HASIL rekaan peserta pertandingan Piala Benang Emas 2023.
HASIL rekaan peserta pertandingan Piala Benang Emas 2023.
Nurul Husna Mahmud


Warna putih pada busana pengantin digambarkan sebagai lambang keperawanan, kepolosan dan imej naif pasangan memulakan hidup bersama.

Tidak kurang juga penggunaan warna putih dilihat sebagai simbolik kemurnian upacara perkahwinan itu sendiri.

Namun, untuk menonjolkan pesona putih terutama bagi busana pengantin dan menyerlahkan pemakainya bukan sesuatu perkara yang mudah.

Itu cabaran perlu disahut lebih 30 peserta Piala Benang Emas 2023 yang berlangsung di Pulau Pinang, baru-baru ini.

Menurut pemenang kategori rekaan fesyen, Nik Mohd Hafiz Muhamad Afandi, penyertaannya dalam pertandingan kali ini dilihat satu percubaan berani apabila memilih inspirasi klasik untuk rekaan busana pengantin putih.

"Cabaran kali ini memerlukan pereka menghasilkan busana pengantin berwarna putih yang selalunya lebih sinonim dalam kalangan pereka pakaian perkahwinan barat.

"Tema itu sendiri dirasakan satu tugasan sukar kerana sepanjang menghasilkan busana perkahwinan Melayu, saya lebih terdedah kepada penggunaan pelbagai warna.

"Dalam rekaan busana Puteri Saadong sendiri, kebiasaannya menggunakan warna seperti merah, hijau, coklat dan warna gelap yang lain.

AKSI Damia ketika dinobatkan sebagai juara.
AKSI Damia ketika dinobatkan sebagai juara.

"Warna putih amat jarang digunakan pereka busana tradisional untuk menghasilkan busana pengantin," katanya.

Istimewanya rekaan busana pengantin Puteri Saadong dihasilkan Nik Mohd Hafiz menarik perhatian juri adalah 'nafas' lebih moden dan kontemporari pada rekaan klasik.

"Dalam busana tradisional Puteri Saadong, biasanya mengenakan kain lepas dengan ikatan pancung di bahagian atas dan di bahagian bawah kain dengan ikatan seribu.

"Tetapi, kelainan kali ini busana hasil rekaan saya menggunakan korset dan kain jarang untuk menampakan ilusi rekaan seperti rekaan asal Puteri Saadong.

"Dari segi kekemasan saya memilih untuk menggunakan seratus peratus manik swarovski untuk penggayaan lebih moden dan kelainan dalam rekaan kali ini," katanya.

SOLEKAN antara kategori dipertandingkan.
SOLEKAN antara kategori dipertandingkan.

Sementara model yang menggayakan rekaan busana Puteri Saadong itu, Nur Damia Norzaimie mengakui persalinan itu dirasakan sangat berbeza dengan busana klasik bertemakan puteri legenda terbabit.

"Saya pernah menggayakan busana Puteri Saadong dengan pereka yang sama, tetapi dalam persalinan atau material berbeza.

"Untuk kali ini gaya ditampilkan lebih moden. Bagi saya untuk menggayakan baju berkenaan tiada masalah kerana saya sudah terbiasa dan mempunyai keyakinan yang cukup untuk menggayakan baju.

"Namun, saya kekal dengan sikap berhati-hati supaya pergerakan dalam memperagakan baju tidak akan merosakkan baju.

"Saya juga kekalkan pembawaan diri atau 'in character' supaya ia sepadan dengan bayangan pereka mengenai Puteri Saadong yang digambarkan sebagai raja perempuan yang jelita, lemah lembut, bijak, setia dan penyayang kepada suami dan rakyatnya," katanya.

Wakil Yus Yusoff Event Management, Amaly Mazly yang juga penganjur acara itu berkata, pemilihan tema perkahwinan dan warna putih ditampilkan supaya peserta lebih versatil dan berfikir di luar kotak untuk menonjolkan rekaan masing-masing.

NIK Mohd Hafiz tidak menyangka percubaan berani berhasil.
NIK Mohd Hafiz tidak menyangka percubaan berani berhasil.

"Warna putih dipilih kerana busana perkahwinan sinomin dengan warna terbabit. Sudut pandangan pereka dan jurusolek pula, warna putih sangat mencabar.

"Tugasan itu diharap dapat mencungkil kreativiti dan skil penggiat industri fesyen untuk menghasilkan produk berkualiti.

"Seiring objektif pertandingan ini mahu Piala Benang Emas dijadikan platform melahirkan lebih ramai pengusaha dan penggiat bidang fesyen yang berkauliti dan profesional," katanya.

Peserta dinilai oleh juri profesional dalam bidang terbabit antaranya pereka fesyen, Azzim Aziz, jurusolek, Sheila Mohamad dan Miss Eco International 2022 Dr Prasana Shri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2023 @ 7:01 AM