MULAKAN berbuka dengan makan kurma.
MULAKAN berbuka dengan makan kurma.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


DIET atau cara pemakanan pada Ramadan masih perlu mengikut kepada keperluan kalori seharian.

Sekiranya Jisim Indeks Tubuh (BMI) badan sudah melebihi aras normal (23 kg/m2), keperluan kalori pada bulan puasa masih 1,200 kilokalori (kcal) hingga 1,500kcal sehari.

Kita tidak perlu bersahur dengan kuantiti makanan berlebihan atau tidak bersahur langsung dan berbuka secara berlebihan.

Ini kerana ia akan memberi kesan kepada berat badan, terutama kepada mereka yang sememangnya gemuk atau mempunyai BMI lebih daripada normal.

Pakar Diet KPJ Perdana Specialist Hospital Rose Hanizan Mat Hassan berkata, pada Ramadan, digalakkan bersahur, berbuka dan mengambil snek sebelum tidur (moreh).

Menurut Rose Hanizan, pengambilan makanan tiga kali itu tidak menjadi masalah untuk menurunkan berat badan, tetapi perlu mengikut sukatan betul dan berpandukan keperluan kalori badan.

"Berbuka dalam kuantiti berlebihan tidak digalakkan kerana ia boleh meningkatkan berat badan.

"Dalam Islam tidak menggalakkan makan berlebihan semasa berbuka kerana ia akan membuatkan badan menjadi penat untuk menunaikan solat Tarawih.

AMALKAN makanan seimbang ketika berbuka.
AMALKAN makanan seimbang ketika berbuka.

"Seharusnya, bersederhana untuk mengajar perut mengambil makanan dalam kuantiti kecil, seterusnya dapat menurunkan berat badan.

"Kurangkan makan kuih-muih tinggi lemak dan terlalu manis kerana ia tinggi kalori namun tidak mengenyangkan," katanya.

Rose Hanizan berkata, pada masa sama, segelintir individu mengalami kenaikan berat badan semasa puasa.

Katanya, ia boleh terjadi apabila mereka berbuka dengan pelbagai juadah manis, berlemak, bergoreng manakala kuantiti pengambilan setiap makanan pula berlebihan.

"Pengambilan makanan boleh menjadi berlebihan apabila moreh di masjid atau surau. Moreh bagus, tetapi pastikan jaga kuantiti makanan diambil.

"Jika amalan ini dilakukan setiap hari, maka berat badan akan cepat naik," katanya.

LAKUKAN senaman ringan.
LAKUKAN senaman ringan.

Menyentuh berkaitan caramenolak pelbagai jenis makanan enak bagi yang ingin berdiet semasa berpuasa, Rose Hanizan berkata, kita boleh makan makanan dijual atau disediakan, tetapi jadualkan apa yang ingin dibeli selain perlu kawal nafsu makan.

Katanya lagi, kita berpuasa selama 30 hari, jadi tidak perlu membeli semua makanan dan memakannya sekali gus.

"Cuba bersabar dan makan seadanya. Kuantiti penting untuk pastikan berat badan menurun atau kekal seperti biasa.

"Senaman ringan perlu dilakukan selain bertarawih kerana Tarawih juga senaman untuk umat Islam," katanya.

Jelasnya, ramai suka mengambil kuih-muih manis sebagai juadah berbuka puasa.

ROSE Hanizan
ROSE Hanizan

"Paling penting tidak makan secara berlebihan dan ambil makanan ringkas terlebih dahulu semasa berbuka.

"Ini bagi mengelak ketidakselesaan sistem penghadaman. Mengikut Sunnah, lebih baik ambil kurma sebagai makanan pertama untuk berbuka puasa," katanya.

Tambahnya, amalan bersahur penting semasa berpuasa untuk membekalkan tenaga sepanjang berpuasa di siang hari.

"Sebaik-baiknya, waktu bersahur sekurang-kurangnya setengah jam sebelum waktu Imsak.

"Semasa bersahur, digalakkan ambil makanan berasaskan karbohidrat kompleks seperti nasi, roti atau oat.

"Pengambilan makanan tinggi serat seperti roti tinggi serat dan oat dapat mengurangkan rasa lapar," katanya.

Rose Hanizan berkata, pastikan juga ambil buah-buahan dan air mencukupi sewaktu bersahur.

"Tidak digalakkan ambil minuman berkafein seperti teh atau kopi kerana ia boleh mengakibatkan kehilangan air dalam badan.

"Selain itu, bersahur awal atau sahur sebelum tidur tidak digalakkan," katanya.

Rose Hanizan berkata, bagi memastikan perjalanan diet berjaya pada Ramadan, perkara utama dan penting ialah disiplin diri bagi menghadapi dugaan terhadap makanan sepanjang Ramadan.

"Senaman ringan jangan diabaikan dan perlu dilakukan secara berkala.

"Selain itu, pastikan sukatan makanan diambil bersesuaian dengan keperluan kalori badan setiap hari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2023 @ 7:00 AM