BAS lama yang dijadikan tandas untuk wanita di India. FOTO AFP
BAS lama yang dijadikan tandas untuk wanita di India. FOTO AFP
AFP

Pune: Dengan hanya lima rupee (kira-kira 30 sen), wanita di India boleh menggunakan tandas di atas bas.

Projek Ti Toilet itu dilancarkan dua usahawan Ulka Sadalkar dan Rajeev Kher pada 2016 untuk kegunaan wanita membuang air dalam bas termasuk menyusukan bayi selain menyediakan bekalan lampin dan napkin pakai buang.

Sebanyak 12 bas lama diubah suai sebagai tandas yang digunakan lebih 200 wanita setiap hari.

Sadalkar berkata, idea itu dihasilkan sebagai sebahagian siri projek fokus memperbaiki kebersihan di bandar barat India itu.

“Kami percaya wanita berhak mendapat akses tandas bersih dan selamat. Ini adalah perkara asas yang wajar.

“Kami fokuskan dalam memperbaharui bas ini dan menyediakan tandas bersih, set televisyen, kawalan suhu lengkap dengan atendan.

“Kami sasarkan membuka 1,000 tandas lagi sekitar India dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Sementara itu, penuntut sebuah kolej, Suvarna Dongare, 18, berkata, dia lega tandas berkenaan dikhaskan untuk kegunaan wanita saja.

“Saya datang ke taman ini dan kebetulan mahu menggunakan tandas sebelum terjumpa bilik kecil berwarna pink ini dalam bas yang diubah suai usahawan terbabit.

“Tandas ini sangat selesa dan saya rasa sangat selamat ketika menggunakannya,” katanya kepada AFP.

Pakar berkata, walaupun India meneruskan usaha membina jutaan tandas sebagai saranan Perdana Menteri Narendra Modi, namun kekangan masalah bekalan air dan elektrik menjadi isu.

Kerajaan negeri bergelut untuk mengekalkan tandas awam yang daif, tidak terurus dan kotor dengan najis dan air kencing.

Oktober lalu, Modi mengumumkan sebanyak 600 juta orang diberikan akses tandas.

Tetapi, pakar mempertikaikan pengumuman itu dan berpandangan faktor sanitasi dan keselamatan tetap membelenggu jutaan wanita India.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 5:40 PM