NURITA (hadapan sekali) bersama barisan model memperagakan koleksi tempahan khas sempena aidilfitri.
NURITA (hadapan sekali) bersama barisan model memperagakan koleksi tempahan khas sempena aidilfitri.
Hafiz Ithnin


Pereka fesyen tempatan nampaknya sudah mula melancarkan rekaan masing-masing kepada bakal pembeli bagi memastikan pelanggan tidak membuat tempahan di saat-saat akhir terutama untuk meraikan Aidilfitri nanti.

Kedengaran terlalu awal namun tidak bagi penggiat fesyen kerana tempahan di saat-saat akhir seharusnya dielakkan supaya setiap sentuhan seni itu lebih bermakna dan menepati cita rasa.

Baru-baru ini, Pereka Fesyen, Nurita Harith melancarkan koleksi pakaian tempahan sempena sambutan Aidilfitri pada tahun ini.

Mengenengahkan tema Lebaran Lux, pereka fesyen itu menonjolkan rangkaian tekstil berona lebih mewah untuk tempahan dan mendapatkan rekaan yang diinginkan.

Nurita berkata, dalam pelancaran itu jenamanya hanya memaparkan idea rekaan yang boleh dihasilkan menerusi rekaan tekstil juga dihasilkan pihaknya.

"Pada pelancaran ini kita hanya memberi gambaran kepada bakal pembeli mengenai rekaan yang boleh mereka hasilkan menerusi rekaan eksklusif Nurita Harith.

"Ini kerana ia memudahkan pelanggan untuk mendapatkan rekaan yang sesuai dengan peribadi mereka sendiri bersandarkan kepada tekstil yang dihasilkan oleh kita," katanya.

REKAAN moden yang menarik.
REKAAN moden yang menarik.

Dari segi warna, Nurita berkata, bagi tujuan tempahan khas dia tidak mengenengahkan banyak warna pastel kerana rona itu disasarkan kepada segmen ready to wear (RTW).

"Jadi untuk tempahan khas ini saya mengenengahkan warna yang gelap sedikit tetapi memberi perincian kepada potongan, hiasan di atas tekstil dan juga corak.

"Sebelum ini, tekstil yang kami hasilkan adalah polos dan pada koleksi kali ini saya mengambil langkah dengan mereka bentuk corak di atas kain dengan hiasan yang tampak lebih mewah," katanya.

Pada majlis pelancaran itu dengan kerjasama W Hotel, Nurita memperkenalkan 20 rekaan yang boleh menjadi inspirasi kepada bakal penempah.

TEKSTIL yang mempunyai motif flora yang menonjol.
TEKSTIL yang mempunyai motif flora yang menonjol.

Menariknya, pereka fesyen itu tidak sekadar menonjolkan kepada satu idea rekaan untuk sambutan Aidilfitri kerana terdapat pelbagai gaya yang dipersembahkan untuk dijadikan pilihan kepada pembeli.

Dari segi tekstil, pereka fesyen itu menggunakan kain yang lebih premium seperti sutera kerana dilihat lebih mudah membentuk rekaan dan tampak mewah apabila disarungkan kepada si pemakai.

Nurita berkata, pihaknya menutup tempahan dua bulan sebelum sambutan Aidilfitri untuk segmen rekaan khas itu.

"Tempoh masa ini diberikan supaya penempah dapat membuat ubah suai pakaian dan juga melaksanakan proses 'fitting," katanya.

POTONGAN moden dan klasik turut dipersembahkan.
POTONGAN moden dan klasik turut dipersembahkan.

Jelasnya, bersandarkan pengalaman sebelum ini banyak ibu yang membuat pakaian sedondon dengan anak mereka menggunakan tekstil yang ditawarkan pihaknya.

"Bagi lelaki pula buat masa ini kita tidak ada tawaran itu kerana ingin memfokuskan kepada golongan wanita. Namun, untuk kanak-kanak perempuan tempahan untuk mereka sememangnya ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2023 @ 7:00 AM