Fadly Samsudin

Rasulullah SAW mengajarkan kepada umatnya adab ketika berbuka puasa. Apabila adab itu dijaga dan diamalkan, kita dapat mengagungkan sunahnya.

Antara adab ketika berbuka puasa ialah membaca doa seperti yang diamalkan Baginda SAW. Ibnu Umar berkata, “Apabila berbuka puasa, Nabi SAW akan membaca doa yang bermaksud: “Hilanglah segala kehausan, segala urat-urat sudah basah dan semoga tetaplah beroleh pahala.” (Riwayat Abu Daud dalam Sunan Abu Daud, Kitab al-Shaum)

Kita juga boleh memohon apa saja yang dihajati kerana antara waktu mustajab (makbul) untuk berdoa ketika berbuka puasa.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya doa yang tidak ditolak bagi orang berpuasa itu ialah ketika dia berbuka.” (Riwayat Ibn Majah dalam Sunan Ibn Majah, Kitab al-Shiyam)

Selain itu, kita disunatkan menyegerakan berbuka puasa. Waktu paling afdal ialah ketika azan dilaungkan, terus utamakan untuk berbuka puasa.

Perkara itu dianjurkan dalam satu hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa.” (Riwayat Bukhari)

Ketika berbuka puasa, amalkan makan secara sederhana. Jauhkan diri daripada makan terlalu banyak ibarat mahu melepaskan geram selepas sehari suntuk tidak menjamah makanan dan minuman.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai Bani Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah setiap kali kamu ingin ke tempat ibadat (mengerjakan solat) dan makan minumlah serta janganlah kamu melampau. Sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-A’raaf, ayat 31)

Sewajarnya, ibadat puasa dijadikan medan melatih jiwa seorang Muslim yang bertakwa dan bersifat sabar.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Anak Adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberi kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak mustahil (boleh dilakukan), suaplah satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan.” (Riwayat Tirmizi)

Paling baik ketika berbuka adalah memulakan dengan buah tamar dan air. Rasulullah SAW berbuka dengan rutab iaitu buah tamar yang masak namun ia tidak dikeringkan.

Anas bin Malik RA berkata, “Rasulullah SAW berbuka puasa sebelum solat (Maghrib) dengan rutab. Jika tiada rutab, Baginda akan berbuka dengan tamar dan jika tiada tamar, Baginda akan meneguk beberapa teguk air.” (Riwayat Tirmizi)

Sekiranya makanan sudah terhidang, disunatkan untuk menjamah makanan terlebih dahulu dan selepas selesai barulah bersegera menunaikan solat Maghrib.

Pada bulan Ramadan juga, umat Islam digalakkan supaya memperbanyakkan amalan bersedekah. Ini termasuklah menjamu orang berbuka puasa terutama kepada orang miskin, anak yatim dan golongan yang ditimpa musibah.

Menjamu orang berbuka puasa dijanjikan Allah SWT dengan ganjaran pahala yang begitu besar. Semakin ramai orang yang dapat menikmati makanan itu, maka semakin tinggi ganjaran pahala yang diterima.

Nabi SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa yang menjamu makanan untuk berbuka bagi orang yang berpuasa, pahalanya sama seperti pahala orang yang berpuasa iaitu pahala orang yang berpuasa itu tidak dikurangkan walau sedikit pun.” (Riwayat Tirmizi)

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 9:56 AM