TERDAPAT juga gaya rakyat diberi nafas baru.
TERDAPAT juga gaya rakyat diberi nafas baru.
Nurul Husna Mahmud


Peminat kisah lagenda seperti Mahsuri dan Puteri Saadong pasti membayangkan 'figura' wanita cantik yang sentiasa tampil ayu dan sopan dalam kisah berkenaan.

Meskipun ada sebahagian kisah itu membawa pengakhiran penuh tragis, namun itu tidak menutup 'aura' karakter yang dilihat memiliki keberanian tinggi dalam mempertahankan kesucian dan martabat diri.

Bersandarkan kekuatan itu, pereka busana kanak-kanak, Nik Mohd Hafiz Muhamad Afandi menterjemahkan inspirasi sebalik karakter penuh ikonik dalam kisah rakyat itu kepada busana.

Kata Nik Mohd Hafiz, kisah lagenda itu sendiri seharusnya wujud dalam dunia generasi muda sekarang kerana mempunyai nilai-nilai murni cukup tinggi sesuai dengan didikan berasaskan adat dan budaya ketimuran.

"Rekaan busana saya cuba perincikan daripada busana mengikut adat atau ikon dalam mitos lagenda yang tersohor dalam setiap negeri.

"Contohnya Kelantan, busana Cik Siti Wan Kembang, Puteri Saadong, Menora dan Mak Yong menjadi inspirasi saya dalam pemilihan gaya busana digayakan oleh model atau pemakai cilik.

"Sebenarnya setiap karakter antaranya Puteri Perak, Puteri Ulek Mayang mahupun Puteri Gunung Ledang, dalam setiap penceritaan mereka ada gambaran gaya atau rupa pakaian oleh penglipur lara.

"Jadi saya gunakan elemen itu kepada rekaan busana untuk kanak-kanak.

"Secara tidak langsung keadaan itu mengetengahkan elemen 'sopan' atau ketrampilan 'ayu' pada pakaian si anak sejak usia mereka mengenal apa itu istilah pakaian cantik," katanya.

Ternyata Nik Mohd Hafiz juga cukup teliti dalam mengetengahkan ciri-ciri unik mewakili masyarakat bangsa lain seperti sari dan busana Siam.

Katanya dengan cara itu, ia dapat meningkatkan kesedaran umum berkenaan kewujudan pakaian warisan bangsa lain selain bangsa Melayu.

PERSALINAN songket antara imej gambar Puteri Saadong.
PERSALINAN songket antara imej gambar Puteri Saadong.

"Bagi koleksi busana rakyat untuk kanak-kanak ini saya hasilkan baju kurung Kedah berinspirasikan lagenda Mahsuri.

"Busana dihasilkan dengan menggunakan material kain kapas pada bahagian baju dan padanan bawahnya pula menggunakan fabrik batik. Melengkapkan gaya itu ialah selendang kemasan sulam goyang yang mampu mengangkat jiwa polos si dara sunti.

"Tidak lupa dalam koleksi ini saya turut tampilkan busana Siam kerana kelompok minoriti ini wujud dan bergaul akrab dalam masyarakat.

"Begitu juga busana sari yang dekat dengan masyarakat indah juga sebenarnya sesuai digayakan semua kaum di Malaysia dengan sedikit pengubahsuaian mengikut sensitiviti atau keselesaan pemakai," katanya.

Tambah pereka itu, rekaan busana rakyat kekal relevan termasuklah dalam penggayaan dewasa. Busana tidak terhad untuk acara pakaian beragam semata-mata, sebaliknya boleh digayakan untuk tampil dalam majlis atau keraian tertentu.

"Kesesuaian penggayaan busana rakyat ini terletak kepada kreativiti dan rekaan pereka dalam memastikan busana itu kekal relevan dalam sebarang keadaan atau majlis.

"Bagi rekaan busana rakyat meskipun dipakai oleh kanak-kanak, ia tidak seharusnya terlalu sarat atau seksi kerana penekanan busana itu sendiri mahu menekankan aspek sopan.

"Selain itu pereka itu juga perlu tahu had untuk mereka kreativiti dalam rekaan tradisi agar tidak bercanggah dengan idea rekaan busana itu yang mahu mencerminkan identiti masyarakat atau kaumnya," katanya.

Kata Nik Mohd Hafiz, dia biasanya menggunakan manik yang sesuai dan tidak terlalu sarat kerana saiz busana kanak-kanak itu juga kecil.

"Setiap busana kanak-kanak ini mencabarnya ialah ukuran badan mereka ini berbeza walaupun usia sebaya. Selain itu pereka kena ambil kira pemilihan fabrik yang sesuai dan selesa.

"Bagi kebanyakan busana yang saya hasilkan terdapat kain alas lembut dan menyerap peluh di bahagian dalam busana. Model atau kanak-kanak yang mengenakan baju rekaan saya tidak berasa panas atau gatal," katanya.

AURA sopan gadis sunti pada model cilik Nur Damia ketika menggayakan busana baju kurung kedah.
AURA sopan gadis sunti pada model cilik Nur Damia ketika menggayakan busana baju kurung kedah.

Beliau yang sudah empat tahun terbabit dalam rekaan busana kanak-kanak turut berkongsi kepuasan dalam rekaan itu dirasai apabila kanak-kanak tampil cantik dan bergaya.

"Keseronokan dalam mereka busana kanak-kanak ini adalah ruang pereka untuk berkarya itu bebas dan terbuka kerana rekaan itu tidak terikat untuk rekaan tertentu atau majlis semata-mata.

"Berbanding dewasa yang memiliki elemen 'rigid' yang mana rekaan berkisar kepada tertumpu untuk senario atau keadaan tertentu," katanya.

Pereka berusia 35 tahun itu berharap rekaan busana tradisi boleh menyemai sikap cinta kepada budaya dan adat warisan seawal usia kanak-kanak.

Sementara itu model cilik, Nur Damia Norzaimee , 11, mengakui teruja setiap kali dapat menggayakan busana rakyat.

"Saya menjadi model sejak usia enam tahun dan pelbagai jenis pakaian sudah saya peragakan di atas pentas atau untuk sesi penggambaran.

"Malah saya rasa teruja dan istimewa apabila mengenakan pakaian tradisi. Maklumlah kebanyakan pakaian kanak-kanak adalah moden dan menggayakan pakaian tradisi jarang sekali.

"Terselit juga perasaan bangga apabila negara kita banyak busana rakyat yang juga berbilang kaum membuatkan itu satu kenangan dan pengalaman menarik buat saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Disember 2021 @ 7:00 AM