ZAINUN bersama botok-botok ikan. FOTO Saifullizan Tamadi
ZAINUN bersama botok-botok ikan. FOTO Saifullizan Tamadi
Muhamaad Razis Ismail


Pertama kali mendengar nama menu botok-botok ikan yang bakal disediakan suri rumah, Zainun Zainuddin, 58, sudah membuatkan penulis berasa teruja.

Keunikan nama menu ini membuatkan sesiapa sahaja ingin mengetahui lebih lanjut berkenaan resipinya.

Zainun berkata, botok-botok ikan sesuai dijadikan hidangan untuk berbuka puasa.

Katanya, biarpun begitu, bagi individu yang pertama kali menyediakan hidangan ini, ia agak cerewet. Ini kerana perlu menyediakan beberapa jenis ulam-ulaman.

"Bagi saya agak mencabar untuk mendapatkan beberapa jenis ulam-ulaman terutama yang tinggal di bandar.

"Biarpun begitu, hidangan ini sangat mudah disediakan dan tidak mengambil masa yang lama," katanya.

Menurutnya, hidangan ini baik untuk kesihatan kerana dikukus tanpa menggunakan minyak.

"Hidangan ini juga amat sesuai untuk semua peringkat usia terutama ibu yang sedang berpantang dan individu yang menjaga pemakanan," katanya.

BOTOK-botok ikan siap untuk dihidangkan sebagai juadah berbuka puasa. FOTO Saifullizan Tamadi
BOTOK-botok ikan siap untuk dihidangkan sebagai juadah berbuka puasa. FOTO Saifullizan Tamadi

Suri rumah yang berasal dari Hulu Langat, Selangor itu berkata, botok-botok ikan mempunyai rasa sedikit pedas dan berbau wangi.

"Ia sangat enak dimakan sebaik sahaja selesai dimasak. Ia boleh dimakan sama ada bersama nasi, pulut atau roti.

"Dengan hidangan ini, anda tidak perlu menyediakan menu lain kerana ulam-ulaman yang dibungkus bersama ikan

boleh dijadikan sebagai sayur," katanya.

Resipi botok-botok ikan

BAHAN-bahan yang diperlukan untuk menyediakan botok-botok ikan. FOTO Saifullizan Tamadi
BAHAN-bahan yang diperlukan untuk menyediakan botok-botok ikan. FOTO Saifullizan Tamadi

A.Bahan-bahan

Empat ekor ikan kembung

Empat ulas bawang merah

Dua inci halia

Dua inci lengkuas

Empat batang serai

10 tangkai cili kering

Satu senduk santan

Empat sudu rempah kari

Dua sudu kerisik

Garam

Gula

Kunyit

Ulam-ulaman

Pucuk ubi

Daun kesum

Daun kunyit

Daun pisang

KEMUDIAN bahan yang dikisar dimasak. FOTO Saifullizan Tamadi
KEMUDIAN bahan yang dikisar dimasak. FOTO Saifullizan Tamadi

B. Cara Penyediaan

Semua bahan kering dikisar sehingga sebati untuk dijadikan sebagai pes

Kemudian bahan yang siap dikisar itu ditumis

Masukkan santan, rempah kari, kerisik

Ikan digaul dengan sedikit kunyit dan garam untuk mendapatkan sedikit rasa

Letak ikan bersama rempah dan ulam-ulaman di atas daun pisang

Bungkus ikan mengikut kreativiti anda

Kemudian kukus selama 20 minit

Botok-botok ikan yang sudah masak akan mengeluarkan air rempah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2024 @ 6:17 AM