PENTING untuk ibu mengandung mengamalkan pemakanan sihat serta mengambil kalori dan nutrisi secukupnya.
PENTING untuk ibu mengandung mengamalkan pemakanan sihat serta mengambil kalori dan nutrisi secukupnya.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Jika wanita hamil yang mempunyai Gestational Diabetes Mellitus (GDM) mahupun pra-GDM mahu berpuasa, dinasihatkan supaya melakukan penilaian kesihatan terlebih dahulu untuk mengetahui tahap keselamatan terhadap kehamilan mereka.

Ini kerana wanita hamil yang mempunyai GDM dikategorikan sebagai kumpulan berisiko tinggi dan dinasihatkan tidak berpuasa.

Penilaian itu membabitkan nasihat daripada doktor jika ingin berpuasa, kaunseling mengenai penjagaan gula, perubahan dari segi dos ubat jika perlu dan nasihat pemakanan.

Menurut Pakar Dietetik Hospital Pakar KPJ Tawakkal Kuala Lumpur, Nabihah Hannan Razaleigh, dari segi penjagaan gula, wanita hamil yang mempunyai GDM dinasihatkan supaya mengukur kadar gula sekurang-kurangnya sekali sebelum berbuka.

Ia diikuti satu hingga dua jam selepas berbuka, sekali ketika berpuasa dan apabila berasa seperti tidak sihat.

Kata Nabihah, dari segi pemakanan pula, secara am tidak kira sama ada mereka berpuasa atau tidak, penting untuk ibu hamil mengamalkan pemakanan secara sihat dan mengambil kalori serta nutrisi secukupnya.

"Ini termasuk mengurangkan atau mengehadkan pengambilan makanan tinggi kalori supaya berat badan tidak naik secara berlebihan.

"Digalakkan juga mengambil karbohidrat kompleks sebagai sumber karbohidrat utama seperti bijirin penuh, kekacang, nasi, mi dan sebagainya untuk bekalkan tenaga secukupnya ketika berpuasa," katanya.

Jelas Nabihah lagi, penting juga untuk ibu hamil yang mempunyai GDM mengelakkan pengambilan air atau makanan manis, makanan tinggi garam dan minuman berkafein.

Ibu hamil juga dinasihatkan mengambil makanan tinggi serat seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh yang secukupnya dalam pemakanan seharian.

"Wanita hamil juga perlu minum air masak secukupnya iaitu antara dua hingga tiga liter sehari dan bagi yang mempunyai penyakit kencing manis, amalkan pengambilan sahur yang lewat.

"Apa pun penting untuk wanita hamil yang mempunyai kencing manis untuk mendapatkan nasihat daripada pakar pemakanan mengenai pemakanan yang sesuai diamalkan tidak kira berpuasa atau tidak," katanya.

Sementara itu, Nabihah berkata, untuk mengelakkan dehidrasi ketika bulan puasa, orang ramai dinasihatkan supaya mengambil minuman air putih secukupnya iaitu lapan gelas sehari.

Kata Nabihah, minuman yang mengandungi kafein seperti kopi, teh dan minuman bergula perlu dielakkan kerana ia akan mempercepatkan dehidrasi dan menjadi lebih dahaga.

Selain itu, untuk mengawal kuantiti hidangan dengan lebih baik, digalakkan juga anda mengamal konsep suku-suku separuh ketika berbuka.

"Lebih penting, jangan lupa bersahur kerana ia dapat membekalkan tenaga kepada badan bagi melakukan aktiviti seharian.

"Pelbagaikan jenis makanan termasuk karbohidrat kompleks seperti nasi, mi dan roti dengan sumber protein secukupnya selain sumber lemak sihat serta serat daripada sayur selain buah-buahan," katanya.

Menurut beliau lagi, berbuka secara ringkas seperti dengan kurma, buah-buahan atau kekacang juga digalakkan bagi mengembalikan tenaga serta mencergaskan badan selepas seharian berpuasa.

Katanya, cara masakan yang lebih sihat seperti panggang, stim, kukus juga perlu diamalkan berbanding masakan yang bergoreng.

"Jika ingin membeli makanan dari luar seperti bazar Ramadan, digalakkan merancang juadah yang ingin dibeli dengan membuat senarai dan bajet bagi mengelakkan pembaziran serta pembelian secara impulsif.

"Ia juga boleh membantu mengelakkan kita mengambil kalori secara berlebihan ketika berbuka.

"Otak manusia mengambil masa 20 hingga 30 minit untuk menerima isyarat bahawa badan sudah kenyang, jadi kunyah makanan perlahan-lahan bagi pencernaan makanan yang lebih baik. Jangan ketinggalan melakukan aktiviti fizikal ringan sepanjang Ramadan ini untuk kekal cergas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2023 @ 7:00 AM