WAKIL Waterco Malaysia dan GPF bersama ketua Kampung Kepesoh (dua dari kanan) selepas selesai pemasangan penapis air.
WAKIL Waterco Malaysia dan GPF bersama ketua Kampung Kepesoh (dua dari kanan) selepas selesai pemasangan penapis air.
Muhamaad Razis Ismail


UNTUK dua tahun berturut-turut, Waterco (Far East) Sdn Bhd (Waterco Malaysia) bekerjasama dengan Global Peace Foundation (GPF) bagi memasang sistem penapisan air di lapan perkampungan Orang Asli di Pahang yang diduduki lebih 150 keluarga supaya golongan itu mendapat akses kepada air bersih.

Berpegang teguh kepada komitmen dan kepercayaan bahawa semua manusia berhak mendapatkan air bersih, Waterco Malaysia terus menambah baik akses bekalan air bersih untuk perkampungan Orang Asli bagi meningkatkan tahap kebersihan dalam kehidupan seharian mereka, sekali gus mencegah penyakit.

Oleh kerana lokasi mereka yang terletak di luar bandar, penduduk kampung Orang Asli ini sangat bergantung pada sumber air berdekatan seperti sungai, kolam dan telaga untuk kegunaan harian dan minuman serta masakan.

Bagaimanapun, air yang digunakan sejak bertahun-tahun lalu mungkin tidak pernah dibersihkan atau dirawat berikutan risiko masalah pencemaran air yang boleh menyebabkan masalah kesihatan fizikal dan mental untuk komuniti berkenaan.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Serantau Waterco Malaysia, Koo Zao Cheong berkata, pihaknya akan terus menyediakan akses lengkap kepada bekalan air bersih kepada komuniti Orang Asli untuk meningkatkan taraf kebersihan masyarakat ini.

"Tidak dapat dinafikan bahawa air bersih adalah keperluan terbesar dalam kehidupan dan ia sangat penting untuk kesihatan fizikal serta mental seseorang.

"Bagaimanapun, masih banyak komuniti di luar sana menghadapi masalah memperoleh keperluan asas ini.

"Lebih-lebih lagi dengan musim banjir yang semakin merisaukan turut menyumbang kepada pencemaran bekalan air.

"Menyedari masalah itu, kami menjadi lebih bersemangat membantu seramai mungkin komuniti memerlukan bekalan air bersih bagi kegunaan harian," katanya.

Malah, pihaknya berterima kasih kerana dapat bekerjasama sekali lagi dengan GPF untuk tahun kedua dalam usaha mendekati komuniti di kawasan luar bandar dan memainkan peranan sebagai pakar industri dalam menyediakan penyelesaian jangka panjang yang cekap.

"Kami sentiasa menghargai bantuan GPF yang menghubungkan kami dengan komuniti yang memerlukan dan kami menantikan lebih banyak peluang untuk menambah baik persekitaran hidup golongan yang kurang bernasib baik," katanya.

Menerusi kerjasama ini, Waterco Malaysia dan GPF mengenal pasti lapan perkampungan Orang Asli di Pekan, Rompin dan Bera yang amat memerlukan air bersih bagi tujuan sanitasi serta kegunaan umum.

Penapis air Point-of-Entry (POE) dipasang di sumber air utama setiap kampung yang kemudian dihubungkan kepada kemudahan sanitasi di kampung itu supaya air yang bersih dan selamat untuk dinikmati penduduk bagi tujuan mandi, membersih serta rutin harian lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2023 @ 6:44 AM