Sumber: Irsyad Al-Fatwa dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Benarkah sunah Nabi untuk tidak berpuasa pada bulan Ramadan ketika bermusafir?

Seseorang bermusafir pada bulan Ramadan dengan jarak yang jauh kira-kira 85 kilometer atau lebih, maka harus baginya berbuka puasa dan ke atasnya qada.

Berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Disyaratkan, hendaklah musafir itu kerana suatu perkara mubah, bukan maksiat ataupun menolong suatu perbuatan maksiat dan hendaklah musafir itu berlaku atau bermula sebelum terbitnya fajar sadiq.

Justeru, jika dia berpuasa dalam keadaan bermukim, lalu dia melakukan musafir pada siang harinya, maka haram baginya untuk berbuka kerana disyariatkan ke atasnya untuk berpuasa.

Puasa baginya adalah ibadat yang tidak boleh dibatalkan. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu! (Surah Muhammad, ayat 33)

Pengecualian diberikan dalam kes jika seseorang berada dalam keadaan darurat, maka boleh berbuka kerana darurat, bukannya kerana musafir.

Orang yang bemusafir ketika Ramadan harus untuk berpuasa. Dia diberi pilihan sama ada untuk berpuasa atau berbuka.

Ini berdasarkan hadis Aisyah, Hamzah bin Amr al-Aslami bertanya kepada Rasulullah SAW yang bermaksud: “Adakah (wajib) aku berpuasa ketika musafir?” Sedangkan dia seorang yang banyak berpuasa. Maka sabda Rasulullah SAW: “Jika engkau mahu engkau boleh berpuasa, jika engkau mahu engkau boleh berbuka.” (Riwayat al-Bukhari - 1943)

Namun, apabila safarnya itu tidak menyusahkannya, maka afdal baginya untuk terus berpuasa. Ini dalil hadis Anas RA yang berkata kepada orang yang bermusafir, maksudnya: “Jika engkau berbuka maka itu adalah rukhsah daripada Allah, dan jika engkau berpuasa maka itu lebih afdal.” (Riwayat al-Baihaqi - 8170 dalam al-Sunan al-Kubra)

Afdal berpuasa bagi orang seperti itu supaya tidak bertangguh puasa kerana lupa atau berlakunya perkara tidak dijangka pada waktu mendatang.

Jika berpuasa itu menyukarkan bagi orang yang bermusafir, maka afdal baginya berbuka. Itu berdasarkan hadis daripada Jabir RA, dia berkata Rasulullah SAW bertemu seseorang di bawah teduh pohon, dalam riwayat lain, dia sedang disirami air ke atasnya, lalu Baginda bertanya orang ramai maksudnya: “Kenapa dengan (sahabat kamu) ini?” Sahabat menjawab: “Dia berpuasa wahai Rasulullah.” Baginda bersabda: “Bukan daripada kebaikan, berpuasa ketika musafir.” (Riwayat al-Bukhari - 1946)

Jika seorang musafir itu berpuasa, kemudian dia ingin berbuka, dia boleh melakukannya kerana keuzuran itu masih wujud. Begitu juga orang sakit berpuasa, kemudian dia mahu berbuka, maka dia boleh berbuka sama ada dengan niat rukhsah atau tidak. (Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie - 2/195-196)

Diriwayatkan dalam ki- tab hadis sifat puasa Nabi SAW. Antaranya, daripada Abu Darda’ RA, beliau berkata yang bermaksud: “Kami keluar bersama Nabi SAW dalam salah satu permusafiran Baginda, pada suatu hari yang panas, sehingga seorang lelaki meletakkan tangan atas kepalanya dek terlalu panas.

Dalam kalangan kami tidak ada seorang pun yang berpuasa melainkan Nabi SAW dan Ibn Rawahah.” (Riwayat Bukhari - 1945 dan Muslim - 1122)

Anas bin Malik RA pernah ditanya tentang berpuasa ketika safar. Dia menjawab, maksudnya: “Kami sahabat) bermusafir bersama Rasulullah SAW dalam bulan Ramadan. Tidak ada seorang pun yang berpuasa berasa aib dengan orang yang berbuka, atau orang yang berbuka berasa aib dengan orang yang berpuasa.” (Riwayat Muslim - 1188)

Daripada Abu Said al-Khudri RA berkata maksudnya:“Kami berperang bersama Rasulullah SAW dalam bulan Ramadan. Sebahagian kami berpuasa dan sebahagian lain berbuka. Orang yang berpuasa tidak melihat keburukan dengan orang yang berbuka dan tidak pula yang berbuka memandang buruk orang yang berpuasa. Mereka berpandangan siapa yang ada kekuatan silakan berpuasa, dan itu adalah kebaikan. Dan mereka juga berpandangan siapa yang berasa lemah kemudian berbuka dan itu juga kebaikan.” (Riwayat Muslim - 1116)

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata maksudnya: “Rasulullah SAW keluar dari Makkah ke Madinah (ketika peristiwa Fath Makkah) dengan keadaan berpuasa (Ramadan) sehingga sampai ke kawasan ‘Usfan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Jun 2018 @ 11:06 AM