BERMAIN gaya dalam pemakaian mampu menyerlahkan peribadi si pemakai.
BERMAIN gaya dalam pemakaian mampu menyerlahkan peribadi si pemakai.
Hafiz Ithnin


PAKAIAN sememangnya mampu menonjolkan identiti seseorang. Malah, ia juga sering dikatakan menjadi penilaian pandang pertama untuk seseorang.

Namun kadang-kala untuk mengacukan pakaian harian menjadi sesuatu yang memeningkan kepala, terutama jika seseorang itu amat mementingkan kredibiliti berpakaian.

Meskipun ada segelintir yang melihat berpakaian apa yang ada sudah mencukupi tetapi tidak semua yang mempunyai fikiran yang sama.

Penganalisis Fesyen, Faizal Hamid berkata, gaya atau stail adalah mengenai keyakinan dalaman. Walaupun anda berumur 50 tahun sekali pun, jika berani menggayakan skirt mini, tiada siapa yang boleh menghalangnya.

"Namun bersedialah untuk melihat ramai orang ramai menoleh dan memandang sinis pada anda! Kini terdapat pelbagai pilihan menarik dan bergaya di pasaran untuk semua peminat fesyen pelbagai usia.

"Pakailah apa yang paling selesa dan kita gemari dan jangan terlalu memikirkan hal-hal remeh yang boleh menghalang daripada menikmati fesyen. Namun, ia juga perlu sejajar dengan penerimaan masyarakat sekeliling," jelasnya.

Katanya, pelajari untuk dapatkan gaya pakaian yang terbaik untuk personaliti anda. Pakaian yang sesuai dan tepat dapat serlahkan keanggunan dan keperibadian.

"Bagi wanita berusia 20-an, anda beruntung kerana inilah masanya untuk berfesyen tanpa had. Selagi ia sesuai dengan latar belakang dan budaya anda berada.

"Segalanya adalah berkenaan gaya individu yang unik dan tersendiri. Pada waktu muda ini, anda juga bebas bereksperimantasi dengan rekaan, warna, corak, suai padan dan aksesori," katanya.

Katanya, sama ada untuk siang atau malam, pilih dan gayakan rekaan gaun yang punyai ciri-ciri kewanitaan, ceria dan penuh warna.

"Jika gaun anda sedikit terbuka di bahagian atas, pastikan labuh kain adalah lebih panjang," katanya.

Katanya, padankan jeans dengan rekaan baju yang unik. Sememangnya pelbagai variasi pilihan terdapat di pasaran.

"Antara yang menarik rekaan yang punya banyak ropol atau anda boleh berikan tumpuan pada garis leher. Apa pun rekaan yang anda pilih, pastikan ia menarik dan menyerlahkan gaya peribadi," katanya.

PASTIKAN pakaian yang dipilih sesuai dengan penerimaan budaya.
PASTIKAN pakaian yang dipilih sesuai dengan penerimaan budaya.

Katanya, apabila memilih sikirt, fikirkan rekaan yang manis dan tidak keterlaluan. Wanita sememangnya menawan apabila menggayakan trend rekaan skirt dengan teknik lipatan, ropol, potongan garis-A, kembang dan lurus.

"Bereksperimentasilah dengan jaket dan kot. Padankan blazer dengan gaun kembang, jaket kulit potongan bomber dengan blaus floral, atau kot potongan 'princess' dipadankan dengan skinny jean dan tank.

"Untuk ke pejabat pula adalah tidak salah jika anda gemar memakai pakaian dalam rekaan yang serupa. Contohnya, baju kurung atau kebaya, jaket dan skirt dalam rona yang warna yang seakan sama (senada).

"Pastikan anda memakai rekaan berkenaan dalam variasi tekstur dan reka corak yang berlainan dalam jangka masa seminggu bekerja," katanya.

MEREKA yang berusia perlu memahami gaya yang sesuai untuk diri mereka.
MEREKA yang berusia perlu memahami gaya yang sesuai untuk diri mereka.

Jelasnya, sememangnya individu yang berpengaruh punyai gaya individu yang unik dan tersendiri.

"Paling penting jangan cuba untuk berpakaian seperti selebriti atau bintang filem. Sedarilah bahawa sebahagian besar kita bukanlah pelakon.

"Untuk lebih bergaya, apabila anda menggayakan sesuatu pakaian berserta padanan, pastikan anda melihat ia secara keseluruhan," katanya.

katanya, jaket, gaun, skirt, seluar dan kasut anda mungkin berkualiti dan daripada jenama hebat. Paling penting adakah ia sesuai dipadankan antara satu sama lain?

"Setiap orang boleh bergaya hebat, tetapi perlu diingat, yang paling penting adalah untuk kita bergaya bagi diri sendiri bukannya orang lain.

"Gaya adalah sesuatu yang peribadi. Tiada siapa yang sepatutnya memberitahu anda cara untuk berpakaian. Jika anda rasa cukup yakin untuk menggayakan sesuatu rekaan, teruskan niat anda dan bereksperimenlah dengan fesyen," katanya.

Katanya, sememangnya setiap kita punyai gaya individu tersendiri. Namun, kadang-kala kita perlu untuk membuat sedikit perubahan pada gaya untuk kelihatan lebih menarik. Itulah yang hebatnya mengenai fesyen iaitu terdapat terlalu banyak pilihan, selagi kita bijak memilih.

"Gaya yang menawan sebenarnya adalah apabila ia hanya memperlihatkan paling minimal bahagian tubuh kita seperti bahu dan kaki, sementara bahagian lain ditutup untuk hasil yang terbaik.

"Gaya atau konsep kurang itu menarik membangkitkan ciri-ciri aura misteri dan keanggunan si pemakainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2023 @ 6:17 AM