KETUA Jaringan Kerjasama Industri dan Komuniti Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB) Nor Azizah Azizan. - FOTO Aizuddin Saad
KETUA Jaringan Kerjasama Industri dan Komuniti Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB) Nor Azizah Azizan. - FOTO Aizuddin Saad
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Belia tercicir tanpa pendidikan sering kali dilabelkan sebagai kelompok tiada masa depan.

Bahkan golongan ini juga terus 'hanyut' dalam dunia ciptaan mereka sendiri dan terpinggir.

Namun ada 'tangan' yang sentiasa menyambut mereka daripada terus tersungkur dan membantu golongan ini membina masa hadapan yang lebih baik.

Insan hebat ini ialah Ketua Jaringan Kerjasama Industri dan Komuniti Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB), Nor Azizah Azizan, 30.

Lebih membanggakan Nor Azizah baharu sahaja menerima Anugerah 'Best NGO Championning Skill and Development For Youths' pada 21 September lalu, menerusi pelaksanaan Projek Belia Mahir.

Nor Azizah berkata, anugerah berkenaan adalah pencapaian tertingginya tahun ini dan menjadi perangsang kepadanya untuk mencipta lebih banyak kejayaan dalam memperkasa belia tercicir.

Menurutnya, kelayakan penerimaan anugerah itu diukur berdasarkan kejayaannya membantu ramai belia tercicir mendapat pekerjaan.

"Terdapat lapan kumpulan sasar dalam kalangan belia dan lazimnya keutamaan pasaran kerja lebih memberi ruang kepada belia berpendidikan tinggi untuk bekerja.

"Jadinya belia tercicir ini tiada peluang untuk menempatkan diri dalam pasaran kerja dan terus terpinggir," katanya.

Katanya, oleh itu di dalam PKPB di bawah Projek Belia Mahir, dia mengambil tanggungjawab membantu belia tidak berpendidikan mendapat peluang yang sama dengan belia bekerjaya.

ANUGERAH disampaikan Timbalan Menteri Sumber Manusia Malaysia Mustapha Sakmud.
ANUGERAH disampaikan Timbalan Menteri Sumber Manusia Malaysia Mustapha Sakmud.

"Saya akan memastikan belia terbabit mendapat pekerjaan tetap dan menerima bayaran gaji yang setimpal dengan kemahiran dimiliki.

"Belia tercicir ini kerana ketika di alam persekolahan mereka kurang berminat ke sekolah dan belajar. Ia berkemungkinan disebabkan faktor kemiskinan, perceraian keluarga, terjebak najis dadah serta masalah sosial lain.

"Apabila berusia 18 tahun, remaja ini mula berasa sukar mendapatkan pekerjaan kerana tidak mempunyai kelulusan akademik," katanya.

Nor Azizah berkata, PKPB turut ke sekolah dan 'menjaga' pelajar daripada tiga kelas 'terkebelakang' yang tidak berminat untuk belajar.

"Kita akan mengenal pasti minat belia ini dan selepas tamat persekolahan, memperkenalkan kepada kolej kemahiran yang mereka berminat untuk melanjutkan pengajian.

"Contohnya bidang kemahiran automotif, kimpalan dan kulinari untuk belia lelaki. Manakala fesyen adalah khusus kepada belia wanita," katanya.

NOR Azizah (kanan) bersama ahli PKPB sedang menemuramah bakal kakitangan di Pejabat Projek Belia Mahir, Bandar Putra Mahkota, Bangi. - FOTO Aizuddin Saad
NOR Azizah (kanan) bersama ahli PKPB sedang menemuramah bakal kakitangan di Pejabat Projek Belia Mahir, Bandar Putra Mahkota, Bangi. - FOTO Aizuddin Saad

Katanya lagi, di PKPB dia bekerja di sebalik tabir dan menjadi perantara di antara majikan dengan pekerja (belia).

"Selain itu turut menjadi perantara di antara pihak kolej kemahiran dengan pelajar.

"Sebagai perantara, saya dapat mengenal pasti masalah dihadapi belia iaitu tidak mengetahui pekerjaan yang sesuai dengan bidang dipelajari.

"Setakat ini, lebih 7,000 belia tercicir sudah dibantu dan kini mereka bekerja di beberapa sektor industri seperti automotif, pelabuhan dan perkilangan.

"Status pekerjaan mereka sebagai pekerja separa kemahiran atau kemahiran rendah dan menerima kadar gaji minimum," katanya.

Wanita kelahiran Kedah ini berkata, melalui platform Projek Belia Mahir, pertubuhan itu turut mendekati belia menerusi bimbingan dan kaunseling.

"Oleh itu, kadar peletakan jawatan belia di bawah Projek Belia Mahir adalah rendah iaitu tiga peratus sahaja," katanya,

NOR Azizah (tengah) menghadiri taklimat latihan kemahiran dron dan motosikal secara percuma di Kepala Batas, Pulau Pinang.
NOR Azizah (tengah) menghadiri taklimat latihan kemahiran dron dan motosikal secara percuma di Kepala Batas, Pulau Pinang.

Ditanya impiannya berkenaan belia tercicir pada masa hadapan Nor Azizah berkata, dia mahu membantu memperkasakan lebih ramai golongan belia tercicir dan mengecilkan jumlah kumpulan berkenaan.

Tambahnya, ini kerana Projek Belia Mahir memberi peluang kedua kepada belia tercicir membina masa hadapan yang lebih cerah.

"Berdasarkan kepada ekonomi semasa negara, pendidikan dan pekerjaan adalah penting.

"Sekiranya tidak mempunyai pendidikan belia sukar mendapatkan pekerjaan. Ini kerana teknologi kini mengambil alih peranan banyak pekerjaan," katanya.

Nor Azizah berkata, banyak kejayaan luar biasa dilakar belia tercicir itu selepas dia bekerjasama dengan pihak industri.

Katanya, ini kerana di bawah Projek Belia Mahir ada keistimewaannya yang mana terdapat ketua membimbing belia tercicir terbabit.

"Maksudnya PKPB menjadikan Perkongsian Belia-Dewasa (keserakanan) sebagai sumber bimbingan dan kaunseling kepada golongan belia tercicir untuk terus mempercayai maklumat penting yang disampaikan oleh pertubuhan ini daripada segi peluang pendidikan serta pekerjaan.

"Setakat ini seramai 50 pelajar sudah dihantar ke luar negara untuk menjalani latihan meningkatkan kemahiran menerusi Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) di China dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)" katanya.

Katanya lagi, dua kumpulan pelajar yang dihantar ke China menjalani latihan dalam bidang automotif iaitu pembuatan kenderaan elektrik.

NOR Azizah (tujuh, kanan) menghadiri program pembangunan belia di China pada 2019.
NOR Azizah (tujuh, kanan) menghadiri program pembangunan belia di China pada 2019.

"Ini kerana sudah banyak kenderaan elektrik masuk ke Malaysia dan pasaran kenderaan itu di negara ini juga semakin tinggi.

"Oleh itu kita perlu menambah bakat anak Malaysia dalam bidang berkenaan supaya mereka sentiasa memenuhi kehendak pasaran buruh," katanya.

Dalam pada itu, Nor Azizah mengharapkan belia wanita perlu mempunyai nilai tambah terhadap dirinya untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

"Menerusi pembacaan saya di media massa dan pemerhatian di media sosial mendapati kadar perceraian di Malaysia semakin tinggi.

"Ada yang tidak boleh bertahan dalam kehidupan kerana taraf pendidikan yang rendah.

"Oleh itu, wanita yang sudah mendirikan rumah tangga, dinasihatkan supaya tidak hanya mengharapkan pendapatan suami semata-mata.

"Mereka perlu mempunyai nilai tambah untuk melakukan sesuatu yang boleh menjana pendapatan diri dan keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2023 @ 7:00 AM