MENYARUNG kemeja oxford sesuai untuk ke pejabat.
MENYARUNG kemeja oxford sesuai untuk ke pejabat.
Hafiz Ithnin


KADANGKALA anda buntu untuk menggayakan busana yang sesuai dipakai dari pagi sehingga malam.

Apatah lagi, jika si pemilik tubuh seorang yang mempunyai kredibiliti penting dalam sesebuah organisasi dan perlunya kelihatan lebih kemas dan trendy di tempat kerja.

Perlu diingatkan bahawa pemakaian antara kunci yang menjadi titik fokal seseorang apabila berada di khalayak.

Penganalisis fesyen, Faizal Hamid berkata, perkara paling menjadi keutamaan adalah gaya ekspresi individu. Gaya luahan rasa yang menyerlahkan keperibadian si pemakainya.

"Sememangnya aliran fesyen memberikan kita pelbagai panduan untuk memantapkan gaya supaya lebih menarik, yakin dan kreatif terhadap diri sendiri apatah lagi ketika berhadapan dengan masyarakat.

"Paling penting kita perlu bijak memilih, menyuai padan dan ia mampu menghasilkan sebuah gaya yang menarik meskipun dipakai dari pagi sehingga malam. Lebih-lebih lagi anda seorang wanita berkerjaya yang sibuk," katanya.

Justeru, Faizal kongsikan aliran gaya yang boleh dijadikan inspirasi untuk penampilan dari pagi hingga malam.

1. Bagi musim ini pereka menghasilkan gaun kaya dengan dekorasi dan perincian. Gaun pelbagai variasi warna dan mewah dihiasi ropol, tatahan labuci serta manik.

Bagi yang mahukan kelainan, dapatkan gaun yang penuh kilauan labuci dan kristal. Ia sudah cukup berkilau dan tidak perlu penambahan barang kemas. Gaun syif yang berlabuci dapat menampilkan gaya anggun dan klasik. Pasti menyerlahkan anda dan memikat sesiapa yang memandang.

2. Blaus sama ada potongan longgar dan besar atau yang sama padan dengan bentuk badan hasil dari potongan dan jahitan yang rapi dan kemas antara gaya rekaan yang penting serta menarik sealiran trend.

Pelbagai variasi potongan antaranya gaya desa (peasant) dengan lengan besar atau lengan puffed. Manakala kemeja oxford pula dipotong besar daripada kebiasaan. Kini antara gaya yang paling menyerlah adalah gaya maskulin atau kewanitaan.

3. Reka corak flora yang ringkas antara pilihan tepat untuk gaya pagi hingga malam. Sememangnya reka corak ini cukup kontemporari, segar, feminin dan romantik serta sesuai digayakan semua wanita.

4. Rekaan seluar potongan lebar dengan perincian menarik dapat memberikan penumpuan pada bahagian bawah pinggang. Anda boleh bereksperimen dengan lipatan (pleats), tetapi elakkan lipatan yang lebar jika anda agak rendah ketinggian. Pilihan fabrik satin perlu dielakkan jika anda tidak berani bereksperimentasi.

5. Skirt kembang punyai kuasa untuk memberikan ilusi bentuk yang lebih menarik. Ia cukup menarik dalam rekaan yang pelbagai. Ia juga boleh menyembunyikan paha yang besar dan punggung yang lebar. Penting anda perlu bijak memilih rekaan sesuai dengan bentuk tubuh.

6. Padankan seluar yang sememangnya punyai aura maskulin dengan blaus feminin. Antara rekaan menarik adalah blaus diperbuat daripada sifon dengan colar peter pan dan lengan gelembung.

Untuk lebih gaya, padankan seluar rona terang dengan blaus bercorak. Anda boleh bereksperimentasi dengan kombinasi warna, tetapi jangan keterlaluan kerana khuatir nampak pelik.

7. Bagi yang gemarkan fabrik satin, untuk lebih anggun, elakkan aksesori berlebihan. Istimewanya satin ia tidak perlu aksesori berlebihan, ia indah digayakan siang hingga malam. Untuk lebih menyerlah anggun pilih satin rona permata. Perlu diingatkan perlu sederhana untuk lebih menyerlah.

8. Antara panduan untuk kelihatan hebat pada hari-hari penting adalah dengan membuat sedikit perubahan pada penampilan anda. Pakai sesuatu yang selalunya anda tidak biasa pakai contohnya tali pinggang atau aksesori unik atau baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2022 @ 6:45 AM