SELESA dengan fabrik kapas. FOTO NSTP
SELESA dengan fabrik kapas. FOTO NSTP
Yusliza Yakimir Abd Talib


RAMAI wanita terutama Muslimah mahu tampil menarik namun tetap mengekalkan kesederhanaan dalam berpakaian sama ada dalam busana kasual mahupun bersantai.

Jenama Bajuville antara yang mengetengahkan koleksi sedia dipakai yang ringkas bersesuaian gaya hidup wanita moden dan paling utama pemilihan fabrik juga sesuai dengan iklim tempatan.

Pengasasnya, Nor Hasna Mohd Fauzi berkata, fesyen mesti selesa dipakai dan praktikal malah rekaan butik itu berdasarkan matlamatnya iaitu sesuatu yang akan digayakannya sendiri dan diterima ramai dalam jangka masa panjang.

Oleh itu, fabrik kapas menjadi pilihannya dalam kebanyakan rekaan kerana selain ringan, ia menyerap peluh dan tidak melekap pada tubuh menjadikannya sesuai digayakan Muslimah.

“Saya amat mementingkan kualiti jahitan dan penggunaan fabrik pula mesti selesa. Jadi saya nekad mengeluarkan koleksi pakaian yang supaya pembeli berasa ia pelaburan yang berbaloi.

TAMPIL bergaya walaupun
TAMPIL bergaya walaupun

“Setakat ini, ramai yang berpuas hati dengan kualiti ditawarkan. Sudah menjadi tanggungjawab sebagai pengusaha untuk meletakkan keselesaan sebagai ciri paling utama diikuti rekaan sopan dan praktikal,” katanya.

Menurutnya, butik itu diasaskan bersama adiknya lima tahun lalu dan pada peringkat permulaan hanya sekadar mencuba nasib.

Keluaran pertama butik itu iaitu kardigan kimono dengan rekaan ringkas membuahkan hasil terutama ketika itu, fesyen berkenaan sedang meningkat naik.

Nor Hasna berkata, dia tergerak hati menghasilkan rekaan pakaian kasual kerana di pasaran ketika ini banyak pakaian seumpama itu diimport dari China yang tidak mesra aurat.

Dia kemudian terus mengembangkan pilihan dalam butiknya dengan menghasilkan busana kasual yang tidak nampak terlalu formal sesuai digayakan sebagai pakaian harian.

Bagi pilihan material pula, butik itu banyak menggunakan fabrik kapas terutama koleksi baju kerana bersesuaian dengan cuaca di negara ini, selesa dan menyerap peluh.

KOLEKSI labuh dan longgar untuk semua saiz tubuh. FOTO NSTP
KOLEKSI labuh dan longgar untuk semua saiz tubuh. FOTO NSTP

Koleksi terkini butik itu menampilkan ESMA Oversized Top iaitu kemeja besar yang boleh dipakai untuk wanita bertubuh kecil hingga besar dalam satu saiz dengan tiga pilihan warna iaitu merah jambu, biru dan hijau rumpai laut.

Koleksi diperbuat daripada kapas sutera itu adalah inspirasi daripada fesyen Korea dan Indonesia yang banyak menekankan baju berkonsep longgar dan santai selain sesuai dipadankan dengan jean atau seluar legging.

Bagi koleksi baju labuh Ririn Frill pula ia didatangkan dengan dua saiz iaitu S/M dan L/XL menggunakan material crepe premium. Ia turut dilengkapi dengan poket di bahagian depan dan kemasan beropol pada bahagian hujung baju.

Selain itu, koleksi baju labuh berpoket turut menjadi pilihan dengan menampilkan ciri seperti belahan kiri dan kanan bagi memudahkan pergerakan.

Kesemua koleksi itu direka dengan potongan labuh dan mesra penyusuan bagi ibu muda yang mahu tampil bergaya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 2:57 PM