GAYA selesa untuk si wanita.
GAYA selesa untuk si wanita.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


APABILA memilih material untuk pakaian, semestinya fabrik kapas menjadi pilihan utama.

Ia bukan sahaja menyerap peluh dengan baik, malah pakaian yang diperbuat daripada kapas juga dapat memberikan kesan lembut dan selesa kepada pemakai.

Pakaian daripada fabrik kapas juga dapat membantu pemakai bebas bergerak aktif meskipun dalan cuaca panas.

Menyedari kelebihan itu, jenama fesyen tempatan, Wanzar tampil memperkenalkan koleksi busana wanita kasual terbaharu yang diperbuat daripada 100 peratus fabrik kapas organik.

Menampilkan potongan longgar yang meminjam inspirasi daripada baju kurung, koleksi mesra alam itu mempertaruhkan rekaan baju bersaiz besar dan seluar paras buku lali yang nipis, ringan serta sempurna walaupun ketika cuaca panas di Malaysia.

Berbeza dengan rangkaian pakaian pengantinnya yang elegan dan cukup dikenali dalam dunia fesyen Malaysia, koleksi baharu jenama itu turut menampilkan konsep kembali kepada asas.

Ia secara tidak langsung melambangkan keselesaan ringkas dan kehidupan harian rakyat Malaysia yang santai.

Untuk koleksi kali ini, jenama itu menampilkan enam rekaan minimalis dalam 17 warna indah.

Koleksi busana wanita kasual diperbuat daripada 100 peratus fabrik kapas organik
Koleksi busana wanita kasual diperbuat daripada 100 peratus fabrik kapas organik

KOLEKSI busana wanita kasual terbaharu Wanzar menampilkan keselesaan dan keseronokan dengan material kain kapas.
KOLEKSI busana wanita kasual terbaharu Wanzar menampilkan keselesaan dan keseronokan dengan material kain kapas.

Setiap helaian direka dengan cukup versatil supaya mudah disuai padankan dengan mana-mana pakaian dalam koleksi itu untuk gaya yang cantik dan santai.

Mengambil inspirasi daripada wanita moden masa kini, terdapat empat set paling menyerlah dalam koleksi versatil dan kasual itu.

Dengan rona terang di bawah koleksi Astrid, fashionista boleh memilih sama ada untuk tampil ceria dan bebas dengan warna hijau 'lime,' merah jambu 'barbie' atau tampil lembut dan penuh misteri dengan warna biru navy atau ungu gelap.

Menggunakan kain kapas organik yang diperoleh secara mampan, jenama fesyen itu juga menggalakkan amalan suai padan pakaian melalui rekaan fesyen yang versatil dan boleh dipakai semula untuk jangka panjang.

Pengasas Wanzar, Abu Zarin Abdullah berkata, ada pendapat stereotaip bahawa busana yang bergaya tidak tahan lama dan susah dipadankan dengan pakaian lain.

Namun, koleksi terbaharu itu adalah cara mereka membuktikan bahawa stigma itu salah, terutama dalam era fesyen pantas (fast fashion) masa kini.

"Misi utama kami adalah mencipta pakaian yang menjadi pilihan utama pemakai untuk kehidupan urban harian mereka.

"Namun, kami juga komited dalam memainkan peranan mengekalkan asal usul tempatan serta amalan pembuatan yang sihat," katanya.

RONA terang dan ceria untuk wanita moden hari ini.
RONA terang dan ceria untuk wanita moden hari ini.

Selain menggabungkan pengaruh fesyen tradisional dengan busana kasual moden, rangkaian busana wanita baharu jenama itu juga bangga menjadi jenama buatan Malaysia.

Setiap helaian pakaiannya dihasilkan sepenuhnya di kilangnya yang terletak di Selangor dengan mengambil kira keperluan fesyen pelbagai saiz wanita di negara ini.

"Koleksi itu adalah cara kami memberi penghormatan kepada dunia fesyen jalanan tempatan dan membayangkan maknanya untuk wanita Malaysia moden, mereka yang sentiasa bergerak pantas dalam kehidupan seharian.

"Walaupun sudah mempunyai nama dalam arena busana pengantin, kali ini kami ingin menyentuh hidup dan memperkasa lebih ramai wanita dengan gaya harian terkini dan sarat elemen khas buatan Malaysia.

"Kami berazam mengekalkan dan memastikan nilai produk kekal terjaga melalui penggunaan pelbagai fabrik berkualiti tinggi supaya pemakai kekal selesa di sebarang acara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2022 @ 7:01 AM