GAYA maskulin mampu ditonjolkan dengan mengayakan jaket kulit. - FOTO Google
GAYA maskulin mampu ditonjolkan dengan mengayakan jaket kulit. - FOTO Google
Hafiz Ithnin


Menggayakan jaket kulit mampu memberi aura tersendiri kepada si pemakai selain mempunyai gaya tersendiri.

Penganalisis fesyen, Faizal Hamid berkata, jaket kulit cukup istimewa kerana ia boleh memberi transformasi mudah pada gaya anda di pelbagai waktu dan acara.

Katanya, ia menyuntik elemen segar, berani dan urban pada gaya sederhana. Jaket kulit cukup versatil dan hebat digayakan untuk hari bekerja serta hujung minggu.

"Ia juga hebat untuk gaya kasual, kemas, profesional dan canggih. Segala-galanya bergantung pada inspirasi, imaginasi dan ekesperimentasi bagi mendapatkan gaya paling sesuai dengan cita rasa setiap individu.

"Jaket kulit adalah keperluan penting bagi menyuntik gaya urban pada penampilan yang biasa. Seharusnya peminat fesyen memiliki paling kurang sehelai jaket kulit dalam almari mereka," katanya.

Tambahnya, pada musim ini ada pelbagai variasi jaket kulit di pasaran termasuk gaya saiz besar, bercetak atau bersulam atau perincian lain yang lebih unik serta kontemporari.

Justeru, Faizal menyediakan panduan menggayakan jaket kulit kulit untuk pelbagai acara:

PADANAN jaket kulit dengan gaun memberi aura tersendiri. - FOTO Google
PADANAN jaket kulit dengan gaun memberi aura tersendiri. - FOTO Google

Santai atau hujung minggu

Dapatkan jaket kulit yang punyai kelainan dari segi rona, reka corak ataupun gayakan jaket kulit klasik dengan cara lebih ceria dan lain daripada kebiasaan.

Ia juga adalah waktu paling sesuai untuk menggayakan padanan jaket kulit dan gaun, blaus atau top mahupun skirt dalam reka corak flora rona terang atau fabrik renda.

Gayakan jaket kulit dengan menggantungnya hanya di bahu dan dipadankan dengan gaun pendek serta kasut tumit tinggi.

Jika ada memakai gaun atau skirt yang mengikut bentuk badan, pilih jaket kulit yang bersaiz besar untuk elemen kontra cukup menarik dan santai.

Gayakan jaket kulit hitam bersaiz besar dan jean anda untuk gaya santai, 'edgy' serta pastinya selesa dari pagi hingga malam.

Temu janji dengan teman istimewa

Jaket kulit boleh memberi mesej bahawa anda adalah seorang yang cukup yakin dengan penampilan sendiri. Dari segi padanan, pilih gaya yang paling anda selesa dan reka bentuk pakaian yang dapat menyerlahkan personaliti serta memberi kesan.

GAYA santai padanan antara jaket kulit dan baju-T polos. - FOTO Google
GAYA santai padanan antara jaket kulit dan baju-T polos. - FOTO Google

Acara formal

Gabungan pakaian formal dan jaket kulit bawa kelainan yang tidak dijangkakan. Dapatkan jaket kulit potongan 'cropped' yang dipadankan dengan gaun.

Lebih hebat jika anda gayakan jaket kulit dan gaun dalam rona senada.

Kontra dalam bentuk dan tekstur pada penampilan pakaian pasti menjadikan anda tumpuan di majlis dan acara itu.

Pejabat

Bergantung kepada tempat anda bekerja, mungkin ada yang beranggapan jaket kulit agak sedikit kasual dan tidak sesuai untuk pejabat.

Tetapi, bagi anda yang masih mahu mencuba, dicadangkan untuk memilih jaket kulit yang sedikit mengikut bentuk badan (slim cut) dan fabrik kulit yang ringan.

Padanan jaket kulit dengan kemeja putih dan seluar atau skirt potongan pensel pasti memberi penampilan keseluruhan yang cukup bergaya.

Pastinya, jaket kulit adalah alternatif menarik bagi blazer yang selalu anda gayakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 6:38 AM