perak

Tawaduk ialah rendah hati. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hijr, ayat 88: “Dan rendahkanlah dirimu kepada orang Mukminin yang mengikutimu.”

Kelebihan orang yang bersikap tawaduk ialah Allah SWT akan mengangkat darjatnya.

Dalam sebuah hadis diriwayatkan Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidaklah sedekah itu mengurangi banyaknya harta.

“Tidaklah Allah itu menambahkan pada diri seseorang sifat pemaaf, melainkan ia akan bertambah pula kemuliaannya. Juga tidaklah seorang itu merendahkan diri kerana Allah, melainkan ia akan diangkat pula darjatnya oleh Allah ‘azza wajalla.” (Riwayat Muslim)

Antara ciri ahli syurga ialah dia bersikap merendah diri dan menjauhi sikap takbur. Firman Allah SWT dalam Surah al-Qashas, ayat 83 yang bermaksud: “Itulah negeri akhirat yang Kami sediakan bagi orang yang tidak berkeinginan untuk menyombong diri di atas muka bumi dan menyebarkan kerosakan.”

Untuk memahami tawaduk dengan lebih jelas, ia adalah sikap lawan daripada sombong atau takbur. Orang yang tawaduk tidak akan menolak kebenaran dan tidak memperlekehkan orang lain.

Rasulullah SAW menggambarkan sikap ‘kibr’ atau sombong dengan sabdanya: “Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan manusia.” (Riwayat Muslim)

Iblis dilaknat Allah SWT kerana bersikap takbur menolak kebenaran dan memperlekehkan Nabi Adam. Iblis enggan sujud memberi penghormatan kepada Adam walaupun itu arahan Allah SWT kerana iblis merasakan dirinya lebih mulia daripada Adam.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah, ayat 34 yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: ‘Sujudlah kamu kepada Adam, maka sujudlah mereka kecuali Iblis, ia enggan dan takbur dan adalah ia termasuk golongan orang-orang yang kafir.”

Demikian maksud tawaduk yang dijelaskan oleh ulama yang tidak terkeluar daripada apa yang dijelaskan Rasulullah SAW. Ibn Atha’ rahimahullah menerangkan: “Tawaduk ialah menerima kebenaran daripada sesiapa pun. Kemuliaan itu ada dalam tawaduk. Sesiapa yang mencari kemuliaan di dalam kesombongan, maka seolah-olah dia mencari air dalam api.”

Abu Yazid al-Busthami pula menerangkan maksud tawaduk dengan berkata: “Tawaduk ialah seseorang yang tidak memandang dirinya memiliki kedudukan dan tidak melihat orang lain yang lebih buruk daripada dirinya.”

Rasulullah SAW seorang yang sangat tawaduk walaupun Baginda mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah. Aisyah ketika ditanya keadaan Rasulullah SAW apa yang Baginda buat di rumahnya.

Aisyah menjawab: “Baginda berkhidmat membantu keperluan-keperluan keluarganya dan jika datang waktu solat, Baginda akan keluar untuk melaksanakan solat.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Seorang sahabat Nabi SAW bernama Anas, apabila melalui kanak-kanak kecil, beliau memberi salam. Beliau berkata: “Nabi SAW juga melakukan sedemikian.” (Muttafaq ‘alaih)

Sebenarnya sikap tawaduk itu adalah sifat mulia warisan nabi, rasul, sahabat dan orang soleh terdahulu. Sikap itu hendaklah didasari dengan ketulusan dan keikhlasan hati. Ada manusia bersikap tawaduk tetapi ditipu syaitan kerana dalam hatinya tersembunyi keinginan untuk dipandang mulia oleh manusia.

Sebenarnya, orang yang bersifat tawaduk akan dihormati dan disukai orang lain kerana dia boleh menimbulkan simpati sehingga orang lain suka bergaul dengannya.

Penulis ialah pendakwah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 11:39 AM