SALINA memiliki tubuh langsing hasil penjagaan makanan dan senaman.
SALINA memiliki tubuh langsing hasil penjagaan makanan dan senaman.
Siti Zarinah Sahib


Rutin harian wanita ini bermula seawal jam 5 pagi. Perkara pertama dilakukan sebaik bangun tidur adalah mengambil air rebusan halia dan diminum begitu saja. Kemudian Salina Sari Ghazali, 48, mengambil lima biji kurma, secawan susu segar dicampur madu untuk dikisar menjadi minuman harian.

Hasil campuran ini dijadikan sarapan bagi memberikan kesegaran kepada tubuh untuk kekal bertenaga sepanjang hari. Menjadikannya sebagai amalan harian, Salina tidak pernah merungut jika tidak dapat menikmati keenakan nasi lemak, roti canai bersama secawan teh tarik setiap pagi.

“Sejak berusia 20-an saya mengurangkan pengambilan makanan berlemak, berminyak, masin dan manis. Cuma sekali-sekala apabila teringin, saya akan menikmati dalam kadar yang sedikit. Begitu juga dengan makanan segera yang dijual di pasaran kerana sejak remaja ibu memang mengajar saya untuk memasak sendiri di rumah kerana lebih sihat dan berkhasiat,” katanya yang turut mengamalkan minum segelas air masak setiap pagi sebaik bangun tidur.

 AMALKAN minum air halia untuk membuang angin.
AMALKAN minum air halia untuk membuang angin.

Orang tua terdahulu sudah lama mengamalkannya. Sebab itu mereka sentiasa sihat tanpa sebarang penyakit. Ini kerana enzim yang terhasil dalam air liur bagus untuk antibodi dan membantu melancarkan peredaran darah.

Amalan minum air setiap pagi dan sebelum tidur membawa banyak kebaikan kepada tubuh. Walaupun menyebabkan kekerapan membuang air meningkat, proses perkumuhan berlaku dengan mudah menerusi pembuangan air kecil.

Mengakui seorang yang cintakan petua tradisional dan mengamalkannya sejak berusia 19 tahun, Salina yang juga pengasas produk Salina Sari Health & Beauty tidak pernah culas minum air halia, madu dan pelbagai jenis ulam-ulaman yang dimakan bersama nasi, sambil menunjukkan kepada penulis pegaga dan ulam raja yang menjadi menu wajib setiap hari. Sekali-sekala pegaga ini dikisar kemudian airnya diminum untuk meremajakan kulit.

Selepas dua minggu dia mula merasai perbezaannya. Badan semakin ringan, kulit lebih halus dan keputihan semakin berkurang. Begitu juga dengan jus serai yang baik untuk pertahanan badan kerana kaya kandungan antibakteria dan antikanser, sekali gus melancarkan peredaran darah.

Mengakui apa yang diamalkan 20 tahun lalu mengambil masa untuk dilihat kesannya terutama sekarang. Selepas melahirkan anak pertama pada usia 19 tahun dia bersyukur kerana ibunya, Nadrah Syed Ali, 69, yang juga pengusaha jamu Arab banyak memperturunkan petua tradisional kepadanya.

MINUMAN yang menjadi amalan Salina sejak berusia 19 tahun.
MINUMAN yang menjadi amalan Salina sejak berusia 19 tahun.

“Sejak kecil saya didedahkan dengan sayur-sayuran mentah seperti tomato, kubis, kacang panjang, pegaga dan semua jenis ulam-ulaman menjadi hidangan wajib setiap hari. Sayuran pula tidak dimasak lama bagi mengekalkan khasiatnya. Ibu juga mempunyai amalan tersendiri menguatkan gigi iaitu limau nipis dimakan bersama kicap. Kulit limau yang berasid dan keras sebenarnya baik untuk gusi dan gigi,” katanya.

Menceritakan lebih lanjut bagaimana dia begitu konsisten mengamalkan petua tradisi, jelas Salina sejak remaja, dia gemar melihat wanita cantik yang kelihatan muda daripada usia. Lalu dia mencari maklumat mengenai amalan pemakanan sihat menerusi Internet. Kebanyakan mereka mengakui makan banyak sayur-sayuran hijau dan ulam mentah agar wajah sentiasa awet muda.

Rawat wajah dengan bahan di dapur

Selain amalan pemakanan yang dijaga sejak berusia belasan tahun, Salina juga percaya bahan utama di dapur sebenarnya boleh dijadikan perawatan kulit wajah. Antara yang menjadi amalan adalah timun Jepun yang dikisar bersama susu segar dan disapu pada kulit.

“Selain menyejukkan kulit, timun Jepun dapat memudarkan parut jerawat. Caranya sapu bahan kisar pada kulit dan biarkan 10 minit. Kemudian bilas dengan air sejuk. Selain timun saya juga menggalakkan wanita menggunakan tomato sebagai skrub wajah. Buah jingga ini kaya antioksidan dan bagus untuk melicinkan kulit.

“Untuk menegangkan kulit wajah sapu putih telur pada kulit dan biarkan 15 minit kemudian bilas dengan air. Ia bukan saja menjadikan kulit lebih tegang, tetapi halus dan cantik,” katanya yang turut menjadikan campuran timun dan susu sebagai minuman untuk mengelak sembelit.

PEGAGA dan ulam raja menjadi makanan harian.
PEGAGA dan ulam raja menjadi makanan harian.

Bagi mereka yang mempunyai masalah bau badan Salina mencadangkan menggunakan air rebusan sireh bersama cengkih yang diminum setiap hari. Rebusan sireh juga dan boleh dijadikan bahan pencuci wanita kerana ia kaya antibakteria. Untuk menganjalkan payudara sapuan telur dan dadih sangat berkesan dan mampu mengembalikan keremajaan payudara wanita.

“Sejak remaja saya tidak pernah menggunakan pembersih wanita kerana ia boleh mematikan bakteria baik yang terdapat pada vagina. Apabila bakteria baik sudah tiada ia menyebabkan keputihan berlaku, kegatalan serta rasa kurang selesa. Apa yang boleh dilakukan adalah basuh dengan air saja,” katanya yang memiliki berat badan 52 kilogram (kg) dengan ketinggian 158 sentimeter (sm).

Salina mengakui jarang mengambil nasi dan memilih cara memasak menerusi kaedah merebus dan memanggang, malah suami dan anak turut menggemarinya. Ia juga lebih mudah dan sesuai dijadikan amalan untuk ibu bekerja kerana mereka hanya perlu menyediakan bahan utama seperti ayam atau ikan kemudian panggang seketika.

“Sementara menunggu makanan siap, ibu boleh melakukan kerja rumah yang lain. Dapur juga terjaga bersih daripada palitan minyak masak di sana-sini,” ujarnya yang rajin membaca buku lama mengenai petua tradisi. Ada juga amalan diambil daripada datuk dan nenek serta peninggalan saudara-mara.

Dia yang langsung tidak mengamalkan makanan tambahan yang dijual di pasaran menasihati wanita agar mengamalkan ulam-ulaman dan herba untuk kekal sihat dan langsing. Paling penting ia tidak mengeluarkan belanja yang besar dan mengelak daripada mengambil makanan tambahan yang kurang baik untuk tubuh.

HASILKAN produk sendiri berasaskan 23 herba.
HASILKAN produk sendiri berasaskan 23 herba.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Mac 2018 @ 11:35 AM