Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin

Sepanjang bulan ini, umat Islam berpuasa dan berbuka, menunaikan solat Tarawih, membaca al-Quran, bersedekah dan bersahur. Ramadan membawa syiar yang menggambarkan orang Islam bersatu dalam mengerjakan ibadat.

Islam adalah agama sejagat. Umat Islam dari pelbagai bangsa dan kaum dengan berjenis-jenis warna kulit, bahasa dan budaya dari seluruh pelosok dunia bersama-sama menjalani ibadat puasa.

Umat Islam menunjukkan kesatuan yang sangat membanggakan. Mereka mampu untuk bersatu walaupun dalam kepelbagaian ini. Sudah tentu hal ini jelas menyerlahkan kerahmatan dalam Islam.

Kesatuan dalam kepelbagaian

Kesatuan dalam kepelbagaian adalah satu ciri penting dalam Islam. Kewujudan variasi bangsa dan kaum dalam penciptaan manusia menunjukkan kepelbagaian adalah ciri utama ciptaan Allah SWT.

Selalunya kepelbagaian dilihat sebagai titik punca kepada konflik atau sengketa. Namun, dalam Islam kepelbagaian dilihat melalui pendekatan kesatuan berbanding keseragaman.

Islam mengakui wujudnya apa yang dipanggil kesatuan dalam kepelbagaian. Hal ini boleh dilihat melalui perkembangan tamadun Islam itu sendiri.

Kepelbagaian dalam Islam membabitkan keragaman dalam bermazhab serta pelbagai aliran falsafah, bidang teknikal, kesenian, adat dan budaya. Namun, semua itu haruslah tunduk kepada prinsip dan nilai Islam yang unggul.

Kepelbagaian sebagai aset

Kepelbagaian ini bukan saja rahmat kebaikan kepada individu, bahkan lebih besar lagi iaitu kepada pembangunan dan perkembangan umat Islam itu sendiri.

Justeru, ia haruslah dilihat sebagai aset dan peluang, bukannya punca masalah dan bebanan.

Sebagai contoh dalam soal puasa Ramadan, umat Islam tidak mempersoalkan kewajipannya. Namun, perbezaan pendapat timbul apabila membabitkan cara penentuan tarikh permulaannya, sama ada dengan pengiraan falak atau melihat anak bulan.

Ini bukan perkara prinsip yang tidak boleh diperbincangkan. Ini adalah rahmat dalam perbezaan pendapat berdasarkan kepada nas yang kuat dan sahih, malah langsung tidak menunjukkan ketidaksatuan.

Tidak merendah-rendahkan

Sahabat juga pernah berbeza pendapat dalam soal puasa ketika musafir. Perhatikan sikap mulia mereka berdepan dengan perbezaan pendapat ini.

Anas bin Malik RA berkata: “Kami sedang bermusafir bersama Rasulullah SAW sewaktu Ramadan dan dalam kalangan kami ada yang berpuasa, ada yang tidak berpuasa. Golongan berpuasa tidak menyalahkan orang tidak berpuasa dan golongan tidak berpuasa tidak menyalahkan orang berpuasa.” (Riwayat al-Bukhari and Muslim)

Begitulah sikap sahabat Nabi SAW yang mesti kita contohi. Tidak ada yang merendah-rendahkan amal perbuatan yang lain atau berasa bangga diri dan lebih warak daripada mereka yang mempunyai kelainan dari segi amalan.

Amat rugilah manusia yang merasakan dirinya lebih hebat daripada manusia lain, sedangkan mereka sebenarnya dipermainkan oleh tipu daya nafsu yang memesongkan.

Penulis ialah Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan profesor di UPM

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2016 @ 9:45 AM