AMIRAH Sarah menjadikan ilham gaya klasik dalam rekaannya.
AMIRAH Sarah menjadikan ilham gaya klasik dalam rekaannya.
Hafiz Ithnin


TERNYATA pesona baju tradisional klasik yang disarungkan nenek dan ibunya menjadi inspirasi untuk wanita berusia 33 tahun ini dalam dunia fesyennya.

"Saya masih ingat saat membelek sekeping gambar lama ketika di Australia pada usia saya lapan tahun. Saya ketika itu memakai kemeja kain kapas berbunga kecil.

"Di telinga disisipkan pula kuntuman bunga ketika berjalan-jalan. Perkara itu bukan sekadar nostalgia manis untuk dikenang, tetapi ia menjadi titik tolak saya mula cinta akan fesyen klasik," katanya.

Tidak sekadar itu, ketika zaman kanak-kanak dia sudah 'menggeledah' gerobok pakaian neneknya untuk mengintai pesona helaian busana di dalamnya.

Pemilik nama, Amirah Sarah Mohd Fahmi ini turut berasakan helaian klasik dalam gerobok neneknya adalah sesuatu yang malar segar.

Jangkaannya begitu tepat apabila helaian yang mengambil ilham daripada fesyen lama itu mendapat sambutan wanita masa kini.

HELAIAN pakaian yang boleh disuai padankan.
HELAIAN pakaian yang boleh disuai padankan.

"Saya sebenarnya baharu sahaja memulakan perniagaan dalam bidang ini iaitu sekitar setahun. Inspirasi pakaian adalah kurung klasik, tetapi mendapat sentuhan moden. Sesuai dengan selera pada hari ini.

"Pada kali pertama bersandarkan jenama Miera Fahmi saya pasarkan hanya mempunyai satu gaya dengan 150 helaian. Dalam tempoh tidak sampai dua bulan, semuanya habis terjual. Malah, mendapat permintaan lagi," katanya.

Amirah Sarah berkata, gaya klasik sesuatu yang malar segar, praktikal untuk pakaian harian dan lebih penting pastinya selesa.

GAYA Amirah Sarah ketika berjalan-jalan di Australia pada usia lapan tahun.
GAYA Amirah Sarah ketika berjalan-jalan di Australia pada usia lapan tahun.

"Disebabkan itu saya mengambil langkah berani mencuba menjual gaya ini di pasaran. Ternyata ia mendapat sambutan positif.

"Saya melihat gaya klasik ini bukan sekadar disarungkan untuk acara atau perayaan tertentu. Hakikatnya, busana diilhamkan dengan gaya klasik ini boleh dipakai tanpa batas acara," katanya.

Jelasnya, bersandarkan pemerhatiannya ketika zaman kanak-kanak, baju kurung atau kebaya yang disarungkan nenek dan ibunya begitu selesa untuk dipakai sepanjang hari.

AMIRAH Sarah bersama kain yang bakal dijadikan set busana.
AMIRAH Sarah bersama kain yang bakal dijadikan set busana.

"Perkara ini kerana gaya lama amat mementingkan keselesaan. Wanita zaman dahulu sebenarnya lebih sibuk menguruskan aktiviti harian.

"Disebabkan itu, busana yang disarungkan mereka perlu mempunyai elemen keselesaan supaya pakaian tidak menjadi had kepada pergerakan," katanya.

Pemegang ijazah fesyen yang mempunyai pengalaman empat tahun berkhidmat dengan sebuah firma fesyen antarabangsa itu juga menambah, dari segi tekstil yang digunakan untuk setiap rekaannya berasaskan kain kapas.

TEKSTIL bercorak taburan bunga kecil menonjolkan sisi comel si kecil yang menyarungnya.
TEKSTIL bercorak taburan bunga kecil menonjolkan sisi comel si kecil yang menyarungnya.

"Kain kapas ini amat sinonim dengan keselesaan kerana ia sesuai dengan cuaca di Malaysia. Selain itu, dalam gaya klasik, kain kapas sudah biasa digunakan.

"Namun, cabaran kepada saya ialah sukar untuk mendapatkan corak klasik. Jadi, pada masa depan saya bercadang mereka corak mengikut selera peribadi iaitu klasik," katanya.

Amirah Sarah berkata, ketika ini ramai wanita mula menghargai gaya klasik dan dia juga mendapat permintaan tempahan khas dari segi teknikal bersandarkan elemen itu.

BAJU kurung kain kapas sememangnya selesa dipakai sepanjang hari.
BAJU kurung kain kapas sememangnya selesa dipakai sepanjang hari.

"Untuk pakaian 'ready to wear' (RTW) yang dipasarkan, ia tidak terlalu teknikal seperti mempunyai tulang belut di leher dan pesak.

"Hanya gaya diilhamkan secara klasik, tetapi mempunyai sedikit elemen moden supaya ia sesuai dengan kehendak pengguna masa kini," katanya.

Jelasnya, pada tahun ini dia menyediakan 450 helaian pelbagai rekaan yang mempunyai ilham klasik untuk wanita dewasa dan kanak. Malah, mula memperkenalkan pakaian lelaki.

CORAK klasik mempunyai peminat tersendiri.
CORAK klasik mempunyai peminat tersendiri.

"Setakat ini saya terus mendapat sambutan memberangsangkan daripada pembeli. Perkara ini, sekali gus membuktikan bahawa gaya itu semakin dihargai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2023 @ 6:30 AM