FOTO Hiasan.
FOTO Hiasan.
Kembara Mukmin

JEPUN terkenal dengan rakyatnya yang amat pentingkan kebersihan dan berdisiplin. Di media sosial sebelum ini, pernah tular lori sampah di negara matahari terbit itu cukup bersih dan tidak berbau selain tayarnya juga sentiasa berkilat.

Begitu juga tahap kebersihan pengangkutan awam seperti tren dan bas. Beg plastik akan disediakan bagi setiap penumpang supaya mereka boleh membuang sampah dan membawa sampah pulang ke rumah.

Malah, aktiviti gotong-royong juga selalu diadakan dan mempunyai jadual yang ditetapkan. Semua itu dilakukan untuk mengekalkan budaya menjaga kebersihan dalam kehidupan mereka. Kebersihan itu boleh diumpamakan sudah menjadi ‘DNA’ setiap rakyatnya.

Jelas di sini, kebanyakan nilai murni yang dianjurkan Islam nampaknya lebih diamalkan rakyat negara itu. Di dalam Islam, kita mengetahui bahawa kebersihan antara perkara paling dititikberatkan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kebersihan itu adalah sebahagian daripada iman.” Malang dan sedih sekali, masyarakat kita masih kurang kesedaran dan disiplin dalam hal menjaga kebersihan.

Jika pihak berkuasa memasang papan tanda ‘Jangan buang sampah di kawasan ini’, maka apa yang kita lihat, bertimbun sampah-sarap dilonggokkan di situ walaupun tertera denda akan dikenakan sekiranya melanggar peraturan itu.

Begitu juga suasana di dalam rumah, sisa makanan dibiarkan di singki beberapa hari tidak dibasuh, pakaian dilonggok di merata tempat dan kawasan anjung rumah yang ada sedikit tanah dipenuhi semak-samun yang tidak pernah dibersihkan.

Umat Islam tidak sepatutnya menjadi seperti itu. Biarlah orang lain lihat diri kita hebat dari segi penampilan luaran, juga rumah, kenderaan dan apa saja berkaitan dengan diri kita perlu berada pada tahap yang membanggakan.

Jika tetamu datang ke rumah, biarlah melangkah saja pintu rumah, mereka dapat menyaksikan rumah kita bersih dan berbau harum. Kebersihan sebenarnya amat dituntut oleh syarak dalam semua hal.

Syarak menyarankan setiap umat Islam suci dan bersih anggota badannya daripada segala kekotoran dan najis dengan membasuhnya serta mandi.

Keadaan kotor perlulah menjadi perkara yang sangat kita tidak suka. Lebih teruk lagi sekiranya ada dalam kalangan kita tidak tahu dalam hal membabitkan hukum hakam.

Contohnya, anak kencing di atas lantai rumah, lalu kita terus capai batang mop dan sekadar mengelapnya tanpa memikirkan cara itu sudah dikira suci ataupun tidak.

Walaupun pada pandangan mata kasar tempat itu bersih, namun dari sudut hukum fiqah, tempat itu masih dikira bernajis. Cara untuk mencuci najis itu ialah dengan membuang air kencing terlebih dahulu dalam satu bekas.

Kemudian, jirus sekali dengan air supaya mengalir di tempat yang kena najis berkenaan. Kemudian lap sekali lagi dengan kain bersih. Semua perkara itu perlu sentiasa dititikberatkan kerana ia membabitkan sah atau tidak ibadat seseorang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Oktober 2018 @ 1:30 AM