ACU padan antara busana dan aksesori mampu memberi daya tarikan dalam pemakaian.
ACU padan antara busana dan aksesori mampu memberi daya tarikan dalam pemakaian.
Hafiz Ithnin


DALAM pemakaian terdapat pelbagai gaya yang boleh dipraktikkan mengikut cita rasa peribadi. Malah, cara penggayaan juga boleh memberi kesan kepada personaliti si pemakainya.

Penganalisis fesyen, Faizal Hamid berkata, pastinya ramai yang berdepan dengan situasi apabila berdiri di hadapan cermin, pelbagai andaian dan persoalan terlintas di fikiran antaranya, Adakah saya bergaya atau berpakaian seperti ibu atau anak saya? Atau adakah saya bergaya sesuai usia?

Jelasnya, terdapat juga yang memikirkan sama ada warna pakaian itu terlalu terang atau reka coraknya terlalu 'sibuk'

sehingga menyakitkan mata, atau mungkin juga tebuk lehernya terlalu luas hingga memperlihatkan bahagian dada yang sepatutnya ditutup.

"Malah, terdapat juga yang berasa agak khuatir gaya pemakaian yang diacukan pada badan sendiri kelihatan lebih tua daripada usia sebenar.

"Hakikatnya penggayaan dalam pemakaian boleh memberi kesan kepada si pemakai itu sendiri untuk berasa lebih yakin dan aura itu dapat diserlahkan kepada orang lain," katanya.

Katanya, gaya adalah mengenai keyakinan dalaman. Walau seseorang itu sudah berusia 50 tahun, tetapi jika berani menggayakan skirt mini, tiada siapa yang boleh menghalangnya (tetapi bersedialah untuk melihat ramai orang ramai menoleh dan memandang sinis pada anda).

"Kini ada pelbagai pilihan menarik dan bergaya di pasaran untuk semua peminat fesyen pelbagai usia. Pakai apa yang paling selesa dan kita gemari dan jangan terlalu memikirkan hal-hal remeh yang boleh menghalang kita daripada menikmati fesyen.

PILIH pakaian yang sesuai dengan diri dan mampu menghormati budaya setempat.
PILIH pakaian yang sesuai dengan diri dan mampu menghormati budaya setempat.

"Pelajari untuk dapatkan gaya pakaian yang terbaik untuk personaliti anda. Pakaian yang sesuai dan tepat dapat serlahkan keanggunan dan keperibadian," katanya.

Katanya, bagi wanita berusia 20-an, mereka beruntung kerana ini masanya untuk anda berfesyen tanpa had dan sempadan, selagi ia sesuai dengan latar belakang dan budaya setempat.

"Segala-galanya adalah berkenaan gaya individu yang unik dan tersendiri. Ketika muda ini, anda juga bebas bereksperimentasi dengan rekaan, warna, corak, suai padan dan aksesori.

"Sama ada untuk siang atau malam, pilih dan gayakan rekaan gaun yang punyai ciri-ciri kewanitaan, ceria serta penuh warna. Jika gaun anda sedikit terbuka di bahagian atas, pastikan labuh kain adalah lebih panjang," katanya.

PENGAYAAN tidak tertumpu kepada peringkat usia jika anda bijak mengaturnya.
PENGAYAAN tidak tertumpu kepada peringkat usia jika anda bijak mengaturnya.

Tambahnya, padankan jean dengan rekaan baju yang unik. Sememangnya pelbagai variasi pilihan terdapat di pasaran.

"Antara yang menarik ialah rekaan punyai banyak ropol atau anda boleh berikan tumpuan pada garis leher. Apapun rekaan yang anda pilih, pastikan ia menarik dan menyerlahkan gaya anda.

"Apabila memilih sikirt, fikirkan rekaan yang manis dan tidak keterlaluan. Wanita sememangnya menawan apabila menggayakan trend rekaan skirt dengan teknik lipatan, ropol, potongan garis-A, kembang dan lurus," katanya.

WANITA berusia 20-an adalah peringkat yang ingin mencari identiti pemakaian.
WANITA berusia 20-an adalah peringkat yang ingin mencari identiti pemakaian.

Tambahnya, setiap orang boleh bergaya hebat tetapi perlu diingat, perkara paling penting adalah untuk kita bergaya bagi diri sendiri bukan orang lain.

"Gaya adalah sesuatu yang peribadi. Tiada siapa yang sepatutnya memberitahu anda cara untuk berpakaian.

"Jika anda rasa cukup yakin untuk menggayakan sesuatu rekaan, teruskan niat itu dan bereksperimen dengan fesyen. Paling utama ialah menghormati amalan dan budaya setempat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 6:40 AM