ANTARA 15 koleksi yang dipamerkan kepada penonton.
ANTARA 15 koleksi yang dipamerkan kepada penonton.
Hafiz Ithnin


DALAM kalangan pemain industri fesyen tempatan, label Wan & Mary yang mula wujud sejak empat tahun lalu antara yang sering menjadi sebutan peminatnya.

Mempunyai pengikut yang tersendiri, label berkenaan yang mengetengahkan idea berkonsepkan alam semula jadi nampaknya mampu 'menangkap' perhatian.

Baru-baru ini, dalam pertunjukan fesyen solo yang dianjurkan KL KL Fashion Weekend 2021 untuk rakaman yang diadakan di ibu negara, dua pemilik jenama itu iaitu Hazzerwan Hazzlee dan Maryam Musa membariskan 15 set busana untuk koleksi Musim Luruh/Bunga 2022.

Dalam peragaan itu, label berkenaan menjadikan bunga sebagai inspirasi utamanya yang sememangnya sinonim dengan mereka yang sebelum ini mengangkat tema alam semula jadi di dalam rekaan.

Menampilkan ropol yang popular pada era 90-an, nampaknya rekaan itu menjadi di mata penulis kerana sebelum ini gaya bunga biasanya dijadikan cetakkan di atas fabrik atau menggunakan perhiasan seperti labuci.

Ibaratnya pereka muda itu mengajak penonton untuk mengimbau kembali zaman kegemilangan perhiasan ropol dengan rona berasaskan bunga-bungaan yang lembut dan juga menonjol.

Hazzerwan berkata, label mereka sememangnya begitu dekat dengan alam semula jadi dan sentiasa menjadikannya sebagai inspirasi seperti sebelum ini yang menggunakan laut sebagai perhiasan fabrik.

"Sebenarnya ilham untuk menampilkan tema bunga yang dizahirkan menerusi ropol disebabkan situasi pandemik Covid-19 yang 'mengurung' kita semua daripada tidak bergerak bebas.

"Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlaku, kita lihat ramai yang mula menjadikan aktiviti bercucuk tanam seperti pokok bunga menjadi pilihan, sama juga seperti kami berdua. Justeru, ilham itu hadir dalam koleksi kali ini," katanya.

Jelasnya, koleksi kali ini adalah helaian asas yang disasarkan kepada pengguna akhir pelbagai peringkat pendapatan dan gaya yang diinginkan termasuk dalam kategori modes.

HIASAN ropol bahagian bawah yang sarat tetapi menonjolkan gaya prestij.
HIASAN ropol bahagian bawah yang sarat tetapi menonjolkan gaya prestij.

"Barisan koleksi kali ini, adalah asas yang memberi pilihan kepada pengguna untuk menyuai padan dengan selera mereka.

"Perkara ini kerana kami ingin memberi peluang kepada pengguna akhir untuk bereksprementasi dengan gaya masing-masing. Justeru, ia akan dijual mengikut helaian supaya mudah untuk disuai padan," katanya.

Tambahnya, dalam tempoh empat tahun berada di dalam industri itu, mereka lebih memfokuskan kepada segmen tempahan khas tetapi pada kali ini segmen perniagaan sedia untuk dipakai (RTW) menjadi pilihan.

ANTARA busana yang memberi bayangan label berkenaan bakal memperkenalkan barisan segmen pengantin.
ANTARA busana yang memberi bayangan label berkenaan bakal memperkenalkan barisan segmen pengantin.

"Sebagai usahawan fesyen kita juga perlu faham dengan situasi pasaran semasa kerana tidak semua orang mampu untuk memiliki label pereka fesyen yang ditempah khas.

"Jadi, kami wujudkan segmen RTW, supaya orang ramai boleh menjadikan label kami sebagai pilihan. Dalam masa sama, segmen tempahan khas masa disediakan," katanya.

Hazzerwan berkata, label mereka juga akan memfokuskan kepada isu kelestarian dan ekosistem dalam rekaan dan perniagaan.

"Perkara ini penting supaya kami dapat menjadi pereka fesyen yang peka dengan isu pencemaran alam sekitar akibat pakaian terbuang. Justeru, fabrik kitar semula akan menjadi pilihan kami pada tahun depan.

"Dari segi ekosistem, kami sudah menyusun strategi untuk bekerjasama dengan komuniti yang boleh digarap bersama

label seperti kraftangan penduduk luar bandar. Jadi, label kami mampu memberi limpahan ekonomi kepada orang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 6:30 AM