KASUT matelik mudah dipadankan dengan pelbagai rona busana.
KASUT matelik mudah dipadankan dengan pelbagai rona busana.
Hafiz Ithnin


MENYARUNGKAN busana metalik sememangnya suatu keberanian kepada si pemakainya kerana ia mampu menonjolkan diri dengan begitu ketara.

Malah, tidak keterlaluan ia juga adalah satu trend futuristik yang biasanya dipersembahkan di dalam acara tertentu bagi menonjolkan si pemakai.

Penganalisis Fesyen, Faizal Hamid berkata, metalik antara trend popular sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Jelasnya, metalik bersinar di pentas peragaan antarabangsa seperti dalam koleksi Paco Rabanne dan Tom Ford.

"Sememangnya kita mahu pakaian kita menjadi perhatian, namun berhati-hati kerana jika keterlaluan dengan trend metalik, dikhuatiri akan kelihatan seperti 'cyborg' daripada masa hadapan.

"Oleh itu untuk hasil yang terbaik, pastikan gaya solekan anda adalah natural, dandanan rambut ringkas dan gayakan hanya satu aksesori metalik hebat iaitu rona emas, perak, labuci atau rona permata pada satu-satu masa, dipadankan dengan pilihan rekaan pakaian dengan gaya sederhana," katanya.

Justeru, Faizal berkongsikan panduan kreatif bagaimana untuk menyuntik elemen glamor metalik dalam penampilan:

1. Kasut metalik

Jika anda baru mahu mencuba gaya metalik, kasut metalik adalah cara dan permulaan paling mudah dan praktikal.

Kasut tinggi rona perak adalah alternatif kepada kasut pumps ronakulit (nude) yang anda ada. Ia boleh digayakan dengan hampir semua padanan seperti jeans, skirt, gaun koktel dan pelbagai pilihan.

JAKET matelik dilihat begitu versatil.
JAKET matelik dilihat begitu versatil.

Malah kasut metalik perak dapat menyuntik kombinasi sentuhan klasik dan kontemporari kepada padanan seluar jalur serta top kasual.

Untuk gaya sporty-cool dapatkan slip-on sneakers metalik sebagai pelengkap penampilan. Alternatif lain adalah sandal bertali atau gladiator, flats dan but.

2. Beg clutch metalik

Pilihan clutch yang saiznya kecil dan berkilat adalah cukup glam, anggun dan versatil. Malah, cukup sempurna jika kita hanya mahukan hanya sedikit dos metalik dalam gaya kita.

Contoh, padankan gaun hitam dengan beg genggam (clutch) jenis envelope perak untuk gaya kontemporari chic. Kombinasi rona hitam yang elegan dan perak yang moden pasti dapat membawa penampilan anda dari siang ke malam.

3. Skirt metalik

Cuba kombinasi segar dengan padankan skirt metalik skirt anda dengan baju panas cable-knit dan kasut flats, atau top jersey, jaket jean serta but.

Untuk gaya lebih chic, kombinasi skirt metalik, kemeja button down putih dan kasut tinggi pasti menjadi pilihan.

FESYEN matelik menjadi perhatian di pentas antarabangsa.
FESYEN matelik menjadi perhatian di pentas antarabangsa.

4. Kemeja atau top metalik

Mungkin kemeja atau top metalik hanya sesuai untuk acara parti, tetapi musim ini pereka menjadikan pilihan istimewa itu kelihatan mudah disuai padan.

Seperti camisole metalik yang menarik dipadankan dengan jeans putih, skirt, blazer dan kasut tinggi yang memudahkan transisi daripada pagi ke malam.

5. Jaket metalik

Jaket metalik adalah cukup versatile, edgy dan hebat. Terpulang pada mood dan destinasi, anda boleh memakainya dengan jeans atau gaun.

Untuk gaya cool dan bersahaja padankan dengan sneakers, leggings, kemeja-t mengikut bentuk badan atau jika berani aksesori metalik.

Apapun perlu dielak memakai jaket, gaun dan kasut tinggi yang semua dalam rona metalik kerana gaya keseluruhan pasti kelihatan keterlaluan.

6. Gaun metalik

Pilihan berani gaun metalik, pasti dapat menyerlahkan penampilan hebat terutamanya untuk ke parti. Tebuk leher tinggi (high neckline) atau yang tidak begitu terbuka sesuai untuk menjadikan gaun pendek metalik kelihatan lebih sofistikated.

Sempurnakan gaya anda hanya dengan memakai aksesori ringkas dalam rona hitam. Paling penting gayakan gaun metalik anda dengan penuh bangga pasti anda menjadi perhatian.

7. Aksesori metalik

. Gunakan aksesori yang berkilau untuk menarik pandangan mata ke bahagian tubuh yang mahu kita beri perhatian.

. Gayakan padanan pakaian yang semua dalam rona hitam dengan kasut atau beg genggam metalik untuk gaya lebih chic.

. Barang kemas adalah cara paling mudah untuk menambah sedikit kilauan ceria serta keanggunan pada penampilan. Dapatkan perhatian khalayak kepada wajah anda dengan rantai leher metalik atau anting-anting besar yang berkilau.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 6:30 AM