SITI HAJAR mencuri perhatian berlari dengan pakaian tradisional.
SITI HAJAR mencuri perhatian berlari dengan pakaian tradisional.
Hafiz Ithnin


MENYARUNG busana Puteri Perak yang terdiri daripada baju kurung cekak musang, seluar panjang, kain samping dan selendang, Siti Hajar Abdullah, 40, tidak kekok menghayun langkah bagi menamatkan acara larian santai SHERUN Gorgeous Girl (SGG) 2020 pada Ahad lalu.

Malah lebih menonjol apabila beliau berjaya menamatkan larian sejauh lima kilometer sekali gus layak menerima medal penamat di penghujung garisan.

Ketika ditanya mengenai pemilihan pakaian tradisi Perak, Siti Hajar mengakui sudah dua kali dia mengenakan pakaian tradisional untuk acara larian santai.

Menurutnya, kali pertama ketika menyertai Songket Run dengan menyarung pakaian Puteri Perak yang ditempah khas.

“Memandangkan pakaian ini sudah ada dan sesuai dengan tema SHERUN iaitu ‘gorgeous girl,’ maka saya gayakan sekali lagi pakaian Puteri Perak untuk acara SGG,” katanya.

TURUT disertai seisi keluarga.
TURUT disertai seisi keluarga.

Ditanya tidakkah berasa kurang selesa ketika mengenakan songket untuk acara larian, menurut Siti Hajar, jenis fabrik yang digunakan untuk pakaian Puteri Perak itu adalah kain kapas yang disulam benang emas.

“Ia bukan kain songket asli yang dipakai pengantin untuk majlis kahwin,” katanya.

Pada masa sama, kasut sukan sesuai disarungkan bagi memudahkannya berlari dengan santai. Siti Hajar juga memaklumkan tujuan memakai busana Puteri Perak itu antara lain untuk mempromosikan pakaian tradisional berkenaan supaya tidak lapuk ditelan zaman.

Gaya itu ternyata berbaloi kepadanya apabila dinobatkan sebagai pemenang pakaian terbaik dengan menerima hadiah hamper barangan.

ANTARA aksi peserta dengan pakaian masing-masing.
ANTARA aksi peserta dengan pakaian masing-masing.

Acara larian santai SGG2020 itu dianjurkan Persatuan Rekreasi Wanita Malaysia (WRAM) dengan kerjasama SHE Sports Production Sdn Bhd dan Perbadanan Putrajaya (PPj). Ia dia

dakan sempena sambutan Hari Wilayah dan Hari Wetland Sedunia yang berlangsung pada Februari setiap tahun.

Kira-kira 2,100 orang menyertainya dalam dua kategori iaitu 2.5 kilometer (km) dan 5km. Peserta juga berpeluang memenangi hadiah cabutan nombor bertuah dengan nilai keseluruhan kira-kira RM10,000.

Antara hadiah menarik yang disediakan ialah basikal, barangan elektrik, aksesori larian, barangan aktiviti luar dan tiket penerbangan ke destinasi domestik serta antarabangsa.

SITI HAJAR dipilih sebagai pemenang pakaian terbaik.
SITI HAJAR dipilih sebagai pemenang pakaian terbaik.

Sementara itu, Pengurus Acara SGG2020, Narimah Samat berkata, acara larian itu terbuka kepada semua penyertaan tanpa mengira jantina walaupun nama lariannya ke arah kaum hawa.

“Malah kita juga boleh melihat ibu atau bapa menolak kereta sorong anak kecil mereka dalam acara yang diadakan di Taman Wawasan, Presint 2, Putrajaya ini,” katanya.

Beliau menambah, acara larian santai SGG2020 itu bermula dari jam 7 pagi sehingga 11 pagi, manakala aktiviti sampingan Putrajaya Park’s Day berakhir pada jam 5 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2020 @ 6:15 AM