KEBERSIHAN dalam kawasan masjid atau surau memberikan keselesaan untuk beribadah.
KEBERSIHAN dalam kawasan masjid atau surau memberikan keselesaan untuk beribadah.
Mohd Shahrizal Nasir

Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang bermaksud: "Bersuci adalah sebahagian daripada keimanan" - (Hadis Riwayat Muslim). Jelaslah bahawa kebersihan amat dititikberatkan dalam Islam memandangkan amalan bersuci dikaitkan dengan iman. Sesungguhnya iman adalah perkara penting yang perlu dimiliki oleh setiap Muslim. Tanpa iman, seseorang mungkin hanya dikenali secara luaran sebagai seorang Islam, namun ia hanya sekadar nama.

Perhatikanlah ibadah fardu yang tidak sempurna pelaksanaannya tanpa dimulai dengan bersuci. Ibadah solat contohnya, ia mesti didahului dengan amalan mengambil wuduk sebagai satu petunjuk jelas tentang keperluan Muslim berada dalam keadaan bersih semasa beribadah kepada Allah SWT.

Allah SWT menjelaskan secara terperinci tatacara untuk mengambil wuduk seperti yang ditetapkan syarak. Allah SWT berfirman dalam al-Quran bermaksud: "Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu dan kedua-dua tangan kamu meliputi siku dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu dan basuhlah kedua-dua kaki kamu meliputi buku lali..." (Surah al-Maidah, ayat 6)

Dalam membincangkan perihal kebersihan, masjid dan surau adalah tempat mulia yang mesti mempamerkan kesucian Islam. Masjid adalah rumah Allah SWT dan tempat untuk seluruh umat Islam mendekatkan diri kepada-Nya. Inilah perkara yang perlu diberi perhatian agar umat Islam kekal dilihat sebagai kelompok manusia yang menuruti ketetapan agama.

Mungkin ada yang berpandangan bahawa isu kebersihan tandas masjid sebagai isu kecil, namun hal ini tidak boleh sama sekali diambil enteng. Kebersihan tandas dan bilik air masjid perlu diberi keutamaan oleh pihak yang diamanahkan untuk mengurus rumah Allah SWT.

Kadangkala ada pihak yang lebih mementingkan soal kubah masjid berbanding pengurusan tandas yang digunakan oleh jemaah ketika hadir ke masjid.

Keutamaan memastikan tandas masjid sentiasa dalam keadaan bersih boleh membantu jemaah menunaikan ibadah dengan sempurna. Bayangkan jika tandas masjid tidak diurus dengan baik dengan pelbagai kerosakan tanpa dibaiki. Maka tidak mustahil jemaah yang menggunakan tandas akan membawa najis masuk ke ruang solat utama masjid. Hal ini bukan sahaja boleh berlaku kepada kanak-kanak, malah orang tua juga boleh terbawa najis ke ruang solat kerana menggunakan tandas yang tidak diurus dengan baik. Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan." (Surah al-Muddaththir, ayat 4)

Contoh keadaan yang lain pula, ada masjid yang pintu bilik air atau tandas rosak tanpa pengunci pintu. Mungkin ada yang beranggapan ia perkara kecil, tetapi bayangkan kepayahan yang dialami pengguna masjid yang terpaksa menggunakan tandas dalam keadaan pintu tidak boleh dikunci. Mungkin sahaja keadaan itu menjadi penyebab pakaian jemaah tercemar dengan percikan najis tatkala membuang air.

Ada juga tandas masjid yang rosak atau tidak ada air. Tiada sebarang makluman diletakkan pada pintu tandas kerana tidak ada orang yang cakna mengenai keadaan dalam tandas. Mungkin jemaah tidak dapat mengurus najis mereka lalu membiarkannya tanpa rasa bertanggungjawab.

Akhirnya keadaan tandas menjadi kotor lebih-lebih lagi apabila ramai musafir singgah untuk menunaikan solat dan menggunakan kemudahan tandas.

Adalah diharapkan pihak pengurusan masjid tidak mengkesampingkan hal berkaitan pengurusan tandas kerana ia boleh menjejaskan imej Islam. Gunakanlah duit sumbangan orang ramai yang dimasukkan dalam tabung masjid untuk mengurus tandas masjid kerana hakikatnya ia adalah satu keutamaan. Utamakanlah perkara yang lebih utama kerana perbuatan mengutamakan perkara yang kecil boleh menyebabkan perkara yang utama menjadi punca kesulitan kepada orang ramai.

Pada masa sama, pengguna masjid perlu lebih bijak semasa menggunakan tandas masjid. Perkara yang kelihatan kecil, namun mungkin ada yang gagal mematuhinya. Usahlah masuk ke dalam tandas masjid dengan menggunakan selipar sendiri. Gunakanlah selipar yang disediakan oleh pihak pengurusan masjid kerana ia boleh memelihara kebersihan dalam tandas.

Selain itu, usah bazirkan kemudahan air dalam tandas masjid dengan anggapan semua bil air akan ditanggung oleh pihak pengurusan masjid. Jika jemaah dapat menggunakan kemudahan masjid dengan berhemah, mungkin sumbangan tabung masjid boleh digunakan untuk membersih dan mengindahkan lagi keadaan dalam tandas masjid.

Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: "Sesungguhnya Allah itu baik, Dia menyukai kebaikan. Allah itu bersih, Dia menyukai kebersihan. Allah itu mulia, Dia menyukai kemuliaan. Allah itu dermawan, Dia menyukai kedermawanan maka bersihkanlah olehmu tempatmu dan janganlah kamu menyerupai golongan Yahudi." (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

Satu perkara lagi, umat Islam yang menggunakan kemudahan tandas masjid, janganlah berkira-kira untuk menyumbang duit ke dalam tabung masjid. Ada masjid yang meletakkan tabung di pintu tandas masjid bagi memudahkan orang ramai bersama-sama menyumbang ke arah memberikan keselesaan kepada jemaah lain. Bak kata pepatah Melayu "Orang berbudi kita berbahasa".

Persekitaran masjid juga perlu dipelihara dengan baik. Ia menjadi faktor yang dapat memberi keselesaan kepada jemaah. Pada masa sama, jemaah jangan sesekali membuang sampah merata tempat dalam kawasan masjid. Sikap tidak bertanggungjawab sesetengah individu yang membuang sampah dalam kawasan masjid perlu diperbetulkan agar masjid kekal sebagai sebuah tempat yang disukai ramai.

Perbuatan segelintir orang yang merokok di pekarangan masjid adalah tindakan yang tidak beradab. Apatah lagi sekiranya ada yang merokok di dalam tandas masjid dan membuang puntung rokok sesuka hati tanpa rasa bersalah. Sikap buruk ini perlu dihindari kerana tanggungjawab menjaga kebersihan masjid serta kawasan persekitarannya terletak di atas bahu setiap Muslim.

Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: "Bersihkanlah pekarangan kalian kerana sesungguhnya golongan Yahudi tidak membersihkan pekarangan mereka" - (Hadis Riwayat at-Tabrani). Marilah sama-sama kita menjaga kebersihan diri dan masjid kerana ia tanggungjawab bersama.

Keprihatinan terhadap kebersihan masjid bukan sahaja mencerminkan kebersihan fizikal atau luaran, tetapi ia juga mencerminkan kebersihan jiwa. Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: "…Dan Allah mengasihi orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin)." (Surah at-Taubah, ayat 108)

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2022 @ 7:00 AM