MEMBENTANGKAN kain kafan.
MEMBENTANGKAN kain kafan.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


JIKA individu lain melihat tugas sebagai pengurus jenazah sebagai sesuatu perkara yang menakutkan kerana dimomokkan dengan badi mayat boleh terkena kepada petugas berkenaan.

Namun, perkara itu tidak pernah menggoyangkan semangat wanita ini untuk terus istiqamah menjadi pengurus jenazah Muslimah sejak 2019 hingga kini.

Sebaliknya, Khairini Haris, 45, seronok kerana dapat menyempurnakan tanggungjawab fardu kifayah itu bersama rakan-rakannya daripada Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) yang beroperasi di Klang, Selangor.

Malah, Khairini sentiasa bersedia menguruskan jenazah sebaik mungkin walaupun tugas itu perlu dilakukan pada awal pagi.

Katanya, setakat ini dia sudah menguruskan kira-kira 400 jenazah Muslimah daripada pelbagai peringkat usia dan setiap tugas dilaksanakan mempunyai kisah berbeza.

"Antara pengalaman tidak boleh saya lupakan ialah ketika menguruskan satu jenazah Muslimah berusia 40-an yang ketika itu sekitar jam 3 pagi pada 2019.

"Kami terlupa menghidupkan kipas dan penyaman udara, tetapi apabila hendak memulakan proses mengkafankan jenazah, dua alat elektrik berkenaan hidup secara tiba-tiba," katanya.

Menurutnya, kejadian itu mengejutkan semua petugas, namun tidak berasa takut. Sebaliknya gembira kerana mungkin Allah SWT membantu memudahkan pengurusan jenazah berkenaan.

"Arwah seorang yang baik dan kematiannya dimuliakan Allah SWT. Kami tidak mengetahui amalannya ketika hidup," katanya.

Khairini yang menetap di Klang berkata, menitiskan air mata ketika memandikan jenazah adalah perkara biasa dialaminya kerana hiba melihat waris jenazah kesedihan atas kematian insan tersayang.

"Pada masa sama, turut membayangkan jenazah dimandikan adalah diri saya sendiri yang akan meninggalkan anak-anak.

"Terbayang keadaan anak-anak seandainya saya tiada lagi di sisi mereka selama-lamanya," katanya.

Katanya lagi, walaupun sedih, tetapi perlu tabah melaksanakan tanggungjawab menguruskan jenazah yang akan kembali kepada Allah SWT.

Jelasnya, tidak dinafikan ada rakan bertanya kepadanya sama ada tidak takut terkena badi mayat apabila menguruskan jenazah.

"Saya menjelaskan tidak bimbang dengan perkara itu kerana ia bergantung kepada hati dan niat apabila menguruskan jenazah.

"Pendapat saya, menguruskan jenazah perlu dilakukan secara beradab dan tertib, di samping menjaga percakapan sepanjang mengendalikan proses berkenaan," katanya.

Menurutnya, perkara utama perlu dipatuhi pengurus jenazah ialah menjadi pemegang amanah yang bertanggungjawab menjaga aib jenazah.

Berkongsi pembabitan awalnya dalam pengurusan jenazah Khairini berkata, niat mahu menjadi pengurus jenazah terdetik selepas berhenti bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital swasta.

"Ketika bertugas jururawat, saya terbabit dalam menguruskan mayat bukan Islam, tetapi tidak ramai kerana saya meletakkan jawatan selepas sembilan bulan berkhidmat.

"Selepas meletakkan jawatan, terdetik di hati mengapa tidak menguruskan jenazah Muslimah yang dituntut dalam Islam kerana ia fardu kifayah.

"Seterusnya saya menyertai UKVJ pada 2019 dan dapat menguruskan banyak jenazah yang mana cara pengurusannya adalah mengikut keadaan mereka (jenazah)," katanya.

Jelasnya, cara menguruskan jenazah kemalangan, terbakar, lemas dan sudah beberapa hari meninggal dunia adalah berbeza dengan jenazah meninggal dunia dalam keadaan sempurna.

"Bagi jenazah yang mempunyai luka, petugas tidak boleh menyentuh luka berkenaan, tetapi lalukan sahaja air atas luka itu.

"Saya akan terus menjadi pengurus jenazah selagi khidmat diperlukan dan masih diberikan kesihatan yang baik oleh Allah SWT. Diharapkan kerja amal ini boleh menjadi bekalan di akhirat kelak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 7:02 AM