Sedetik Rasa

Setiap kali sebelum berbuka puasa iaitu antara 10 hingga 15 minit adalah waktu yang sangat mustajab untuk kita berdoa.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ada tiga golongan yang doa mereka tidak ditolak: Orang yang berpuasa hinggalah dia berbuka, doa pemimpin yang adil dan doa orang yang dizalimi.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Sehubungan itu, ingatkan kepada setiap ahli keluarga kita, masa itu bukannya waktu kita berada di dapur atau masih di bazar Ramadan.

Gunakan masa terbaik itu untuk berdoa kepada Allah SWT. Sambil duduk boleh berdoa terutamanya memohon keampunan daripada segala dosa yang kita lakukan selama ini.

Bacalah apa jua doa yang berkaitan dengan kelebihan dunia dan akhirat sama ada untuk diri sendiri, keluarga, sahabat dan untuk seluruh Muslimin.

Sejurus selepas berbuka, baca doa daripada Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Ya Allah, untuk-Mu aku berpuasa, dan dengan rezeki daripada-Mu aku berbuka.” (Sunan Abi Dawud)

Kemudian, baca juga doa ini yang bermaksud: “Telah hilanglah dahaga, urat-urat telah basah dan telah terhasil pahala, insya-Allah.” (Sunan Abi Dawud)

Selain itu, doa lain yang baik untuk dibaca ialah seperti doa ‘Abdullah ibn ‘Amru sewaktu berbuka puasa maksudnya: “Wahai Allah, sesungguhnya aku memohon dengan rahmat-Mu yang meliputi segala perkara, agar Engkau mengampuniku.” (Sunan Ibn Majah)

Alangkah sedih apabila Allah SWT memperkenankan doa daripada hamba-hamba-Nya, ada sebahagian daripada kita melepaskan peluang itu berlalu begitu saja.

Kepada siapa lagi kita hendak merayu dan menangis untuk meminta melainkan Allah SWT? Yakinlah ketika berdoa kerana Allah SWT pasti mendengar dan memperkenankan doa kita semua.

Janganlah kita menjadi manusia yang berdoa pada waktu mustajab sekadar melepaskan batuk di tangga dan tidak bersungguh-sungguh.

Kita amat memerlukan pertolongan daripada Allah SWT. Nabi Yaakub AS ketika hatinya remuk atas kehilangan anak tersayang iaitu Yusuf, baginda mengajarkan kepada kita satu doa.

Seperti dinyatakan dalam Surah Yusuf, ayat 86 bermaksud: (Nabi Yaakub) menjawab: “Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah dan aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) daripada Allah, apa yang kamu tidak mengetahuinya.”

Semoga Allah SWT memperkenankan semua permintaan kita dan menjadikan Ramadan kali ini yang terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 11:11 AM