AFIQ menyiapkan model sebelum dinilai pemain industri fesyen profesional.
AFIQ menyiapkan model sebelum dinilai pemain industri fesyen profesional.
Hafiz Ithnin


Kreativiti dalam mengolah idea menjadi inspirasi kepada rekaan fesyen bagi memastikan setiap sentuhan menghasilkan pesona tersendiri.

Tidak hairan dalam menghasilkan sebuah rekaan busana, pereka fesyen sentiasa 'memetik' ilham dalam kehidupan seharian.

Dari pengalaman mengembara, menilai budaya dan kepercayaan masyarakat setempat sehinggalah unsur makanan dijadikan ilham dalam mereka cipta sebuah gaya busana.

Begitu juga dengan pereka fesyen muda, Ahmad Afiq Syazni Shaidi, 22, yang memancing ilham daripada latar belakang keluarga daripada masyarakat jawa, khususnya makanan yang dihidangkan.

Memperkenalkan tiga set busana dalam koleksi kapsul sebagai pengenalan, beliau yang lebih mesra disapa Afiq berkata, dalam kehidupannya yang dibesarkan arwah nenek, Alpiah Abdullah begitu menyantuni budaya masyarakat Jawa. Sekali gus mendorongnya membawakan elemen nasi ambeng sebagai tema dalam ciptaan rekaan fesyen dihasilkannya.

Katanya, nasi ambeng mempunyai pelbagai elemen yang membawa kepada keharmonian, penghormatan dan kasih sayang.

"Jika melihat kepada nasi ambeng, makanan tradisi itu adalah menu makanan bersama dan penuh dengan pelbagai lauk.

REKAAN yang
REKAAN yang

"Jadi, saya melihat ia adalah satu konsep yang boleh diangkat di dalam rekaan dalam segmen jalanan ini kerana ia mencakupi segala elemen berkenaan," katanya.

Mengulas lanjut katanya, dalam corak cetakan yang penuh berwarna warni itu, ia bersandarkan pelbagai lauk yang berada di dalam makanan tradisi itu.

Katanya, di dalam koleksi kapsul ketengahkan itu juga tiga jenis busana yang berbeza sebenarnya mengangkat nilai kekuasaan wanita.

"Apabila bercakap mengenai gaya jalanan, ia adalah sesuatu yang boleh dikongsi bersama. Jadi, makanan ini biasanya dihidangkan di dalam dulang untuk berkongsi bersama.

"Maka, pakaian ini boleh disarungkan dalam gaya jalanan seharian dan pada hari ini peminat fesyen amat peka kepada tema yang diangkat dalam rekaan pereka fesyen," katanya.

Tambahnya, mengenai tiga jenis busana itu, busana pertama menceritakan mengenai keberanian dan kegigihan wanita dalam kesopanan.

Jelasnya, busana kedua yang mengetengahkan rekaan yang agak unik dari segi menampilkan baju bercirikan bahu berskala besar beropol dan di seluarnya adalah bell bottom. Rekaan ketiga, mengangkat gaya kuasa maskulin dalam rekaan baju wanita.

"Semua rekaan pakaian ini masih bersandarkan kepada masyarakat Jawa yang saya angkat dalam satu sentuhan 'high fashion.'

MENGGUNAKAN pelbagai tekstil yang sesuai.
MENGGUNAKAN pelbagai tekstil yang sesuai.

"Contohnya, pengenalan seluar bell bottom itu adalah bersandarkan kegembiraan masyarakat Jawa dalam menyambut pelbagai majlis keraian penuh warna warni dan kegembiraan," katanya.

Meskipun koleksi kapsul itu belum dikomersialkan, Afiq sudah mendapat pertanyaan daripada beberapa jurugaya untuk menyarungkan busana berkenaan kepada selebriti tempatan.

Bercerita mengenai pembabitannya di dalam dunia fesyen akuinya, arwah nenek menjadi tulang belakang yang memberi semangat untuknya menceburkan diri dalam bidang berkenaan.

"Saya dijaga nenek sejak kecil. Nenek seorang yang suka berhias dan gemar menyertai pelbagai aktiviti masyarakat setempat seperti rewang untuk majlis perkahwinan.

"Arwah nenek walaupun tidak menyarung busana berjenama tetapi dia tetap kelihatan anggun kerana bijak dalam menyuai padan dalam gayanya," katanya.

Tambahnya, perkara itu memberi inspirasi kepadanya secara peribadi untuk menjadi individu yang boleh memberi pesona kepada orang lain menerusi ciptaan pakaian.

"Apabila saya memberitahu hasrat untuk menyambung pengajian di dalam bidang fesyen kepada nenek, dia antara yang paling menyokong. Walaupun, kini dia sudah tiada, saya tetap menjadikan nenek sebagai inspirasi.

"Apatah lagi, beliau sangat menyanjungi latar budaya yang mengalir dalam diri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2022 @ 7:01 AM